TOKOH


FORUM LEGASI TUN ABDUL RAZAK MEMPERINGATI 50 TAHUN KEPIMPINAN UNGGUL


UNIVERSITI Malaya (UM) menerusi Institut Asia-Eropah (AEI), dengan kerjasama Yayasan Tun Razak, menganjurkan 'Forum Legasi Tun Abdul Razak' bersempena dengan ulang tahun ke-50 pemergian Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Berlangsung pada 21 April 2026 di Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya, forum ini membawakan tema 'Menyanjung Legasi, Menginspirasi Masa Depan.'
Ia menjadi platform utama untuk mengimbau sumbangan berterusan Tun Abdul Razak (TAR) terhadap pembinaan negara, terutamanya dalam memajukan perpaduan nasional, pembangunan luar bandar, dan pendidikan.



Dikenali secara meluas sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, TAR memainkan peranan penting dalam membentuk asas sosio-ekonomi negara.
Lima dekad selepas pemergian beliau, nilai-nilai integriti, empati, dan kepimpinan inklusif yang diamalkan terus bergema, sekali gus menawarkan panduan penting dalam mengemudi landskap nasional, dan global yang semakin kompleks hari ini.


Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, YBhg Profesor Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, dan disusuli dengan ucapan perasmian oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Diraja Dr Zambry menekankan kepentingan kepimpinan berasaskan nilai yang berterusan, sambil menyatakan bahawa legasi Tun Razak "kekal menjadi daya penggerak dalam membentuk Malaysia yang lebih inklusif dan berpandangan jauh."


Sesi forum dikendalikan oleh YBhg Profesor Ulung Dato’ Dr Rajah Rasiah, Pengarah Eksekutif AEI, sebagai moderator.
Ia menampilkan barisan ahli panel terkemuka terdiri daripada YBhg Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, YBhg Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad, dan YBhg Tan Sri Nazir Razak, Pengerusi Yayasan Tun Razak.
Perbincangan tersebut mengupas legasi kepimpinan TAR, serta relevansinya yang berterusan terhadap Malaysia kontemporari.
Forum ini merupakan sebahagian daripada kempen peringatan kebangsaan 'Tun Abdul Razak: 50 Years On' yang diterajui YTR.

Kempen ini merangkumi siri inisiatif termasuk program kepimpinan, penerbitan, pameran, dan dialog yang bertujuan memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mendukung kepimpinan berasaskan nilai.
Majlis tersebut dihadiri pembuat dasar, ahli akademik, pelajar, serta orang awam, yang mencerminkan komitmen bersama untuk menghargai legasi kepimpinan Malaysia sambil membentuk hala tuju masa depan negara.
- disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN




Foto penulis sendiri, dan ihsan Universiti Malaya

No comments:

Powered by Blogger.