MUZIK

 

Iftar dengan Kumpulan Qasidah Wanita Pertama Malaysia, dan Penasyid

 

SELAMA ini kita biasa menyaksikan persembahan atau mendengar dendangan qasidah daripada kumpulan yang terdiri daripada lelaki.

 

Walau bagaimanapun, kini muncul kumpulan Munsyidaat El Qassh. Kumpulan qasidah wanita yang pertama di negara kita ini telah mengeluarkan album berjudul Bekalan Jiwa pada 7 Mac lalu.

 

Menariknya, Bekalan Jiwa merupakan projek rakaman album qasidah secara live yang hanya diiringi alat muzik perkusi, dimainkan sendiri oleh ahli-ahli Munsyidaat El Qassh sendiri.

                                          

Antara corak lagu yang dirakamkan termasuklah mawlid, selawat dan zikir klasik zaman-berzaman. Bekalan Jiwa diterbitkan dengan kerjasama Loonaq Records dan sub-label di bawahnya, iaitu Nakhoda Alam Resources kepunyaan penyanyi, komposer dan penulis lirik terkenal, Royce Sa’ayan.

 

Royce sendiri bertindak sebagai penerbit bersama-sama penerbit muzik dan rakaman, Mohd Noor Mohd Zain@MadNor Hendrix (suaminya). Dirakamkan di studio Loonaq Records di Desa Kundang, Rawang, Selangor.

 

Pada awalnya, Munsyidaat El Qassh yang bermaksud Penyanyi Cerita Sirah, ditubuhkan untuk mengisi kegiatan majlis dan acara keagamaan, kebudayaan, serta melakukan kerja-kerja amal kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Royce juga merupakan pengasas dan penyanyi utama kumpulan ini, dengan jurulatih vokal profesional, Cikgu Siti Hajar Ismail sebagai pembimbing. Atas sifat komuniti, kumpulan ini mahu membawa semula kecemerlangan budaya berqasidah pada generasi seterusnya.


Leia AzZahra (berbaju putih) mendendangkan Munajat Buat Gaza.
=========================================================================

Pada 13 Mac lalu, Munsyidaat El Qassh tampil membuat persembahan langsung dalam Majlis Berbuka Puasa & Sidang Media memperkenal Bekalan Jiwa, Leia AzZahra, kumpulan FrentastiX, Are-Tan Rocktone, Haris Abdul, Royce Sa’ayan, dan Pradengar album kumpulan Ozon.

 

Majlis anjuran Loonaq Records, Yayasan UNITI, dan Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), dengan kerjasama Nakhoda Alam Resources, Anspire Signature, Rumah Kasih Nurul Hasanah, dan Friends of Palestine & Global Coalitions itu berlangsung di Arina Skyview Kuala Lumpur, Tingkat 20, Menara Arina Uniti, Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Uniti, Ybhg Dr Syed Omar Syed Agil; Pengerusi IRAMA, YBrs Encik Ayob Majid, dan YBrs Cikgu Siti Hajar.

                                                                                        

Encik Ayob Majid (berbaju Melayu) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Palestin, sambil diperhatikan oleh Leia AzZahra (kanan sekali).

=========================================================================

Menurut Encik Ayob, irama solidariti buat Palestin mula diilhamkan ketika melaksanakan beberapa program Solidariti Buat Palestin yang mengumpulkan beberapa penggiat seni untuk membuat persembahan, dan ceramah di hadapan kompleks beli-belah Sogo, Masjid Jame’ Bandaraya@Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur; serta semasa persembahan konsert Search Kidin dan XPDC.

 

“IRAMA bercadang membuat beberapa program lagi bagi mengekalkan motivasi agar dapat terus menyokong semampu mungkin kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” kata beliau.



Encik Ayob Majid melancarkan lagu tunggal Munajat Buat Gaza.

=========================================================================

Loonaq Records menyambut idea lagu rasmi ini, dan membuat rakaman yang pada asalnya untuk dinyanyikan secara beramai-ramai oleh artis Loonaq Records.

 

Walau bagaimanapun, oleh kerana kekangan masa dan masalah teknikal untuk mengejar tempoh yang ditetapkan, Loonaq Records akhirnya memilih Leia sebagai penyanyi lagu Munajat Buat Gaza, yang dilancarkan oleh Ayob dalam majlis pada 13 Mac lalu.



          Penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim Rumah Kasih Nurul Hassanah.

=========================================================================

Leia turut tampil bersama-sama sekumpulan anak Palestin mendendangkan Munajat Buat Gaza secara live.

 

Lagu tunggal ini dicipta sepenuhnya oleh YBrs Haji Rozman Abas . Muziknya digubah dan disusun oleh YBrs Sdr Othman Masri@Man Senoi (AJK IRAMA), bersama-sama Haji Rozman, dan Din Ozon.



Dari kanan, Leia AzZahra, Royce Saa’yan, Encik Ayob Majid, Dr Syed Omar Syed Agil, dan wakil Loonaq Records.

=========================================================================

Selain Munsyidaat El Qassh dan Leia, turut membuat persembahan live ialah FrentastiX - menampilkan Syed Samudera dengan single terbaharu Hanya Keranamu (terbit 7 Mac lalu), Haris dengan single terbaharu Ku Yakin (7 Mac lalu), Are-Tan Rocktone (single terbaharu, Amaran Pencipta/30  Januari 2023), Al Fann Nasyid (Bertahan), dan Royce (Lentera Terpuji/16 Jun 2023).

 

Sebelum pelancaran, diadakan sesi pradengar album Ozon, iaitu Kronix II, yang merakamkan semula lagu-lagu yang pernah diterbitkan pada 1991, dengan susunan muzik terbaharu. Kerja-kerja rakaman studio telah berakhir, dan Ozon perlu kembali ke studio semula selepas sambutan Syawal 1445 untuk menyambung rakaman lagu-lagu terbaharu dengan album bertajuk Naskhah Nurani.



Royce Saa’yan turut berdendang dengan anak-anak yatim dari Rumah Kasih Nurul Hassanah.

=========================================================================

Loonaq Records juga sedang merancang untuk mengadakan persembahan jerayawara Ozon Kronix II, dan Naskhah Nurani bersama-sama beberapa kumpulan rock metal yang masih dalam perbincangan.

 

Setakat ini, Loonaq Records belum memastikan apakah strategi untuk kemunculan Ozon, sama ada untuk mengeluarkan album penuh dengan merchandise artis, atau sekadar single satu demi satu.



Persembahan kumpulan Al Fann.

 =========================================================================

 Untuk cerita lanjut aktiviti Loonaq Records, layari laman sesawang rasmi, iaitu www.loonaqrecords.com.

 

- Raja Yusoff Ariffin

                                            

 


No comments:

Powered by Blogger.