Dato’ Zahida Zarik Khan (kiri) menyampaikan mock cheque sumbangan Yayasan FELDA kepada Dato’ Dr Suzana Idayu Wati Osman, disaksikan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, dan wakil-wakil penyumbang lain.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

SOSIAL

 

FELDA Lancar Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA

 

BANJIR bukan lagi bencana alam yang luar biasa bagi negara kita. Setiap tahun ia datang melanda. Walau bagaimanapun, ia sangat menyusahkan jika landaannya luar daripada biasa. Sebagai contoh, pada tahun ini.

 

Begitu pun, sama ada buruk atau sebaliknya, semua mangsa banjir tetap perlu dibantu dengan sebaik mungkin.

 

Tidak dinafikan, bukan semua orang cakna dan sentiasa ingat dengan persediaan menghadapi situasi selepas bencana ini, atau disebut pasca banjir.

                                                                            

                             

Pelepasan lebih 30 kenderaan pacuan empat roda skuad misi bantuan banjir Kumpulan FELDA oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ 

Antara pihak yang sedar dengan masalah pasca banjir adalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

 

“Jika menyebut persiapan menghadapi banjir, ada tiga peringkat yang perlu diberikan perhatian, iaitu sebelum, semasa dan selepas banjir,” ujar YBhg Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA pada 4 Disember lalu.

 

Beliau yang juga mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan sedemikian semasa berucap sebelum menyempurnakan pelancaran Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA di laman Menara FELDA, Kuala Lumpur.

                                                                                                                                                          

Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menyampaikan ucapan pelancaran Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA pada 4 Disember lalu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Menurut Dato’ Sri Ahmad Shabery lagi, program ini menyaksikan gabungan usaha sembilan anak syarikat, dan tiga badan bukan kerajaan FELDA.

 

“Kolaborasi ini menyediakan bantuan berjumlah RM1,155,200.00. Bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir merangkumi barangan pemberian, dapur masak, pakaian, makanan, kit siap siaga, dan keperluan asas lain,” jelas beliau.

 

Sehingga 3 Disember 2024, empat negeri yang memiliki rancangan FELDA telah terjejas dengan bencana ini, melibatkan Terengganu (enam rancangan), Wilayah Alor Setar (satu rancangan), Wilayah Raja Alias (lapan rancangan), dan Wilayah Trolak (tiga rancangan).

 

Wilayah Raja Alias mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu di Rancangan Jelai 4 dengan 117 rumah keluarga terjejas, diikuti Seberang Tayor, Terengganu (107 rumah).

                                        

Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menampal pelekat khas pada kenderaan pacuan empat roda skuad misi bantuan banjir Kumpulan FELDA.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 

Sehubungan itu, 15 pusat pemindahan sementara atau PPS telah diaktifkan untuk membantu mereka yang dipindahkan.

 

Keadaan lebih mencabar apabila beberapa kawasan FELDA seperti di Felda Aring (Wilayah Gua Musang), serta Felda Tersat dan Mengkawang (Wilayah Terengganu) terputus hubungan akibat banjir.

 

Justeru sejumlah 1,813 ahli keluarga dari 496 rumah di kawasan terlibat sedang mendepani cabaran pasca banjir, FELDA pastilah mengambil tanggungjawab besar untuk membantu seberapa segera.

                                                                                                       

Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek memulakan sesi pengisian peralatan bantuan banjir ke dalam kenderaan pacuan empat roda skuad misi bantuan banjir Kumpulan FELDA.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Keadaan ini menjadikan misi bantuan FELDA lebih penting dalam memastikan bantuan sampai ke kawasan yang memerlukan. Misi kali ini bukan sahaja menumpukan kepada bantuan segera, tetapi juga persediaan menghadapi gelombang banjir seterusnya.

 

Semua wilayah dan negeri telah diarahkan bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan ini. Bagi Ahmad Shabery, inilah komitmen FELDA dalam memastikan kebajikan peneroka sentiasa diutamakan.

 

Inisiatif ini membuktikan kekuatan perpaduan komuniti FELDA dan semua rakan strategiknya dalam menghadapi cabaran bencana alam.

 

Namun demikian, FELDA turut menyeru lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan, dan sokongan demi kesejahteraan komuniti yang terjejas.

 

Majlis peluncuran ini turut menampilkan penyampaian sumbangan mock cheque oleh setiap anak syarikat dan pelepasan lebih 30 kenderaan pacuan empat roda skuad misi bantuan banjir Kumpulan FELDA.

                                    

Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek turut menyempurnakan sesi penyerahan pakaian seragam khas anggota Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Turut hadir, YBhg Dato’ Dr Suzana Idayu Wati Osman, Pengarah Besar FELDA yang menerima secara simbolik kesemua mock cheque tersebut.

 

Penyumbang terbanyak dari Kumpulan FELDA adalah Jabatan Pembangunan Komuniti & Generasi (FELDA), iaitu sebanyak RM755,400.00.

 

Penyumbang-penyumbang lain adalah:

·        Yayasan FELDA - RM100,000.00.

·        MSM Malaysia Holdings Berhad - RM100,000.00.

·        FELDA Plantation Management(FPM) - RM72,000,00.

·        FGV - RM60,000.00.

·        Waqaf FELDA - RM49,300.00.

·        KPF - RM10,500.00.

·        FELKOP RM5,000.00.

·        KOGUNA RM3,000.00.

                                 

Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Dato’ Dr Suzana Idayu Wati Osman bersama-sama wakil penyumbang dari Kumpulan FELDA.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~  

Antara wakil penyumbang yang hadir termasuklah YBhg Datuk Syed Hisham Syed Wazir, Pengerusi MSM Malaysia Holdings Berhad; YBhg Dato’ Zahida Zarik Khan, Ahli Lembaga Yayasan FELDA; Encik Saifullah Mat Nor, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FPM; Encik Fakhrunniam Othman, CEO Kumpulan FGV; Encik Hisyam Ahmad, CEO Waqaf FELDA; Puan Sakinah Salleh, CEO KPF; Encik Zamri Osman, Pengurus Besar FELKOP; dan Encik Rozainie Ekhwan Roslan, Pengurus Besar KOGUNA. 

  

 

-       disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

 

    



























Leave a Comment

No comments:

Powered by Blogger.