Dari kiri; Dato’ Dollah Salleh, Dato’ Freddie Fernandez, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, dan Encik Khalil Saleh.
++++++++++++
AMAL
Perkukuh Misi Kebajikan, Seru Korporat
Santuni Artis Kepayahan
GOLF AMAL SELEBRITI KE-5 2026
PERSATUAN Karyawan Malaysia (KARYAWAN) meneruskan komitmen
memperjuang kebajikan penggiat seni tempatan menerusi penganjuran Golf Amal
Selebriti ke-5 2026, yang akan berlangsung pada 10 Mei depan, di Kota Seriemas
Golf & Country Club, Nilai, Negeri Sembilan.
Program tersebut yang bermula jam
12.00 tengah hari, turut diisi dengan Makan Malam Gala, dan Penyampaian Hadiah.
Penganjuran edisi kelima yang
mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini,
membawa misi mengumpulkan dana kebajikan bagi membantu artis-artis, serta
penggiat filem di bawah Persatuan Pekerja Profesional
Filem Malaysia (PROFIMA), di samping memperkukuh sinergi antara industri
seni, sektor korporat dengan masyarakat menerusi sebuah platform berimpak
tinggi, berteraskan tanggungjawab sosial.
Semasa sidang media program
berkenaan di Panggung 1, FINAS, Petaling Jaya, 21 April lalu, YBhg. Dato’
Freddie Fernandez, Presiden KARYAWAN, merakamkan penghargaan pihaknya kepada YBhg.
Dato’ Hans Isaac, Pengerusi FINAS, atas sokongan dan komitmen, termasuk penyertaan
secara langsung.
“Terima kasih juga kepada YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif
FINAS. Program ini merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran terdahulu di Templer
Park Country Club, Staffield Country Resort, Kelab Golf Perkhidmatan Awam
Malaysia, dan Kota Seriemas Golf & Country Club,” ujar beliau.
Sekali gus, tambah Dato’ Freddie, ini membuktikan kesinambungannya sebagai inisiatif kebajikan terus mendapat sokongan pelbagai pihak. Jumlah artis terkenal yang memberikan sokongan juga, katanya, bertambah banyak.
Encik Khalil Saleh, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).
Jelas Freddie, penajaan boleh
dihulurkan menerusi kategori Gold Sponsor - RM10,000 (8 pemain/2 flight
percuma), Silver Sponsor - RM5,000 (4 pemain/1 flight percuma),
dan Hole Sponsor - RM1,000 (2 pemain percuma).
“Semua penaja akan mendapat liputan
promosi menyeluruh menerusi kempen media, bahan publisiti rasmi, pengiktirafan
semasa sidang media termasuk sesi penyerahan cek pendua, serta penjenamaan
semasa hari kejohanan berlangsung,” ujarnya lagi.
Selain penajaan korporat, tambah
Freddie, penyertaan individu turut dibuka kepada pemain
golf dan penyokong yang ingin turut
menyumbang kepada usaha kebajikan ini.
“Golf Amal Selebriti bukan sekadar
sebuah kejohanan golf, tetapi sebuah platform kebajikan yang menyatukan
industri, korporat dan masyarakat demi membantu artis-artis, serta pekerja
filem yang memerlukan,” jelas beliau.
Sokongan korporat yang diberikan
bukan sekadar menaja sebuah acara, malah menjadi sumbangan bermakna kepada
kebajikan penggiat seni, yang telah banyak berjasa kepada landskap seni dan
budaya negara.
Sumbangan penajaan boleh disalurkan ke akaun Persatuan Karyawan Malaysia, Public Bank 3108024130.
Sidang media Golf Amal Selebriti ke-5 2026 di Panggung 1, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Petaling Jaya pada 21 April lalu.
Selain Dato’ Azmir Saifuddin, turut
hadir legenda bola sepak negara, YBhg Dato’ Dollah Salleh; YBrs Encik Khalil
Saleh, Presiden PROFIMA.
Dato’ Dollah memberitahu, selepas
tiga kali menyertai Golf Amal ini, beliau semakin teruja dan akan terus
memberikan sokongan selagi mampu.
“Walaupun perjalanan lokasi kali ini
agar sukar, tetapi anda akan segera melupakan kesulitan setelah berada di
padang dan bermain golf. Kota Seriemas Golf & Country Club adalah tempat
yang hebat, dan ada kelas tersendiri,” ujarnya.
Mengenai golf, Dollah berpendapat ia
adalah sukan yang mudah menarik ramai orang, ketimbang sukan lain.
Beliau berkata sedemikian sebagai
menjawab pertanyaan mengapa sukan lain seperti bola sepak dan pickleball
yang kian popular tidak dicuba untuk program amal ini akan datang.
“Pickeball memang menarik.
Tetapi, buat masa ini ia hanya melibatkan dalaman, sesama ahli. Setakat ini,
golf adalah pilihan terbaik kerana ia lebih murah ketimbang pickleball
yang elit dan mewah,” jelas Freddie pula.
Dari hanya menghadiri program
berkenaan, Azmir kini turut bermain golf. Dan pelibatan beliau semakin bermakna
apabila FINAS turut menyertai, dan menyokong.
“FINAS akan menyediakan surat
sokongan sebagai memperkuat usaha KARYAWAN menarik minat pihak korporat, dan
perseorangan memberikan penajaan masing-masing,” jelasnya menjawab soalan
mengenai sumbangan FINAS secara spesifik.
Sementara itu, Khalil mengakui ahli
PROFIMA memang ramai. Untuk program Golf Amal kali kelima ini, beliau
memberitahu pihaknya mensasarkan untuk membantu 20 orang ahli yang memerlukan.
Untuk
maklumat lanjut dan penyertaan, sila hubungi Dato’ Freddie Fernandez
di
012-2071400, emel fredez2009@gmail.com atau layari karyawan.my
“Ayuh
semua kaki golf, bersama beraksi sambil berbakti.”
-
disesuaikan
unttuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN






No comments: