BUDAYA

 

Festival Anak Sarawak 2024, Temasya Kuih 2024 di Muzium Negara

 

BAGI pencinta budaya negara, khususnya anak kelahiran Sarawak, jangan lepaskan peluang menghadiri Festival Anak Sarawak 2024 (FAS 2024) yang akan diadakan di Muzium Negara pada 23 dan 24 November ini.

 

Antara lain, FAS 2024 bertujuan memperkenal serta mempromosikan warisan budaya etnik Sarawak, dengan sasaran kehadiran seramai 5,000 pengunjung di sepanjang dua hari penganjurannya.

 

Festival ini merupakan sebuah program yang mengangkat kebudayaan dan warisan etnik-etnik yang terdapat di Sarawak.

                                                   

Dengan tema ‘Mengenali Identiti Sarawak melalui Budaya dan Warisan’, FAS 2024 menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran seni dan kraftangan, persembahan tarian tradisional, serta pertandingan yang memberi peluang kepada peserta dan pengunjung untuk lebih memahami kepelbagaian budaya Sarawak.

 

Program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keunikan Sarawak dalam kalangan masyarakat di Semenanjung Malaysia.

 

FAS 2024 dijangka memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih menghargai kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia, terutamanya dari Sarawak, sekali gus mempromosikan perpaduan antara kaum melalui pemahaman yang lebih mendalam terhadap tradisi dan warisan setiap etnik.

                                                   

Festival ini juga boleh menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya memelihara warisan budaya dalam era moden.

 

Sementara itu, Temasya Kuih 2024 (TK 2024) turut diadakan pada tarikh dan di tempat yang sama.

 

TK 2024 pula bertujuan mengangkat kuih muih tradisional Malaysia sebagai salah satu produk pelancongan yang kaya dengan warisan budaya.

 

Para pengunjung akan berpeluang mencuba pelbagai jenis kuih tradisional dari seluruh Malaysia, yang disediakan oleh para pengusaha tempatan.

                                         

Temasya ini juga akan menampilkan demonstrasi pembuatan kuih, dan pertandingan membuat kuih bagi menggalakkan penglibatan komuniti dalam memelihara resipi-resipi warisan yang semakin dilupakan.

 

Majlis perasmian FAS 2024 dan TK 2024 anjuran Kementerian Perpaduan Negara ini akan disempurnakan oleh YB Dato’ Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara pada 23 November 2024, jam 3.00 petang.

 

Pihak penganjur amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan, termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang turut berperanan memastikan kelancaran promosi FAS 2024, dan TK 2024 menerusi liputan media yang meluas.

 

RTM dijemput membuat liputan penuh di sepanjang acara berlangsung, termasuk sesi temubual eksklusif pada rancangan Selamat Pagi Malaysia pada 17 November lalu.

                                    

 +++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Pihak penganjur menjemput semua warga Kuala Lumpur dan sekitarnya untuk hadir memeriahkan FAS 2024 dan TK 2024, serta merasai pengalaman budaya yang penuh warna-warni, dan bermakna.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pihak penganjur di nombor yang tertera di bawah:

Encik Azfar

Pengurus Projek

Festival Anak Sarawak 2024

Email: festivalanak.sarawak@domain.com

Telefon: 018 329 9758

  

-      - disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

Leave a Comment

No comments:

Powered by Blogger.