EKONOMI



                                       

Pameran Jenama & Ekspo Perdagangan China (Shandong)-Malaysia Penghujung Mei Ini

 

DEMI mengukuhkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan Wilayah Shandong, serta menyusuli siri perjanjian yang dicapai semasa lawatan Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Shandong CPC, Encik Lin Wu ke Malaysia pada September 2025, maka Pameran Jenama & Ekspo Perdagangan China (Shandong)-Malaysia (CMBETF) bakal berlangsung di Malaysia dari 22 hingga 24 Mei 2026.

 

Pameran dan ekspo yang dianjurkan di bawah bimbingan Jabatan Perdagangan Wilayah Shandong ini dijangka menghimpunkan kira-kira 100 perusahaan terkemuka dari Wilayah Shandong, China (melibatkan sekitar 260 delegasi perniagaan), bersama-sama komuniti perniagaan Malaysia, pihak berkepentingan industri, dan pelabur.

 

Semasa sidang media di Wisma MCA, Jalan Ampang pada 7 Mei 2026, pihak penganjur memaklumkan bahawa CMBETF bertujuan menyediakan platform tahap tinggi yang cekap, bagi mempromosikan perdagangan dan pelaburan.

 

CMBETF 2026, tambahnya, akan mempamerkan produk berkualiti tinggi dan teknologi canggih dari Shandong dalam sektor seperti pembuatan peralatan, pertanian moden, tenaga dan bahan baharu, makanan, serta barangan pengguna premium.


                                                                                                                                                                                                                                         m                                                                        


"Pada masa yang sama, ia membuka peluang bagi produk istimewa Malaysia menembusi pasaran Shandong dan China yang lebih luas," jelasnya.

 

Menurut pihak penganjur lagi, sebagai salah satu wilayah ekonomi utama di China, Shandong memainkan peranan penting dalam mengekalkan kerjasama ekonomi yang erat antara China dengan Malaysia bagi tempoh jangka panjang.

 

"Pameran dan ekspo ini dijangka akan mengukuhkan lagi penglibatan dua hala, menggalakkan aliran perdagangan dan pelaburan, serta mencipta peluang kolaborasi baharu merentas pelbagai industri," tambahnya.

 

Justeru, penganjur berharap CMBETF 2026 dapat menjadi penanda aras baharu bagi kerjasama ekonomi serantau, sekali gus memberi momentum segar kepada pembangunan berkualiti tinggi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), serta pembinaan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama-sama.

 

Selain aktiviti perniagaan, CMBETF 2026 kali kedua yang berlangsung di IOI City Mall, Puchong ini juga dibuka kepada orang awam, dan dijangka menarik ramai pengunjung.

 

Para hadirin boleh menantikan pelbagai pameran produk, elemen kebudayaan, serta pengalaman interaktif.

                                        

Pengunjung CMBETF 2026 juga berpeluang menyertai Cabutan Bertuah, manakala 300 pengunjung terawal setiap hari akan menerima cenderahati eksklusif.


                                                                                                           

 

Sidang media CMBETF 2026 dihadiri Encik Wang Dawei, Ketua Pengarah Pusat Kerjasama Inovasi Sains & Teknologi China-SCO (Pusat Malaysia); Encik Li Cheng, Pengurus Besar Kumpulan Lanhua Asia Tenggara; Cik Winnie Ng, Ketua Kebudayaan dan Pelancongan, Pusat Kerjasama Inovasi Sains & Teknologi China-SCO (Pusat Malaysia); dan Encik Feng Canmou, Ketua Festival Makanan Halal di Pameran & Naib Presiden Dewan Perniagaan Xinjiang.

 

CMBETF 2026 dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Malaysia Shandong Qilu & Pusat Kerjasama Inovasi Sains & Teknologi China-SCO (Malaysia), dengan Kumpulan Shandong Lanhua Jawatankuasa Hal Ehwal PRC & Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) MCA, sebagai penganjur bersama.

 

Acara bertaraf antarabangsa ini turut mendapat sokongan organisasi seperti Biro Perdagangan Perbandaran Linyi, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), COSCO Shipping Lines (Malaysia).

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN


                                                                                  










No comments:

Powered by Blogger.