Global Wakaf Al-Quran Jalin Kerjasama Strategik, Perluas Misi Wakaf ke Peringkat Antarabangsa
Profesor Datuk Dr. Mazlan Ahmad.
GLOBAL Wakaf Al-Quran (GWAQ) semalam (27 Julai 2026) melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas inisiatif wakaf merentasi sempadan negara, menerusi pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) strategik, sekali gus memperkuuh komitmennya dalam membangunkan ekosistem wakaf digital global yang lebih kukuh dan mampan.
MoU berkenaan yang berlangsung bersempena dengan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026, anjuran PERKIM Kebangsaan itu menampilkan dua sesi pemeteraian, yang memperkukuh
kerjasama strategik antara institusi Islam, rakan teknologi dengan pemegang taruh industri.
Sesi pertama menyaksikan pemeteraian MoU antara GWAQ dengan PERKIM, Tulus Digital dan Islamica, manakala sesi kedua melibatkan PERKIM dengan ToyyibPay, i-Wealth X, MobilityOne, MAIDAM dan PEYATIM.
MoU ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan inisiatif wakaf, inovasi digital dan pembangunan komuniti pada peringkat nasional, serta antarabangsa.
Kerjasama strategik ini turut memperlihat kesungguhan semua pihak dalam menjadikan wakaf lebih mudah diakses, telus dan berimpak, di samping memperluas jangkauan GWAQ kepada komuniti di seluruh dunia.
Menurut Pengerusi Bersama GWAQ, YBhg. Profesor Datuk Dr. Mazlan Ahmad, masa depan wakaf bergantung pada kerjasama rentas sektor.
“Global Wakaf Al-Quran bukan sekadar sebuah platform wakaf digital, tetapi merupakan satu gerakan global yang menghubungkan institusi, komuniti dan
rakan strategik bagi memastikan manfaat wakaf dapat disampaikan kepada lebih
ramai masyarakat di seluruh dunia," ujarnya.
Kerjasama dengan PERKIM, tambah Datuk Dr. Mazlan, akan membantu memastikan al-Quran terjemahan dapat disediakan dengan lebih meluas bagi menyokong usaha dakwah di Malaysia, dan rantau ini.
Yayasan Restu, menerusi Nasyrul Quran, yang merupakan kemudahan percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia, telah menerbitkan al-Quran terjemahan dalam 32 bahasa, termasuk bahasa Iban dan dialek serantau lain.
Kerjasama dengan Tulus Digital, tambah Dr. Mazlan akan menyokong pembangunan penyelesaian digital yang inovatif bagi memperkukuh kemampanan, serta
pertumbuhan jangka panjang platform GWAQ.
"Dalam masa yang sama, kolaborasi bersama-sama dengan Islamica akan memperkukuh usaha komunikasi
antarabangsa GWAQ, dengan memperkenal misi dan impaknya kepada komuniti global
menerusi rangkaian media cetak, dan digital strategik yang telah dibangunkan sejak tahun 1992," katanya lagi.
GWAQ dikuasakan oleh ToyyibPay, sebuah syarikat teknologi pembayaran yang membolehkan platform ini menerima pembayaran QR rentas sempadan menerusi
kerjasama strategik bersama dengan Boost, peneraju fintech pada peringkat serantau.
Melalui jaringan kerjasama ini, ujar Mazlan lagi, GWAQ menyasarkan untuk membina hubungan yang lebih kukuh bersama-sama institusi Islam, organisasi kemanusiaan, syarikat teknologi dan rakan media di Asia Tenggara, rantau Teluk, Afrika, Eropah, Amerika Selatan dan negara-negara lain di seluruh dunia.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen jangka panjang GWAQ dalam memanfaatkan teknologi, inovasi dan kerjasama antarabangsa bagi memperluas budaya
berwakaf, di samping memastikan mesej dan manfaat al-Quran dapat disampaikan kepada
komuniti di seluruh dunia.
Disesuaikan untuk siaran oleh Raja Yusoff Ariffin
Kredit Foto: Global Wakaf Al-Quran
No comments: