SASTERA BUDAYA
LIMA JAM BURU PEMBUNUH POLIS
DALAM kisah
benar (diadaptasi/didasarkan) atau rekaan, rasuah atau tumbuk rusuk tetap
merupakan antara musuh utama kehidupan. Ada juga yang menganggapnya sebagai ibu
segala jenayah.
Kewujudannya memang menghancurkan, tidak kira dalam
sektor mana pun, apatah lagi pihak yang berkait rapat dengan/pelaksana
undang-undang negara, serta keselamatan awam, iaitu kepolisan, dan kehakiman. Kedua-duanya
terkenal, dan menjadi sandaran masyarakat.
Namun begitu, amat malang apabila kedua-duanya yang
dipertanggungjawab/diharapkan membasmi jenayah, sebaliknya terbabit/melakukan
atau turut menjadi antara pemain jenayah.
Filem 21
Bridges (barangkali sesuai judulnya 5
Hours) diadaptasi daripada kisah/peristiwa sebenar. Kalau kisah/kejadian
rekaan pun, kerosakan yang disebabkan oleh rasuah tetap besar.
Lapan orang anggota polis terkorban ketika bertugas
kerana jenayah rasuah, bukan perkara kecil walaupun diakui oleh ketua mereka,
tidak semua si mati terlibat.
Terbabit atau tidak, kesemua yang datang ke tempat
kejadian mati. Mereka terbunuh dalam operasi yang kononnya untuk membasmi
jenayah.
Kapten Matt McKenna (JK Simmons) dari Jabatan Polis
New York (NYPD) memberitahu sedemikian kepada Andre Davis (Chadwick Boseman)
dalam ‘usaha membela diri’ ketika didakwa oleh detektif itu di rumahnya sendiri.
Jelas sekali empat daripada lapan anggota polis yang
datang ke kedai wain itu memang korup. Davis (hasil siasatannya) memberitahu McKenna
bahawa anggota-anggota bawahannya itu datang ke kedai tersebut mengambil kokain
yang disembunyikan di situ untuk diedarkan secara rahsia ketika bertugas dengan
kereta peronda. McKenna mengakuinya dan memuji kepintaran Davis, tetapi Davis
tidak ‘makan pujian’.
Alangkah kejinya kerana - biarpun seperti kata
McKenna kepada Davis itu terpaksa dilakukan atas desakan hidup, dan masalah
penyalahgunaan dadah/rasuah tidak akan selesai, seolah-olah mewajarkan jenayahnya
itu - anggota polis yang ‘bersih’ turut terkorban.
Selama ini ‘operasi’ haram McKenna berjalan lancar.
Walau bagaimanapun, lantaran desakan hidup juga, penjenayah kecil-kecilan,
Michael Trujilo (Stephan James), dan Ray Jackson (Taylor Kitsch) terpaksa
mengedar dadah. Mereka merompaknya dari kedai wain itu yang pemiliknya orang
McKenna.
‘Operasi’ McKenna malam itu musnah akibat Trujilo
dan Jackson yang sedang merompak, menembak mati empat orang anggota polis korup
tersebut. Trujilo dan Jackson tidak menyangka kokain itu berjumlah 300
kilogram, sedangkan mereka diarahkan mengambil 30 kilogram sahaja. Jadi, mereka
bingung dan sukar segera beredar. Namun begitu, alang-alang sudah di depan
mata, dan mahukan habuan lebih, mereka mengambil 50 kilogram.
Jackson yang menembak mati anggota-anggota polis
tersebut, dimarahi Trujilo kerana itu akan menyusahkan mereka. Menyedari diburu
polis, keduanya memaksa pembantu mereka, Bush (Louis Cancelmi) memujuk ‘bos’
memberi habuan lebih besar untuk menukar identiti agar terlepas. Mereka
diberikan $1 juta. Pakar pemalsu, Adi (Alexander Siddig) menukar identiti Trujilo
dan Jackson, dan menyuruh mereka ke Miami esoknya.
Menariknya, siapa dalang rompakan kokain dan tembelang
anggota-anggota polis itu tidak diketahui/disangka oleh penonton kerana
lakonan, dan plot yang kemas.
Walau bagaimanapun, kematian lapan anggota polis itu
setidak-tidaknya membuka kertas siasatan, dan dapat menghapuskan sebahagian
virus perosak masyarakat. Jika tidak dapat semua, sebahagian kecil pun memadai,
dan diadaptasikan ke filem untuk tontonan masyarakat (biarpun klise) agar ia
terus (sejak dahulu lagi) memberitahu buruknya rasuah, dan penyalahgunaan
dadah.
Mujurlah masih ada anggota polis yang baik/budiman
seperti Davis, yang tidak menyangka rakan setugasnya, Frankie Burns (Sienna
Miller) juga korup – walaupun dari jabatan narkotik.
Ketika berpeluang memberkas Trujilo, Burns ‘mengacau’
Davis. Trujilo dapat bolos, dan bersembunyi di bilik hotel, serta membuka
kandungan pemacu pena pemberian Adi, dan mendapati McKenna serta beberapa anggota
NYPD terlibat dalam kes tersebut.
Selepas mengubah wajahnya, Trujilo lari membawa
wangnya. Davis mengejar hingga ke kereta api bawah tanah, dan memaksanya
menyerah diri. Walau bagaimanapun, Trujilo tiba-tiba ditembak oleh Burns yang
juga berada di dalam kereta api itu.
Davis kecewa dan berang kerana Trujilo bersedia
menyerah diri. Dia menjerkah Burns kerana menembak Trujilo (yang menyerahkan
pemacu pena dengan kata laluan Coolhands
kepadanya sebelum mati). Burns mendakwa dia menyangka Trujilo masih mengancam
Davis.
Sewaktu sibuk menerima ucapan tahniah daripada rakan
polis, Davis yang sangsi, membuat helah meminjam telefon bimbit Burns. Bocorlah
rahsia Burns telah menghubungi Leftenan Kelly (Darren Lipari) sebelum apartmen
Adi diserbu. Rupa-rupanya Burns membunuh Trujilo agar rahsia polis korup tidak
terbongkar. Dia dan Kelly sebenarnya bersekongkol dengan McKenna.
Burns yang tiba ke rumah McKenna (setelah diminta
oleh kapten itu) mengacukan pistol kepada Davis. Ketika itu, McKenna yang
enggan menyerah diri, Kelly, serta Butchoo (Obi Abili), dan Dugan (Andy
Truschinski), dua ejen FBI yang juga konco McKenna telah mati ditembak oleh Davis.
Davis meminta Burns menyerah diri sambil memberitahu belangnya telah terdedah,
dan tidak mahu anak ibu tunggal itu hidup tanpa ibu kerana dihukum penjara
seumur hidup akibat membunuhnya.
Pada awal siasatan, Davis dan Burns dapat mengesan Tujilo
dan Jackson. Akan tetapi, Bush ditembak mati oleh Butchco, dan Dugan yang
memang mahu mengambil alih kes itu terlebih dahulu.
Apabila terlihat Butchco berbuat sesuatu pada mayat
Bush, Davis bertambah hairan kerana pasukan polis diketuai Kelly dapat mengesan
apartmen Adi dengan cepat.
Adi kemudian mati ditembak oleh polis, tetapi sempat
memberi dua pemacu pena dengan kata laluan kepada Trujilo sebelum dia dan
Jackson melarikan diri.
Kita memang mengharapkan kewujudan anggota polis seperti
Davis dan mendiang ayahnya yang bukan sahaja ‘bersih’ serta patriotik sejati,
tetapi pintar, cekap, dan peka dalam dunia sebenar – bukan seperti McKenna yang
durjana meskipun bendera Amerika Syarikat berkibar di depan rumahnya - kerana
itu tidak semustahil mengharapkan adiwira.
Ketika remaja, Davis (lakonan Christian Isalah)
menghadiri upacara pengebumian ayahnya yang terkorban sewaktu bertugas.
Beberapa tahun kemudian, dia menjadi ‘penegak undang-undang’ yang disegani di NYPD.
Ketika masih berduka atas kematian ayahnya, Davis
ditugaskan menyiasat kes kokain itu oleh Timbalan Ketua Spencer (Keith David).
Davis mendapat semangat sambil menjaga ibunya, Vonetta Davis (Adriane Lenox
semasa tua/Sarah Ellen Stephens semasa muda), dengan prinsip ‘merenung syaitan
tepat pada matanya’ ketika menghadapi penjenayah.
Davis menutup 21 buah jambatan di Manhattan dalam usahanya
memberkas Trujilo dan Jackson biarpun tanpa kelulusan timbalan Datuk Bandar
(Morocco Omari), McKenna, serta Butchco, dan Dugan. Dia dan Burns, serta polis
hanya ada masa lima jam sahaja untuk menyelesaikan tugas. Sebab itulah saya
lebih suka judul 5 Hours kerana kesemua
jambatan yang ditutup tidak turut menjadi watak filem ini.
Davis dan Burns berjaya menangkap Michael dan Ray. Selepas
tanpa sengaja membunuh seorang awam, Ray parah ditembak oleh Davis. Michael
kemudian mengancam Burns dengan pistol, dan memberitahu Davis mengenai pemacu,
sebelum melarikan diri.
Sama ada dalam dunia sebenar bertentangan dengan
polis jahat/durjana dalam satu jabatan sudah kerap dipaparkan dalam filem aksi
lasak. Mungkin kerana itu sambutan terhadapnya agak dingin meskipun Boseman
ialah pemegang watak Black Panther, filem adiwira berjudul serupa yang diminati
ramai.