YB Senator Puan Marhamah Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama-sama YBhg. Dato’ Dr Mohd Khalid Harun, YBhg Tuan Dr Karomidin Gadoev, dan para tetamu khas selepas perasmian HUITM 2026.


AGAMA

 

HUITM 2026 Perkukuh Ibadah, dan Memperkasakan Syariah dalam Industri Pelancongan

 

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli, mewakili Menterinya, YB Dr Zulkifli Hassan, menyempurnakan perasmian Pameran Pasaran Pelancongan Antarabangsa Haji dan Umrah (Hajj and Umrah International Travel Market) 2026 atau HUITM 2026 di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 18 Jun lalu.

 

Pemilihannya sebagai lokasi pembukaan siri HUITM 2026, membuktikan pengiktirafan terhadap kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju pelancongan Islam pada peringkat global, di samping memperkukuh peranan Malaysia dalam industri umrah, haji dan ekonomi halal antarabangsa.

 

HUITM 2026 yang dianjurkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), bersama-sama Persekutuan Umrah & Haj ASEAN (AFUH), dianggap bertepatan dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026, selain mampu memperkenal Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam berkualiti tinggi, serta memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan, dan ekonomi halal yang kompetitif pada peringkat antarabangsa.

 

Senator Marhamah dalam ucapannya menyatakan HUITM bukan sahaja untuk memartabatkan industri pelancongan, tetapi juga memperkukuh ibadah, serta memperkasakan syariah dalam industri pelancongan.

 

“Malaysia terus dikenali sebagai destinasi mesra Muslim yang menggabungkan nilai Islam, profesionalisme, keselamatan serta inovasi, hasil kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam membangunkan industri pelancongan Islam,” ujar beliau.

                                        

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli menyampaikan ucapan perasmian HUITM 2026.


Industri umrah, tambah Marhamah, perlu dilihat lebih daripada sekadar produk pelancongan kerana ia merupakan satu perjalanan spiritual yang membawa tanggungjawab besar terhadap umat Islam yang ingin menjadi tetamu Allah SWT.

 

“Aspek amanah, integriti dan ketelusan perlu terus menjadi keutamaan bagi memastikan jemaah umrah tidak menjadi mangsa penipuan, janji pakej yang tidak ditunaikan atau kerugian kewangan akibat pengurusan tidak bertanggungjawab,” ujarmya lagi.

 

Marhamah berkata, semua pihak dalam industri perlu memastikan pengurusan pakej umrah, pelancongan dan urusan jual beli dilaksanakan secara jujur, serta beretika bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap sektor berkenaan.

 


Platform profesional perniagaan ke perniagaan (B2B) yang berlangsung sehari dari pukul 10.00 pagi hingga 8.00 malam.


“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan ihsan, maka industri umrah perlu diperkukuh berasaskan prinsip amanah, integriti serta perkhidmatan yang berpusatkan Jemaah,” tambah beliau.

 

Marhamah turut menekankan kepentingan teknologi digital dalam meningkatkan ketelusan, kecekapan dan kualiti perkhidmatan dalam sektor umrah, serta pelancongan Islam.

 

“Pendigitalan bukan lagi satu pilihan, tetapi menjadi keperluan, terutama dalam aspek tempahan pakej, pengurusan visa, pembayaran dan pemantauan perjalanan yang mampu mewujudkan ekosistem perkhidmatan lebih cekap, serta telus,” ujarnya lagi.

 

Namun begitu, Marhamah mengingatkan masyarakat supaya menggunakan teknologi dengan bijak agar manusia terus mengawal perkembangan digital, dan bukan sebaliknya.

                                         

“Teknologi perlu kita urus dengan baik bagi memastikan agenda ekonomi, dan pelancongan dapat berjalan dengan lancar,” katanya.


                                         

 

Turut hadir YBhg Dato’ Seri Dr Mohd Khalid Harun, Presiden MATA/AFUH; YBhg Dato’ Shaharudin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; YBrs Tuan Dr Karomidin Gadoev, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia; YBhg Dato’ Jeffri Sulaiman, Timbalan Presiden MATA; YBrs Encik Hakan Sakin, Pengarah Urusan dan Penganjur Pameran; dan YBhg Datuk Hj Abdul Rahim, wakil rasmi Malaysia.

 

Sementara itu, Dr Karomidin dalam ucapannya memaklumkan Malaysia dipilih sebagai lokasi pameran pelancongan pertama Uzbekistan kerana berpengalaman luas dalam industri pelancongan, selain jumlah pelancong antarabangsa yang datang ke negara ini melebihi jumlah penduduknya.

 

“Uzbekistan masih pada peringkat awal dalam pembangunan sektor pelancongan. Walau bagaimanapun, kami percaya ada potensi yang sangat besar. Kami mahu belajar daripada Malaysia, dan berkongsi keunikan Uzbekistan dengan rakyat Malaysia,” katanya.

                                        

YBhg. Tuan Dr Karomidin Gadoev, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia menyampaikan ucapan beliau.


Tambah Karomidin, Uzbekistan turut menawarkan pelbagai produk pelancongan termasuk pelancongan sejarah, budaya, Islam, gastronomi dan musim sejuk, dengan tarikan utama seperti Samarkand, Bukhara, Khiva, Tashkent dan Termiz yang kaya dengan warisan tamadun, serta seni bina bersejarah.

 

Berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 8.00 malam, HUITM 2026 direka khas sebagai sebuah platform profesional perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang dinamik, berfungsi menghubungkan para penyedia perkhidmatan utama secara langsung dari Uzbekistan dan pasaran antarabangsa, dengan pemain industri tempatan, serta serantau.


                                                                                      

 

B2B menampilkan sesi bengkel, rangkaian perniagaan, serta padanan perniagaan yang berstruktur bagi membuka lembaran kerjasama komersial baharu.

  

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

-   disesuaikan untuk siaran oleh RAYUSA

 

 

 




No comments:

Powered by Blogger.