AGAMA/PELANCONGAN

 

Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Datang Lagi!

 

LEMBAGA Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Bumitra Malaysia akan menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ke-4 (KHUP 4) dari 28 hingga 30 November 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang.

 

Karnival ini merupakan platform untuk masyarakat mendapatkan maklumat tepat, telus dan terkini mengenai pakej haji, umrah dan pelancongan yang ditawarkan oleh 34 pengelola jemaah haji (PJH) berlesen di bawah seliaan TH.

 

Menurut Ketua Jabatan Haji TH, YBrs Tuan Haji Mohd Hisham Harun, penganjuran KHUP 4 bukan sekadar pameran, malah merupakan satu platform ilmu, pengalaman dan komuniti haji, umrah serta pelancongan.

 

“Karnival ini akan memberi peluang kepada bakal haji untuk membuat pililhan pakej haji mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing,” tambah beliau.

 

Semasa majlis PraPelancaran KHUP 4 di ibu kota pada 17 November 2025, Haji Mohd Hisham turut memaklumkan bahawa TH telah meluluskan lesen PJH bagi musim haji 1447 Hijrah/2026 Masehi kepada tambahan tiga agensi pelancongan, iaitu Citra Travel & Tours Sdn Bhd, Glocal Travel & Tours Sdn Bhd, dan MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd.

 

“Penambahan itu menjadikan bilangan PJH yang dilesenkan bagi musim haji 1447 Hijrah adalah 34 PJH,” ujar Mohd Hisham.

 

Antara tarikan KHUP 4 termasuklah Program Bual Bicara dan Podcast TH, Simulasi Haji Cilik, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, persembahan artis nasyid seperti Raihan, Inteam dan Mawi, serta penampilan istinewa Omar & Hana, di samping kuiz interaktif, cabutan bertuah, dan Bazar Karnival.


                                       

Dari kiri; YBrs Tuan Haji Anuar Ahmad, YBrs Tuan Haji Mohd Hisham Harun, YBrs Tuan Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin, dan YBrs Ab Rahman Mohd Ali.

                                                                                **** 

Pelbagai pakej ekonomi di bawah RM55,000 turut ditawarkan oleh PJH berlesen. Orang ramai boleh merujuk e-Brosur Pakej Haji 1447 H/2026 M melalui laman rasmi www.tabunghaji.gov.my.

 

“TH menyeru semua PJH memanfaatkan peluang KHUP 4 untuk memperkenalkan pakej, dan memberi kefahaman jelas kepada masyarakat. Semoga usaha bersama ini memperkukuh ekosistem haji negara, dan membantu para Dhuyufurrahman mencapai haji yang mabrur,” ujar Hisham.

 

Sementara itu, menjawab persoalan apakah antara masalah yang dihadapi di sepanjang penganjuran KHUP sebelum ini, beliau mengatakan ruang acara yang tidak mencukupi lantaran penambahan jumlah pempamer, selain tempat letak kereta.

 

Sehubungan itu, Hisham tidak menolak kemungkinan mengadakan KHUP di tempat yang lebih luas, dan selesa, termasuk kawasan parkirnya.

 

“Insya-Allah, KHUP akan datang diharap lebih baik lagi dengan ruang pameran dan letak kereta yang lebih luas-selesa. Insya-Allah, cadangan mengadakannya di Kuala Lumpur akan difikirkan,” jawab beliau mengenai syor dan pertanyaan tersebut.

 

Turut hadir YBrs Tuan Haji Anuar Ahmad, Ketua Bahagian Agensi Haji; YBrs Tuan Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin, Presiden Bumitra Malaysia; dan YBrs Ab Rahman Mohd Ali, Pengarah Projek.


                                                          

                                          

 

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Powered by Blogger.