PENDIDIKAN

 

Ulang Tahun ke-11 Alumni GPMS Diberkati Majlis Tahlil, Doa Selamat di Masjid Negara

 

ALUMNI Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-11 pada tahun ini.

 

Bersempena dengan itu, Alumni GPMS menganjurkan majlis ‘Tahlil dan Doa Selamat’ di Bilik Syarahan Utama, Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada 1 Februari lalu.

 

Antara tujuan penganjuran majlis yang dipimpin oleh YBrs Ustaz Mohd Nadzri Mustakim, Imam Masjid Negara itu ialah membaca tahlil dan doa selamat sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin Melayu-Islam yang telah berjuang demi agama, bangsa dan negara sejak 1948.

                                    

YBrs Ustaz Mohd Nadzri Mustakim (berkupiah putih) memimpin majlis ‘Tahlil dan Doa Selamat’ ulang tahun ke-11 Alumni GPMS pada 1 Februari lalu.

=========================================================================

Majlis tersebut juga bertujuan memohon rahmat serta keberkatan Allah SWT bagi kesejahteraan ahli Alumni GPMS di sepanjang 2025, dan mengeratkan silaturahim antara ahlinya dari seluruh negara, juga masyarakat setempat.

                                                                             

                                                                            

Sebahagian daripada jemputan yang turut menghadiri majlis ‘Tahlil dan Doa Selamat’ ulang tahun ke-11 Alumni GPMS di Bilik Syarahan Utama, Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada 1 Februari lalu.

=========================================================================

Menghimpunkan kira-kira 300 ahli, termasuk jemputan khas, dan pihak media, perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, yang turut menyampaikan ucapan.

 

Terdahulu, YM Dato’ Syed Anuar Syed Mohamad, Presiden Alumni GPMS Kebangsaan menyampaikan ucapan alu-aluan beliau.

 

Turut hadir YBrs Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP); YBhg Datuk Mohd Nizam Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; YBhg Dato’ Sri Ir Dr Rashid Maiden, Naib Presiden 1 Alumni GPMS Kebangsaan; YBhg Dato’ Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Naib Presiden 2 Alumni GPMS Kebangsaan; dan YBrs Encik Muhammad Hasif Hussin, Penolong Pengarah Kanan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

                                                                                        

Antara warga emas penerima bantuan yang disampaikan oleh YBhg Datuk Azman Abidin (atas), dan YM Dato’ Syed Anuar Syed Mohamad (bawah). 

=========================================================================

Juga hadir YBrs Puan Hajah Zaharah Adnan dari Persatuan Kor Wanita Kota Kuala Lumpur (PKWKL); YBhg Dato’ Seri Mohamed Rahim Husin, Penasihat Kehormat Alumni GPMS Terengganu; dan YBhg Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir, Timbalan Pengurus Besar, Jabatan Pembangunan Komuniti, Komunikasi Strategik & IT Kumpulan YWP.

 

Mereka disertai Ahli Majlis Tertinggi Alumni GPMS, mantan-mantan pemimpin GPMS, dan Pengerusi Alumni GPMS Negeri-negeri.

 

Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan Alumni GPMS, majlis ‘Tahlil dan Doa Selamat’ berkenaan turut melibatkan penyerahan bantuan kepada 120 warga emas, asnaf, orang kurang upaya, dan para pejuang pendidikan yang uzur, dan ditimpa masalah kelangsungan hidup, serta memerlukan bantuan kecemasan.

 

“Sumbangan diperoleh menerusi kerjasama strategik dengan Yayasan Wilayah Persekutuan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Alumni GPMS dalam memperkukuh nilai-nilai kebajikan, dan keprihatinan kepada masyarakat,” jelas Dato’ Syed Anuar.

                                                                                                                                                  

Dalam ucapan beliau, YM Dato’ Syed Anuar Syed Mohamad turut berharap Alumni GPMS akan mempunyai bangunan sendiri tidak lama lagi.

========================================================================= 

Bagi menjayakan majlis ini, tambah beliau, kerjasama turut diperoleh dari pihak Masjid Negara, DBKL, Alumni GPMS Wilayah Persekutuan, serta PKWKL. Perhatian dan sokongan pihak media juga amat dihargai.

 

Sementara itu dalam ucapannya, Datuk Azman menegaskan beliau sentiasa menyokong usaha semua pihak seperti aktiviti dari badan bukan kerajaan, termasuk majlis ‘Tahlil dan Doa Selamat’ berkenaan.

 

“Saya melihat gerakan Alumni GPMS sebagai gerakan yang cukup berpengaruh, dan akan sentiasa diteladani kumpulan pendidik. Ini termasuklah langkahnya yang dilihat kekal relevan dari segi pendidikan, dan kebajikan para alumni,” ujar beliau.

                                    

YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri Malaysia menyampaikan ucapan.

=========================================================================

Azman menambah, terdapat pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan seperti geran-geran kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Geran Kementerian Pendidikan Malaysia, Geran Kementerian Perpaduan Negara, dan Geran Jabatan Kebajikan Masyarakat.

                                        

Penyampaian cenderamata kepada YBhg Datuk Azman Abidin (depan dua dari kiri) oleh YM Dato’ Syed Anuar Syed Mohamad (depan dua dari kanan).  

=========================================================================

“Untuk peningkatan tenaga mahir, pihak Alumni boleh memohon Dana Sokongan Kementerian Sumber Manusia atau KESUMA, Dana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi/MOSTI, Tabung Pembangunan Usahawan, Geran Khidmat Masyarakat Peringkat Negeri/SUK Negeri, serta Geran Yayasan dan Badan-badan Korporat,” ujarnya.

 

Kesemuanya, tegas Azman, mencerminkan sokongan dan komitmen YAB Perdana Menteri dalam menggalakkan penglibatan, dan sumbangan daripada Alumni GPMS, untuk memperkukuh institusi pendidikan, dan menyokong pelajar yang memerlukan.

                                 

YBhg Datuk Azman Abidin (dau dari kiri) turut menitipkan beberapa pesanan semasa sidang media selepas merasmikan majlis ‘Tahlil dan Doa Selamat’ di Bilik Syarahan Utama, Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada 1 Februari lalu.

=========================================================================

“Saya menyeru agar kita semua terus berganding bahu memperkukuh peranan Alumni GPMS, serta memacu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan ‘jendela ke Malaysia’ ke tahap yang lebih cemerlang, bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini, iaitu 1 Februari setiap tahun,” tegas beliau mengakhiri ucapan.      

                                    

  

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN



Leave a Comment

No comments:

Powered by Blogger.