KESIHATAN
Gabungan
Tiga Pihak yang Cakna Jayakan Kempen ‘Kami Bawa Senyuman’
MYDIN
Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), dengan kerjasama Procter & Gamble
(P&G) Malaysia, melancarkan sebuah kempen tanggungjawab sosial korporat
(CSR) bersama-sama Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS), yang bertujuan
menyemai harapan dan kegembiraan buat kanak-kanak yang menghidap penyakit
terminal di seluruh negara.
Kempen bertemakan ‘Kami Bawa Senyuman - Jom
Tunaikan Impian Kanak-Kanak’ ini menggalakkan rakyat Malaysia menjadikan
pembelian harian sebagai satu bentuk sumbangan bermakna. Ia berlangsung selama
45 hari, bermula 15 Mei lalu sehingga 30 Jun depan.
Pelancaran Kempen ‘Kami Bawa Senyuman – Jom Tunaikan Impian Kanak-Kanak’ disempurnakan oleh YB Puan Jamaliah Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, di MYDIN Mall, Subang Jaya pada 22 Mei lalu.
YB Puan Jamaliah Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama, menyampaikan ucapan pelancaran.
********
Turut hadir YBrs Encik Nantha Kumaran
Kalimuthu, Pengurus Negara P&G Malaysia dan Singapura; YBrs Encik Teoh Teik
Hoong, Presiden CWS; YBhg Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan
MYDIN; dan YBhg Datin Siti Hawa Mohd, Pengarah MYDIN.
Dalam ucapannya, Encik Nantha mengatakan sebagai
sebuah syarikat yang komited terhadap kesejahteraan komuniti, P&G percaya
bahawa adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyokong golongan yang paling
memerlukan, terutamanya kanak-kanak yang sedang menghadapi ujian hidup yang
berat.
“Kolaborasi bersama-sama MYDIN dan Persatuan
Impian Kanak-Kanak Malaysia membolehkan kami merealisasikan impian kanak-kanak
ini, serta memberikan mereka memori yang penuh makna, dan kegembiraan. Momen
seperti inilah yang menjadi inspirasi utama P&G Malaysia untuk terus
berbakti kepada masyarakat,” jelas beliau.
======
Menurut Datuk Wira (Dr) Haji Ameer, pihak
beliau percaya bahawa setiap perniagaan mempunyai peranan dalam membangunkan
sesebuah komuniti.
“Melalui kempen ini, MYDIN berpeluang membawa senyuman kepada kanak-kanak penghidap penyakit terminal. Dengan kerjasama P&G dan CWS, kami bangga dapat membantu menjadikan aktiviti membeli-belah harian di MYDIN sebagai aktiviti yang bermakna. Dengan sokongan semua pihak, kita mampu merealisasikan impian kanak-kanak tersebut,” tambah beliau.
Inisiatif yang dilaksanakan cukup dekat di
hati bagi merealisasikan hasrat kanak-kanak kurang bernasib baik. Selama 18
tahun, kata Ameer, CWS menunaikan impian kanak-kanak, yang kadang-kadang cuma mahu
ke zoo, menjadi anggota bomba, atau Batman untuk sehari.
"Walaupun impian ini mungkin kecil bagi kita, tetapi besar maknanya buat mereka,” katanya selepas majlis perasmian kempen berkenaan.
YBrs Encik Teoh Teik Hoong, Presiden CWS menyampaikan ucapan alu-aluan beliau dalam dwi bahasa.
*****
Tambah Ameer, dengan setiap pembelian
barangan P&G bernilai RM10 ke atas, di semua cawangan MYDIN Mall, pelanggan
telah menyumbang 10 sen ke arah mencapai sasaran RM100,000 dalam tempoh 45
hari, yang disalurkan kepada CWS.
CWS merupakan organisasi badan beramal
berdaftar yang berpusat di Subang Jaya. Ia bekerjasama rapat dengan pasukan
perubatan di hospital-hospital kerajaan bagi mengenal pasti kanak-kanak di
bawah umur 18 tahun yang menghidap penyakit terminal atau kritikal.
Mereka akan diberi peluang untuk berkongsi
impian mereka, sama ada dalam bentuk hadiah, pengalaman istimewa, mahupun
aktiviti bersama keluarga. CWS akan berusaha memenuhi impian tersebut dalam masa
yang terdekat.
Sementara itu, dalam ucapannya, Encik Teoh memberitahu bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal, satu impian yang tercapai boleh memberikan mereka kekuatan luar biasa. Ia bukan sekadar kegembiraan, malah menjadi sumber motivasi untuk terus melalui ujian hidup.
“Kami amat menghargai sokongan MYDIN dan
P&G Malaysia yang membolehkan kami membantu lebih ramai kanak-kanak, serta
memberi kenangan indah buat mereka dan keluarga,” tambah beliau.
Kempen ‘Kami Bawa Senyuman - Jom Tunaikan Impian Kanak-Kanak’ menggalakkan seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menjayakan misi murni ini. Melalui pilihan bijak sewaktu membeli-belah, pengguna bukan sahaja memperoleh produk keperluan, malah turut menyumbang kepada senyuman, harapan dan impian yang menjadi kenyataan.
Kempen dengan inisiatif murni ini merealisasikan
impian kanak-kanak terlibat bagi mengukir kegembiraan, dan memberi semangat
walaupun menerusi kehidupan yang sukar. Melalui setiap pembelian produk P&G
di MYDIN, sejumlah dana akan dikumpulkan, dan disalurkan kepada mereka.
- - disesuaikan
untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: