YB Tuan Mohd Najwan Halimi dan YBrs Encik Ahmad Azri Zainal Nor (empat dan lima dari kiri) bersama-sama para juri/hakim Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026.


WARISAN

 

Pertandingan Kraf Piala Tengku Permaisuri Angkat Batik Selangor ke Persada Dunia

 

PADA 14 Julai lalu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dan Ekonomi Kreatif Negeri Selangor mengumumkan penganjuran Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor (PKSPTPS) 2026.

 

Inisiatif berprestij tersebut yang bertujuan memperkasa industri ekonomi kreatif, memelihara warisan budaya serta mengangkat batik Selangor sebagai identiti negeri yang bernilai tinggi pada peringkat nasional, dan antarabangsa, diumumkan dalam majlis Sidang Media Pelancaran di Hotel Sunway Resort, Subang Jaya.

 

Bertemakan ‘Warisan. Identiti. Inovasi.’, PKSPTPS 2026 merupakan platform strategik bagi merangsang penghasilan reka bentuk baharu, inovasi produk serta meningkatkan nilai komersial Batik Selangor tanpa mengabaikan keaslian seni, kemahiran tradisional pembatik, dan warisan budaya yang menjadi asas kepada identiti negeri.

                                          

YB Tuan Mohd Najwan Halimi, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor.

                                                                        ----------

                                                                        ======

        

Selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri, PKSPTPS 2026 turut membawa hasrat untuk merakyatkan Batik Selangor, agar menjadi pilihan masyarakat dalam kehidupan seharian, bukan sekadar pakaian rasmi atau eksklusif.

 

Inisiatif ini diharap dapat memupuk rasa bangga terhadap warisan negeri, serta mengukuhkan identiti budaya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, dan latar belakang.

 

Julung kali diadakan, PKSPTPS 2026 menawarkan dua kategori utama, iaitu Kategori Fesyen Batik Selangor dan Kategori Lukisan Batik Selangor.

 

Kedua-dua kategori ini menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM90,000.00, sekali gus menjadikan PKSPTPS 2026 antara pertandingan batik dan kraf paling berprestij yang pernah dianjurkan di Selangor.

 

Lebih membanggakan, ia mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tengku Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor untuk menggunakan nama baginda sebagai identiti rasmi pertandingan, sekali gus dikenali sebagai Piala Tengku Permaisuri Selangor.

 

Menurut YB Tuan Mohd Najwan Halimi, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, PKSPTPS 2026 selaras dengan agenda pembangunan Ekonomi Kreatif Selangor, yang melihat sektor seni dan budaya melalui sub-sektor fesyen, dan tekstil bukan sahaja sebagai khazanah yang perlu dipelihara.

 

“Ia juga ebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu menjana peluang pekerjaan, melahirkan usahawan kreatif, serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif negara,” katanya semasa sidang media tersebut.

 

“Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa melalui usaha kolektif ini, Batik Selangor bukan sahaja akan terus dipelihara sebagai warisan budaya negeri, malah berpotensi berkembang menjadi jenama kreatif bertaraf antarabangsa yang mampu mengharumkan nama Selangor dan Malaysia di persada dunia,” katanya semasa sidang media berkenaan.

                                      

YBrs Encik Mohamad Nor Imran Mat Shah, Pegawai Ekonomi Kreatif Selangor dan Pengurus Program Kraf Selangor, Piala Tengku Permaisuri Selangor (kanan sekali).

                                                                               ======

                                                                               -----------


Lebih mendalam dan meluas, tema ‘Warisan. Identiti. Inovasi’ bererti warisan dipelihara, identiti diperkasa, dan inovasi diterajui.

 

Sementara itu, YBrs Encik Mohamad Nor Imran Mat Shah, Pegawai Ekonomi Kreatif Selangor dan Pengurus Program Kraf Selangor, Piala Tengku Permaisuri Selangor yang turut hadir memberitahu buat masa ini batik dipilih kerana saiz penggunaannya.

 

“Negeri Selangor juga ada warisan yang lain seperti cempuling. Walau bagaimanapun, batik paling terkenal dan lebih mesra rakyat,” ujarnya.

 

Buat masa ini juga, tambah Mohamad Nor Imran, hanya dua kategori yang difikirkan sesuai untuk PKSPTPS 2026, yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan syarat menggunakan Batik Selangor.

   

Turut hadir termasuklah YBrs Encik Ahmad Azri Zainal Nor, Ketua Yayasan MBI, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan); YBrs Puan Zanariah Zulfandie Osman, Penolong Pengarah, Seksyen Sekrotal Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN); dan YBrs Puan Nujaimatu’l-‘Aliah Mohd Jais, Timbalan Pengarah, Seksyen Sekrotal, UPEN, Selangor, serta lima juri/hakim bagi kedua kategori.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohamad Nor Imran menerusi e-mel imran@creativeselangor.com, atau talian +6011-60848828.

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAYUSA

No comments:

Powered by Blogger.