MENARA KUALA LUMPUR

 

HYDROSHOPPE Sdn Bhd sebagai pemegang saham tunggal Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) menegaskan bahawa sebelum ini pihaknya telah mengemukakan permintaan kepada Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital), jika mereka serius, dan mampu mengambil alih operasi Menara Kuala Lumpur (MKL), mereka perlu menyerap kesemua 205 kakitangan MKLSB berdasarkan prinsip ‘no less favorable dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Langkah ini bertujuan mengelakkan pencetusan pembayaran Termination & Layoff Benefits (TLOB) yang berjumlah RM2.69 juta. Walau bagaimanapun, LSH Capital telah melengahkan proses serta menawarkan syarat pekerjaan yang kurang menguntungkan (‘less favorable’), dan memberi kesan negatif kepada kebanyakan pekerja Bumiputera di MKL.

 

Kelewatan membuat tawaran ini telah menyebabkan MKLSB terpaksa menanggung pembayaran TLOB, yang sekali gus merupakan satu penganiayaan.

 

Maklumat yang diterima daripada bekas kakitangan MKLSB turut menunjukkan bahawa tawaran pekerjaan diberikan secara selektif, dan terdapat individu yang menerima manfaat lebih rendah ketimbang apa yang telah MKLSB tawarkan. Ia tidak sebagaimana yang digambarkan melalui kenyataan media mereka.

 

Justeru, semua ini menunjukkan LSH Capital sedang bermain helah untuk memburuk-burukkan MKLSB. Atas sebab kemungkiran berterusan LSH Capital dan Kementerian Komunikasi, MKLSB berhak untuk meneruskan operasi selepas 1 April 2025, dan telah membawa pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah terlebih dahulu.

 

Walau bagaimanapun, terdapat usaha daripada LSH Capital untuk menawarkan pekerjaan kepada kakitangan sementara, yang dilihat sebagai cubaan mengganggu kelangsungan operasi Business As Usual (BAU) di MKL.

 

MKLSB juga ingin menegaskan bahawa tindakan LSH Capital ini boleh dikategorikan sebagai ‘employee raiding’, iaitu tindakan pengambilan pekerja secara agresif daripada MKLSB secara tidak sah dengan tujuan mengganggu operasi MKL.

 

Sementara itu, bagi makluman, semua akaun bil utiliti yang berkaitan dengan operasi MKL masih berdaftar atas nama MKLSB. Sehingga kini, tiada sebarang permohonan daripada LCH Capital yang menunjukkan dakwaan mereka mampu mengambil alih pada 1 April 2025 adalah sekadar sandiwara.

 

MKLSB sekali lagi menekankan bahawa kes ini telah dibawa ke mahkamah, dan LSH Capital dan Kementerian Komunikasi hendaklah berhenti membuat sebarang kenyataan yang tidak berasas, serta menghormati prinsip undang-undang yang sedang berjalan.


- disunting untuk siaran oleh RAYUSA

Leave a Comment

No comments:

Powered by Blogger.