Dari kanan; Sdr Azmi Jaffri, Cef Dr Liza Zainol, Sdr Arif Fadli Abdul Wahab, dan anak Cef Dr Liza.

Foto Penulis



WARISAN

 

Pesta Cita Rasa Sambal Hangatkan Festival Perpaduan Zon Tengah di Muzium Negara!

 

SDR Azmi Jaffri, Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia berkata, sambal bukan sekadar pelengkap makanan, tetapi telah menjadi satu unsur utama dalam budaya pemakanan masyarakat Malaysia.

 

“Pelanggan selalu bertanya ada sambal atau tak setiap kali ke warung atau restoran. Mereka tak bertanya lauk pauk atau sayur mayur. Sambal yang pertama ditanya,” jelasnya menjawab pertanyaan mengapa sambal menjadi pilihan pihak beliau untuk dipestakan hingga masuk kali ke-10 penganjuran sejak 2023.

 

“Justeru, sambal perlu diinovasikan agar terus hidup dan berkembang,” tegas Azmi semasa ditemui pihak media selepas menyaksikan YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara menandatangani poster Pesta Cita Rasa Sambal Perpaduan berhampiran gerbang Muzium Negara, Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu.


                                      

                                    Sdr Azmi Jaffri (kanan) dan Sdr Arif Fadli Abdul Wahab. 

                                    Foto Penulis


Datuk Aaron hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah (MPZT) 2026 dan Program Bermalam di Muzium Bersama Belia di Dataran Muzium Negara.

 

Diadakan bersempena dengan MPZT2026, Pesta Cita Rasa Sambal Perpaduan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama mengangkat warisan kulinari negara. Kali ini dengan lebih besar dan berimpak, membawa mesej perpaduan rakyat melalui makanan tradisi, khususnya sambal yang menjadi identiti rasa masyarakat Malaysia.


                                                                                      

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara (membelakangi kamera) menandatangani poster Pesta Cita Rasa Sambal Perpaduan

Foto Penulis


MPZT2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN), berlangsung dari 15 hingga sehingga 17 Mei 2026. Program bermula dari jam 9.00 pagi hingga 10 malam pada 15 dan 16 Mei, sementara pada 17 Mei pula dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, dengan tema Muzium sebagai Wadah Penyatuan Dunia yang Terpisah.

 

Turut hadir YBrs Tuan Mohamad Sobri Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), KPN; YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), KPN; YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Malaysia (JMM); YBrs. Encik Mohamad Shawali Haji Badi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JMM; Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi, Wakil-wakil Kementerian, Jabatan dan Agensi peringkat Persekutuan dan Negeri, serta Rakan-rakan strategik dan kolaborasi.






                                                               Kredit Foto: Fariza Saidin
 

“Pesta kali ini bukan sekadar acara makanan, sebaliknya menjadi platform budaya yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum melalui warisan kulinari yang dikongsi bersama,” ujar Azmi yang turut diiringi Timbalannya, Sdr Ariff Fadli Abdul Wahab.

 

Pesta Cita Rasa Sambal Perpaduan yang berlangsung di Istana 1, Muzium Negara memberikan tumpuan utama kepada sambal sebagai simbol penyatuan rasa dan budaya, dengan lebih kurang 20 jenis variasi sambal tradisional, dan moden dipamerkan di Galeri Sambal.

 

Program kali ini turut menarik perhatian apabila membuka penyertaan antarabangsa, dengan pengenalan sambal dari Indonesia yang memperlihat persamaan budaya pemakanan serantau.

                                       

Dalam masa sama, penyertaan komuniti Sabah turut menyerlah menerusi sajian seperti sambal perahu, buah bambangan, serta pelbagai sajian etnik Borneo yang memperkaya kepelbagaian makanan warisan.

 

Selain itu, komuniti tempatan turut mempersembah pelbagai jenis sambal tradisional yang diwarisi turun-temurun, menjadikan pesta ini perhimpunan besar warisan rasa yang merangkumi pelbagai latar budaya di Malaysia.

 

“Saya yakin pesta kali ini berpotensi menjadi produk pelancongan budaya yang mampu menarik minat pelancong tempatan, dan antarabangsa,” tambahnya yang turut menyertakan golongan orang kurang upaya.

 

Azmi turut memaklumkan, terdapat cadangan menarik untuk memperluas lagi penganjuran pesta sambal pada masa hadapan.

 

“Saya menerima tawaran untuk membawa pesta sambal ke London pada tahun hadapan, yang saya anggap satu pengiktirafan yang dilihat mampu mengangkat sambal sebagai ikon kulinari Malaysia di persada global,” ujarnya.

 

Tambah Azmi, kita memiliki sekian banyak sambal warisan yang belum diketengah, termasuk sambal biji getah yang mempunyai nilai budaya tinggi walaupun proses penyediaannya lebih mencabar.

 

“Apabila kita gabungkan kreativiti dan warisan, sambal ini boleh menjadi produk yang membanggakan negara,” ujarnya dengan yakin.

 

Pesta Cita Rasa Sambal Perpaduan tambah menarik dengan kehadiran cef selebriti Dr Liza Zainol, yang turun padang mempromosikan makanan warisan kepada pengunjung.

 

Tegas Dr Liza, industri sambal tempatan berpotensi besar untuk dikembangkan sekiranya wujud kerjasama lebih erat antara pengusaha makanan dengan pakar kulinari.

 

“Masih banyak resipi warisan yang belum diterokai sepenuhnya, termasuk sambal daripada pelbagai komuniti dan etnik di Malaysia yang boleh diketengah sebagai produk unik negara,” ujarnya.

 

Tambah Dr Liza, kita perlu melihat sambal bukan sekadar makanan tradisi, tetapi sebagai produk inovasi yang boleh dikomersialkan.

 

“Justeru, kerjasama cef dan usahawan sangat penting untuk membawa sambal Malaysia ke tahap lebih tinggi,” jelas beliau.

 

Liza turut menyokong idea pembangunan produk sambal dalam bentuk moden seperti pek segera atau ‘sambal pouch’ yang lebih mudah dipasarkan, dan sesuai dengan gaya hidup masa kini.

 

Dr. Liza juga mengambil peluang memperkenal beberapa inovasi termasuk sambal paru goreng rangup yang digabungkan dengan telur pipit yang enak, dihidangkan bersama-sama nasi goreng sebagai set kombo lengkap.


                                        

                                            Foto Penulis


Selain pameran dan jualan, pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan termasuk pertandingan makan sambal, serta pertandingan inovasi sambal yang memberi ruang kepada peserta menghasilkan variasi kreatif berasaskan bahan tempatan.

 

Menariknya, hadiah wang tunai RM250, RM150 dan RM100 ditawarkan mengikut kategori. Ia pasti menambah keterujaan pengunjung yang hadir mencabar tahap kepedasan masing-masing dalam suasana santai.

 

Secara keseluruhan, Azmi melihat Pesta Cita Rasa Sambal Perpaduan bukan sekadar acara makanan, tetapi sebuah platform perpaduan yang menyatukan masyarakat melalui cita rasa, inovasi dan warisan budaya, sekali gus mengangkat sambal sebagai simbol identiti kulinari Malaysia yang semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa.

 

#PestaCitarasaSambalPerpaduan  #MingguPerpaduanZonTengah2026 #MuziumNegara

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Powered by Blogger.