SOSIAL

 

Majlis Terbuka Aidilfitri Keluarga Ali Maju

TURUT BERI PERINGATAN PENGGUNA

 

TIMBALAN Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan kesal dengan kejadian pembuangan serta pembakaran sekian banyak kampit beras, tin sardin dan tepung di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Temerloh baru-baru ini.

 

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia ini menganggap peristiwa tersebut  amat tidak wajar ketika rakyat negara ini sering merungut ketiadaan beras tempatan di pasaran terbuka.

 

“Mengapa boleh terjadi sedemikian? Pembaziran telah berlaku dan pihak yang terbabit tidak kira siapa perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka,” tegas Dato’ Haji Jawahar yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Sendirian Berhad.

 

Mengenai peranan dan tanggungjawab PPIM, beliau menegaskan pihaknya akan terus membantu kerajaan dengan menegur apa yang tidak kena, dan memberikan cadangan pembaikan.

 

“Cuma, kerajaan perlu lebih spesifik dalam pengedaran dan penjualan barangan yang dikategorikan dalam jualan Rahmah agar rakyat dapat memperoleh manfaat,” tegas Haji Jawahar.

 

Beliau ditemui pihak media semasa Majlis Terbuka Aidilfitri Keluarga Ali Maju di Darul Barakath, Desa Andaman, Wangsa Maju pada 19 April lalu.

 

Selain saudara mara, dan ahli keluarga jauh dan dekat, majlis tersebut turut dihadiri rakan-rakan strategik, jiran-jiran dan pasukan keselamatan (PDRM) setempat.    

=========================================================================

                                                                                    

                                    Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan.

=========================================================================

Sementara itu, mantan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said tampil mengakui isu tular beras dan barangan makanan lain yang dibuang itu adalah miliknya.

 

Datuk Seri Ismail yang mengambil tanggungjawab terhadap isu tersebut membuat permohonan maaf, dan menyatakan rasa kesal atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan.

 

“Saya mengambil maklum dan berterima kasih atas keprihatinan, serta sensitiviti rakyat Malaysia terhadap isu yang tular berkaitan pelupusan beras dan barang dapur di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum, Temerloh Pahang,” katanya.

 

Ismail yang juga mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri menyatakan beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu berkenaan.

 

“Beras dan barangan dapur tersebut merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika saya menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau,” jelas beliau.

=========================================================================

                                                                                                                     

Sebahagian daripada tetamu yang hadir dan menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

=========================================================================

Barangan dapur tersebut, tambahnya, disediakan menggunakan peruntukan peribadi sebelum tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, dan dalam tempoh berkempen tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

 

Beliau turut menegaskan, pembelian barangan tersebut tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan, atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang.

 

Kata Ismail lagi, barangan tersebut terpaksa dibuang berikutan aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan pada 5 April lalu.

 

“Hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk, dan kutu beras. Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar,” jelas beliau.

 

“Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, dan sebahagian lagi telah dilupuskan,” kata Ismail.

 

Media pada 18 April lalu melaporkan tular lambakan beras, sardin, tepung dan teh dibuang begitu sahaja di satu lokasi di Kuala Krau. Insiden tersebut tular selepas dimuat naik dalam media sosial Facebook.

=========================================================================

                                        

Sesi penyerahan Jaket Kelab Taekwando NewGen bersama-sama Hana Training Academy oleh Dato’ Haji Jawahar Ali Taib Khan. 

=========================================================================

Hal itu menyebabkan ramai yang memberi komen negatif, dan membuat pelbagai andaian mengapa perkara itu terjadi termasuk antara punca kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran sekarang.

 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu juga telah mengarahkan Kawalselia Padi dan Beras untuk menyiasat kejadian tersebut.

 

Mohamad berkata, satu kenyataan rasmi berkaitan insiden itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

 

-          Raja Yusoff Ariffin

 


















disediakan.

4.1 & 4.2. 

No comments:

Powered by Blogger.