BUDAYA
Roti Canai Juga Wadah Perpaduan Masyarakat Negara Kita
SEBANYAK 10 kilogram tepung gandum disediakan untuk peserta Pertandingan Roti Canai Melayang di Taman Tasik Titiwangsa (3T), Kuala Lumpur pada 15 September lalu.
Pertandingan tersebut diadakan bersempena dengan Festival Budaya Malaysia 2025 (FBM2025) dari 12 hingga 16 September, anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan banyak lagi.
Menariknya, pertandingan tidak disertai para pembikin roti canai profesional, tetapi orang ramai yang selama ini hanya ‘pandai’ makan sahaja.
“Pihak kami memberikan peluang kepada orang ramai yang langsung tiada pengalaman membuat roti canai. Biar orang ramai turut merasai pengalamannya,” ujar YBrs Puan Emma Masri, Editor Pengurusan Majalah Rasa.
Menurut beliau lagi, pertandingan bertujuan mencungkil bakat orang ramai lelaki-wanita pelbagai kaum menebar, dan melayangkan roti canai. Begitupun, katanya, cara melayangkan yang lebih diutamakan ketimbang menebar.
Ia juga berhasrat mengangkat dan mengekalkan roti canai, yang telah diwartakan sebagai makanan tradisi rakyat Malaysia zaman-berzaman, tanpa mengira darjat keturunan.
Pertandingan, jelas Emma, kali pertama diadakan pada tahun lalu dalam Rasa Layan Curry Fiesta (RLCF). Oleh kerana roti canai biasa dimakan dengan kari, ia sesuai untuk laman RLCF, FBM2025.
Jelas beliau, lebih 100 orang mendaftar untuk mengambil bahagian selepas iklan promosi dikeluarkan secara atas talian, dua minggu sebelum pertandingan.
“Namun demikian, oleh sebab kekangan masa, kami terpaksa menghadkan jumlah peserta pada hari pertandingan walaupun turut membuka penyertaan spontan dalam kalangan pengunjung,” ujar Emma yang amat berterima kasih kepada Jabatan Warisan Negara sebagai rakan strategi.
“Peserta
paling muda adalah dalam kategori lelaki, iaitu berusia 11 tahun. Kategori
lelaki menampilkan 13 peserta, sementara kategori wanita pula hanya sembilan, selepas
seorang peserta dari kaum Cina terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir,”
jelas Emma.
Hadiah
untuk kedua-dua kategori adalah RM300 untuk juara, RM200 naib juara dan RM100
tempat ketiga, berserta hamper.
Hadiah
wang tunai, jelas beliau, disumbangkan oleh majalah Rasa, sementara hamper
daripada Marjerin Seri Pelangi.
Pertandingan
dibuka dengan persembahan istimewa menebar dan melayangkan roti canai oleh
seorang usahawan roti canai berpengalaman 21 tahun, dan Adik Amsya di hadapan
para juri, dan penonton.
Amsya, anak seorang usahawan roti canai, dan juara pertandingan yang pernah diadakan, turut membantu para peserta memulakan aksi.
Kegembiraan
menyaksikan pertandingan tersebut juga disebabkan oleh gelagat dan celoteh lucu
pasangan pelawak/pelakon komedi Acap (kanana) dan Faiz sebagai pengacara.
-
disesuaikan
untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: