YBrs Tuan Haji Kamarudin Ahmad, YBhg Datuk Abu Bakar Isa Ramat, YBhg Dato’ Seri Rajan Navaratnam, dan YBrs Cik Wong Siew Mun bersama-sama beberapa peserta Sesi 5 Townhall Rakyat pada 24 Mei lalu.

                                                                            ======

UNDANG-UNDANG

 

Sesi 5 Townhall Rakyat ‘Panas’ dengan Isu Titah Adendum, 3R

 

AP Media Communications dan NMH Media Network menganjurkan Sesi 5 Townhall Rakyat: Mencari Kebenaran dengan isu ‘Perundangan dan Hak Asasi Manusia’, di Worq Space, Gateway Mall, KL Gateway Malll pada 24 Mei lalu.

Dimudahcarakan oleh YBrs Tuan Haji Kamarudin Ahmad, peguam kanan/aktivis sosial, sesi tersebut menampilkan YBhg Dato’ Seri Rajan Navaratnam, peguam kanan/penulis; YBhg Dato’ Hasnal Rezua Merican Habib Merican, peguam kanan/Pesuruhjaya SUHAKAM; YBhg Datuk Abu Bakar Isa Ramat, peguam kanan/strategi litigasi; dan YBrs Cik Wong Siew Mun, Ketua Pemuda MCA Pahang/aktivis kebenaran sebagai ahli panel.


YBhg Dato’ Hasnal Rezua Merican Habib Merican (dua dari kanan).

Antara isu yang ‘panas’ dibincangkan adalah titah adendum untuk YBhg Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, mantan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong (YdPA) ke-16, dan 3R (kaum, agama dan Raja-raja).

Datuk Hasnal Rezua mengatakan Kerajaan tersalah kendali isu berkaitan titah adendum, sedangkan ia telah disahkan wujud bagi membolehkan Dato’ Sri Najib menjalani baki tempoh pemenjaraan sebagai tahanan rumah.

“Kerajaan tiada pilihan, sebaliknya perlu memutuskan yang mana silap dan yang mana betul. Bukan bermain dengan bayang-bayang. Kerajaan memang tersalah kendali isu titah adendum,” ujarnya.

Beliau bersetuju kegagalan itu menimbulkan ‘huru-hara’ walaupun dikri tersebut telah disahkan oleh Majlis Kesultanan Pahang, dan sepatutnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk dilaksanakan.

 

Walau bagaimanapun, menurut Hasnal, perkara itu didiamkan oleh Peguam Negara sehinggalah kerajaan ‘dimalukan’ oleh Mahkamah Rayuan, apabila mengembalikan semakan kehakiman mantan Perdana Menteri untuk didengar, dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.


YBhg Datuk Abu Bakar Isa Ramat (dua dari kiri).



YBrs Cik Wong Siew Mun (kanan sekali).

                                          

                                             YBhg Dato’ Seri Rajan Navaratnam (tengah).

Beliau menyatakan sedemikian ketika menjawab soalan seorang peserta, adakah Kerajaan berada dalam ‘huru-hara’ kerana bermain dengan ‘bayang-bayang’ berkaitan titah adendum.

 Ahli-ahli panel turut ditanya oleh seorang peserta mengenai perkara berkaitan hak asasi manusia yang menyentuh isu tahanan rumah melibatkan Najib.

Jika Najib dibenarkan menghabiskan baki hukuman penjara di rumah, katanya, itu akan menyebabkan lebih ramai yang memohon pengampunan untuk diberi peluang serupa.

Namun begitu, Dato’ Seri Rajan menjelaskan, pengampunan diraja adalah kuasa mutlak YDPA yang sesiapa pun tidak berhak untuk menafikannya.

“Pihak yang tidak mendapat pengampunan, tidak berhak untuk mempertikaikannya. Ini kerana YDPA mendapat nasihat Lembaga Pengampunan yang bersidang,” ujarnya.

Tuan Haji Kamarudin turut mencelah dengan mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya memohon maaf selepas titah adendum disahkan wujud, dan selanjutnya meminta Peguam Negara menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Rajan juga bersetuju semua pihak tidak perlu membawa perkara tersebut ke mahkamah, sebaliknya hanya menunggu masa untuk melaksanakan titah berkenaan.

“Tidak perlu lagi berhujah sama ada ia wujud atau tidak kerana ia telah disahkan oleh pihak-pihak yang berkenaan,” ujarnya.

Menjawab soalan Kamarudin sama ada wajar atau tidak ia dirayu di Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar pula menyatakan, Peguam Negara ada hak berbuat sedemikian, tetapi beliau berpendapat rayuan untuk hal itu tidak perlu.

Kamarudin juga berpendapat suasana ‘gelap’ akan terjadi kalau Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Peguam Negara.

Walau bagaimanapun, Rajan berpandangan, isu yang dibangkitkan di Mahkamah Persekutuan tiada kena mengena dengan semakan kehakiman yang Najib failkan di Mahkamah Tinggi.

Kalau Peguam Negara berjaya dalam rayuannya kelak pun, ujar beliau, keputusan itu bergantung pada Mahkamah Persekutuan, dan Najib masih ada satu peluang untuk menyemaknya.

Siew Mun turut meluahkan kekecewaannya apabila titah adendum disembunyikan. Sebagai anak kelahiran Pahang, beliau mempersoalkan mengapa titah itu ‘disorokkan’ pada peringkat awal.

“Siapa yang membuat keputusan menyorokkan titah tersebut? Kalau hari ini ‘suara’ raja pun berani dipinggirkan, apatah lagi suara rakyat,” katanya lagi.

 “Kalau kes berprofil tinggi begini ‘disenyapkan’, apatah lagi kes-kes yang lain? Jika insan itu bukan Najib, adakah dia terus berdepan dengan kekangan?” soal Siew Mun.

 Mengenai isu 3R, Kamarudin berpendapat ia boleh dibincangkan oleh umum, asalkan tiada kecenderungan menghasut.

                                        

Dari kiri; YBrs Tuan Haji Kamarudin Ahmad, YBhg Datuk Abu Bakar Isa Ramat, YBhg Dato’ Seri Rajan Navaratnam, dan YBrs Cik Wong Siew Mun selepas usai Sesi 5 Townhall Rakyat pada 24 Mei lalu.

 

“Tiada masalah menyentuh isu berkenaan, tetapi perlu mengelakkan cetusan bibit-bibit ke arah menghasut. Rakyat negara ini berhak memberikan pandangan, dan berpersatuan yang merupakan hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau.

Hasnal pula berpendapat, Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang kebebasan bersuara dan tiada peruntukan undang-undang yang mengecualikan isu 3R daripada perbincangan umum.

“Jangan guna isu 3R untuk menghalang rakyat berdiskusi kerana ia tidak semestinya menimbulkan kebencian terhadap pihak-pihak tertentu,” ujarnya.

Siew Mun turut berpandangan isu 3R sewajarnya dibuka untuk perbincangan lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pergaulan sihat.

“Tiada masalah bila bergaul dengan kawan-kawan berlainan agama dan kaum. Saya sendiri pun pergi masjid, dan belajar berpuasa. Kawan saya juga pergi ke tokong,” ujarnya. 

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

 

                                                


Leave a Comment

No comments:

Powered by Blogger.