Festival Seni Insan Istimewa
OKU FEST 2.0
FESTIVAL Seni Orang Kurang Upaya yang pertama telah diadakan pada Oktober 2022. Walaupun selepas empat tahun, tetapi penganjur tetap gembira dapat mengadakannya buat kali kedua.
“Kali ini, ia diberikan penjenamaan baharu, iaitu ‘OKU FEST 2.0: Festival Kesenian Insan Istimewa’ yang akan berlangsung pada 30 November dan 1 Disember 2024 di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, dari jam 10 pagi hingga 8 malam,” jelas YBhg Dato’ Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Semasa sidang media ‘OKU FEST 2.0: Festival Kesenian Insan Istimewa’ di Dewan Ismail Md Salleh, Block A, Kompleks MAB (Malaysian Association of the Blind), Jln Tebing, Off Jln Tun Sambanthan 4, Kuala Lumpur, 27 November lalu, Freddie menegaskan golongan orang kurang upaya (OKU) semakin mendapat tempat dalam masyarakat negara kita.
Dato’ Freddie Fernandez (tiga dari kiri) bersama-sama dari kiri; Lim Anuar, Hafiz Halim, Senator Isaiah D Jacob, Datuk George Thomas, Khairul, dan Dr Raihan.
“Ramai dalam golongan OKU ada keistimewaan tersendiri, malah melebihi mereka yang normal. Mereka tidak lagi sepatutnya merendah diri,” tambah beliau yang tertarik dan bersetuju dengan tema festival, iaitu Kemampuan Saya Lebih Kuat Ketimbang Kekurangan Diri Saya.
Perasmian festival tersebut akan disempurnakan oleh YB Senator Tuan Isaiah D Jacob, Ahli Dewan Negara yang mewakili komuniti OKU.
Dalam ucapannya semasa sidang media yang sama, Tuan Isaiah mengatakan beliau tidak pernah memanggil golongan OKU sebagai orang kurang upaya. Beliau menganggap dirinya tidak layak memanggil sedemikian.
“Saya memanggil mereka sebagai ‘orang golongan saya’ kerana saya juga kurang upaya; sama seperti mereka. Untuk mendorong semangat diri, saya menggunakan istilah ‘orang kuat upaya’. Jadi, diharap tiada siapa dalam kalangan kami yang berasa kurang atau kerdil,” tegas beliau.
Isaiah D Jacob, Ahli Dewan Negara (tiga dari kiri).
Turut hadir YBhg Datuk George Thomas, Pengerusi MAB; YBrs Puan Dr Raihan, pengamal perubatan dari Klinik Kenit (Social Enterprise Early Childhood Development & Family); YBrs Encik Hafiz Halim, Naib Dipertua wakil Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia {PERTIS}); YBrs Encik Khairul, Pengerusi Persatuan Masyarakat Orang Buta; dan Sdr Lim Anuar, pelukis OKU pendengaran.
Antara lain, dalam ucapannya, Datuk George mengatakan festival kesenian sebegini wajar diadakan kerana didapati ramai dalam kalangan OKU yang berbakat dalam seni suara, dan bermain alat muzik.
“Saya sebagai orang nombor satu MAB, pastilah memberikan sokongan padu, dan amat bersedia memberikan bantuan dalam apa sahaja perkara yang diperlukan,” ujarnya dengan gembira.
Sementara itu, Encik Hafiz mengatakan tidak sekadar OKU yang boleh menyanyi dan bermain alat muzik sahaja ditampilkan, tetapi elok juga dicungkil bakat-bakat bertaranum, berzanji dan sebagainya.
Susulan kejayaan penganjuran festival pertama, ‘OKU FEST 2.0: Festival Kesenian Insan Istimewa’ ditampilkan dengan pelbagai pengisian baharu, dan menarik untuk meraikan bakat, serta keunikan golongan OKU.
Festival ini bertujuan membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan luar biasa yang perlu diterokai dan diraikan.
Di sepanjang dua hari festival berkenaan, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk memenuhi minat, serta meraikan bakat golongan istimewa.
Antaranya termasuklah Pertandingan Akhir Bakat Seni Suara SBM, Pertandingan Canting Batik khas untuk kanak-kanak autisme dengan hadiah wang tunai, Persembahan OKU Jam menampilkan bakat luar biasa seperti Rizwan dan Lan Taroo, persembahan istimewa oleh Amal AF/Ex-OAG, dan kumpulan muzik ska, Reloveution, pada 30 November.
YBrs Encik Radhi Khalid, Ahli Jawatankuasa Karyawan; YBrs Encik Amad, urus setia festival; serta Rizwan dan Amal turut menghadiri sidang media. Rizwan mendendangkan dua lagu, serta Hafiz dengan sebuah lagu, sambil memetik gitar akustik.
Selain itu, satu sesi forum bertajuk Autisme Adalah Superpower! turut diadakan, menampilkan YB Altimet, ADUN Lembah Jaya yang juga seorang individu dyslexia, sebagai salah seorang ahli panel.
Pada 1 Disember, akan berlangsung acara kemuncak termasuk OKU Fest Idol dan Bengkel KL Street Artist, iaitu program khas pengambilan permit seniman jalanan yang memberi peluang eksklusif kepada warga OKU.
‘OKU FEST 2.0: Festival Kesenian Insan Istimewa’ dianjurkan oleh Karyawan dengan sokongan padu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), serta rakan strategik seperti Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Dyslexia Genius, dan MAB sendiri.
Selain Radhi, turut dijangka memeriahkan festival berkenaan adalah Rozita Rohaizad, dan Mel, mantan vokalis Wings.
Encik Amad, Ketua Urus Setia ‘OKU FEST 2.0: Festival Kesenian Insan Istimewa’.
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&& &&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
Pameran dan jualan seni turut menjadi daya tarikan festival ini, meliputi seni kraf, seni catan, seni muzik, dan pelbagai bidang lain, yang menampilkan bakat komuniti OKU, termasuk mereka dengan kelainan upaya penglihatan, pendengaran, pertuturan, anggota badan, dan autisme.
Program ini diadakan secara percuma
dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Orang
ramai digalakkan hadir memberi sokongan kepada rakan-rakan istimewa, dan
menyaksikan sendiri kekuatan serta keindahan seni yang dipersembahkan.
Bagi individu OKU yang berminat
menyertai program ini, sila hubungi YBrs Encik Amad, Ketua Urus Setia festival
menerusi talian 014-7176276 untuk maklumat lanjut.
Bersama-samalah kita meraikan bakat
dan keunikan golongan istimewa ini. ‘OKU FEST 2.0’ adalah bukti nyata bahawa
kekurangan bukanlah halangan, tetapi pemangkin kepada kejayaan!
-
disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: