Dari kiri; Encik Derick Ng, rakan strategi, Encik Kamarudin Mohd Hussain, Encik Mugilarasan, Encik Kabeer Maand, dan Encik Hamizi M Hussin.


EKONOMI

 

Teksi EV dengan Sistem Penukaran Bateri Tangani Krisis Bahan Api

PEREMAJAAN INDUSTRI PENGANGKUTAN AWAM NEGARA

 

BUKAN sahaja akibat krisis kenaikan harga bahan api, tetapi juga kerana menyahut dan memenuhi hasrat Perdana Menteri yang mahu membangkitkan semula industri pengangkutan awam negara, khususnya teksi.

 

“Diakui perkhidmatan teksi di negara kita semakin suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain kerana kemunculan e-hailing yang bercitra lebih ‘anggun’, ia juga disebabkan oleh sikap pemandu teksi sendiri,” ujar YBrs Encik Kamarudin Mohd Hussain, Presiden Gabungan Teksi Malaysia (GTSM).

 

Perubahan positif dan peremajaan industri teksi negara, katanya lagi, amat penting dilakukan demi membantu kehidupan para pemandu/pengusaha yang telah menjadikannya sebagai kerjaya, atau sumber rezeki.

                                   


Encik Kamarudin menegaskan sedemikian semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU): Kerjasama Strategik Menangani Krisis Bahan Api dan Pembangunan Teksi EV dengan Sistem Penukaran Bateri Automatik di GV Car Import Sdn Bhd, Taman Asa Jaya, Kajang pada 23 April lalu.

 

Majlis tersebut diadakan dengan tujuan membawa transformasi besar bagi industri teksi negara apabila empat syarikat utama menjalin kerjasama strategik untuk memperkenalkan teksi kenderaan elektrik (EV) yang dilengkapi sistem penukaran bateri automatik.

 

Inisiatif di bawah program GTSM ini dimeterai menerusi MoU yang melibatkan YBrs Encik Hamizi M Hussin, Ketua Pegawai Teknologi EV Auto Works Sdn Bhd; YBrs Encik Derick Ng, Ketua Pegawai Eksekutif Voltgem Energies Sdn Bhd; YBrs Encik Kabeer Maand, Ketua Pegawai Eksekutif, GV Car Import Sdn Bhd; serta YBrs Encik Mugilarasan, Ketua Pegawai Strategi, Alirantek (M) Sdn Bhd.

 

“Menggunakan teknologi canggih, dalam hal ini, teksi EV, untuk memperkukuh hala tuju industri teksi negara memang penting. Walau bagaimanapun, budaya kerja juga penting untuk melengkapkannya. Sikap positif diri sendiri, selain bersatu hati dalam bekerjasama perlu sentiasa ada,” tegas Kamarudin.

                                                                              

                Encik Kamarudin Mohd Hussain, Presiden Gabungan Teksi Malaysia.


Beliau amat berterima kasih kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengotakan janji membantu industri pengangkutan negara, khususnya teksi.

 

“Perdana Menteri pernah berjanji semasa belum memegang jawatan dahulu untuk membantu menaikkan semula perkhidmatan teksi di negara kita. Alhamdulillah kerana beliau tidak melupakan janji yang diucapkan,” ujar Kamarudin lagi.

 

Dalam hal mengubah sikap dan bersatu hati, beliau menyeru agar pemandu teksi persendirian memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

 

Ujar Kamarudin, pakej komprehensif yang ditawarkan kepada pemandu, termasuk penggunaan sistem penukaran bateri secara percuma selama setahun, sewaan kenderaan serendah RM80 sehari, serta penyelenggaraan penuh termasuk komponen ‘haus dan lusuh’, jangan dipandang remeh.

 

“RM80 sehari, tetapi lebih selamat dan menjimatkan kerana pemandu teksi tidak perlu fikir soal minyak, perlindungan insurans, serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” ujar beliau.  

 

Tidak memaksa pemandu teksi, tambah Kamarudin, tetapi walaupun kadar sewaan teksi rendah, seperti RM45 sehari misalnya, mereka perlu memikirkan soal bahan api, perlindungan insurans, KWSP dan PERKESO.

 

“Dengan menyertai program GTSM di seluruh negara ini, semua masalah asas tersebut tidak menjadi bebanan fikiran lagi. Pemandu juga akan menikmati jaminan bateri sepenuhnya,” jelas beliau sambil berharap Kerajaan dapat memudahkan kaedah permohonan permit syarikat teksi.

 

Sementara itu, Encik Kabeer selaku Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, berkata, kerjasama tersebut bertujuan mempercepatkan peralihan industri teksi dan e-hailing ke arah penggunaan EV berteknologi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.


                                 


“Penggunaan sistem penukaran bateri automatik yang dibangunkan oleh Voltgem Energies Sdn Bhd merupakan antara inovasi utama yang mampu mengubah landskap operasi pengangkutan awam,” jelas beliau.

 

Teknologi ini, tambah Kabeer, membolehkan bateri ditukar dalam tempoh yang singkat di stesen khas tanpa perlu menunggu proses pengecasan, sekali gus hampir menghapuskan masa henti operasi kenderaan.

 

la bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tambah beliau, malah membantu pemandu menjana pendapatan yang lebih stabil kerana masa di jalan raya dapat dimaksimumkan.

 

“Inisiatif tersebut turut dirangka sebagai solusi jangka panjang dalam menangani peningkatan kos bahan api yang semakin membebankan pemain industri,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa semua kenderaan yang diperkenalkan mematuhi piawaian keselamatan ASEAN NCAP, dan direka khusus untuk kegunaan pengangkutan awam profesional, dengan penekanan terhadap keselamatan pemandu dan penumpang.

 

Mengulas lanjut, Kabeer berkata kerjasama tersebut turut merangkumi pembangunan projek pemasangan tempatan EV secara terhantuk sepenuhnya (CKD), yang akan memberi tumpuan pada pengeluaran kenderaan EV dengan teknologi penukaran bateri di Malaysia.

 

“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos kenderaan, malah membuka ruang kepada pemindahan teknologi, serta pengukuhan ekosistem industri EV tempatan,” tambahnya.

 

“Kami menyasarkan Malaysia muncul sebagai hab pembangunan teknologi EV berasaskan sistem penukaran bateri pada peringkat ASEAN,” ujar Kabeer lagi.


                                                                        

                                                                       


Langkah tersebut, tambahnya, dijangka memberikan impak jangka panjang termasuk mempercepat peralihan kepada mobiliti elektrik nasional, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, serta mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih pintar, dan mesra alam.

 

Kata Kabeer lagi, pihaknya berharap dapat sokongan penuh pihak Kerajaan seperti Kementerian Kewangan; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Pengangkutan, dan lain lain yang terlibat.

 

-       disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

 


                         

 

 

 

No comments:

Powered by Blogger.