SUKAN LASAK

 

Stadium Titiwangsa Saksi Pertarungan Jaguh Muay Thai Thailand-China

 

TUJUH perlawanan yang dilibati atlet dari Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda, Maghribi, Brunei Darussalam dan Malaysia selaku tuan rumah, diyakini mengukuhkan kedudukan T-Fight All Star (TFAS) 2026 sebagai acara Muay Thai bertaraf antarabangsa.

 

Arena sukan tempur negara bakal menyaksikan satu lagi acara berprestij apabila TFAS 2026 akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 24 April 2026.

 

Ia bakal menghimpunkan barisan atlet tempur berbakat dari pelbagai kelab dan latar belakang, mempamerkan kemahiran disiplin serta semangat kesukanan dalam suasana penuh kompetitif, dan profesional.


                                        

 

Menariknya, TFAS 2026 dijangka menjadi tumpuan peminat Muay Thai tempatan dan antarabangsa apabila Buakaw Banchamek, ikon dan bintang Muay Thai dunia, bakal beraksi dalam perlawanan utama, kategori 70 kilogram.

 

Tambah menarik, ini merupakan aksi sulung Buakaw di Malaysia, sekali gus mencipta sejarah tersendiri buat peminat sukan tempur tanah air.

 

Semasa Sidang Media dan Timbang Berat TFAS 2026 di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, 23 April lalu, Buakaw menyatakan keterujaannya menyertai acara sukan tempur ini.

                        

Para petarung semasa sesi timbang berat badan dan pengenalan kepada pihak media/para jemputan.


“Saya pernah datang ke Malaysia. Tetapi, kali ini saya berasa gembira dan teruja kerana turut menyertai TFAS 2026, apatah lagi dalam perlawanan utama,” ujarnya.

                                      

Bagi perlawanan utama, Buakaw dijadualkan berdepan dengan Meng Gaofeng, petarung dari Beijing, yang menjadi pertembungan epik Thailand-China yang dijangka sengit, dan berintensiti tinggi.

 

Berusia 28 tahun, atlet berkenaan memiliki rekod profesional 45 perlawanan dengan 33 kemenangan, termasuk sembilan kemenangan knockut (KO), selain pernah merangkul gelaran Juara Wu Lin Feng China 2020, WLF World Champion, dan IPCC China Champion.

                                   

Buakaw Banchamek (empat dari kanan) semasa sesi Sidang Media TFAS 2026 pada 23 April lalu.


Pertembungan dua negara gergasi sukan tempur Asia ini dijangka menjadi tarikan utama kejohanan, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan aksi legenda dunia secara langsung buat pertama kali di Malaysia.

 

Sebagai tuan rumah, Malaysia diwakili Umar Al-Matin yang akan menentang Daraek dari Thailand, Mat Ropi (menentang Saat Shouti/Maghribi), Nazmie Dancing Boy (Muganga Raymond/Uganda), Azeem PMKL (Irman Ra/Indonesia), dan Naqie Dragon (Chai Chamrong/Kemboja).

 

Sementara Wasu KIB Boxing (Thailand) menentang Jemmy (Indonesia), dan Faris Fight Lab berdepan dengan Aiman MTK (Brunei Darussalam) merupakan dua pertarungan pembukaan.

 

Para peminat sukan ini boleh menyaksikan pertarungan-pertarungan yang disebutkan dengan membeli tiket-tiket di www.ilassotickets.com secepat mungkin!  



-       disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

 

.    

No comments:

Powered by Blogger.