Para pelakon Jalan Pulang Bersama-sama YBrs Ustaz Suhaimi Abdul Aziz dan YBrs Sdr Amy.
SENI ISLAM
PERKIM Cawangan Datuk
Keramat Berdakwah menerusi Kaedah Alternatif
BERTEMPAT di Global Unity
Network (UNITY), Plaza Pekeliling, Kuala Lumpur pada 27 Oktober lalu,
berlangsung Majlis Pelancaran Treler Drama Pendek Jalan Pulang, dan Video
Muzik Lagu Tema Asal (OST), Terus Yakin.
Majlis anjuran
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Datuk Keramat dengan
kerjasama Masterpeace Entertaiment (Masterpeace) ini merupakan satu usaha
kreatif dalam menyampaikan dakwah melalui medium drama, dan muzik.
Karya Jalan
Pulang mengangkat kisah perjalanan kehidupan, pencarian hidayah dan harapan
dalam menemukan jalan kembali kepada agama Islam.
Antara yang hadir
adalah YBrs Ustaz Suhaimi Abdul Aziz, Pengerusi PERKIM Cawangan Datuk Keramat;
YBrs. Sdr Amy, wakil Masterpeace yang juga komposer/penyanyi Terus Yakin;
YBrs Sdr Shah Kirit Kakulal Govindji, wakil UNITY, dan para pelakon Jalan
Pulang.
Dalam ucapannya,
Ustaz Suhaimi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Masterpeace,
serta semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan penerbitan Jalan Pulang.
YBrs Ustaz Suhaimi Abdul Aziz, Pengerusi PERKIM Cawangan Datuk Keramat (tengah) menyampaikan ucapannya.
“Sesungguhnya,
pelancaran ini bukan sekadar memperkenal sebuah karya seni, tetapi usaha untuk
menyampaikan mesej dakwah melalui pendekatan kreatif yang dekat dengan
masyarakat, knususnya golongan muda,” katanya.
Menariknya, tambah
Suhaimi, hampir keseluruhan pelakon Jalan Pulang merupakan saudara baharu
atau muallaf.
“Pelibatan mereka
menjadikan karya ini lebin bermakna kerana ia bukan sahaja menyampaikan cerita,
malah turut membawa pengalaman, penghayatan dan perjalanan hidup yang dekat
dengan tema Jalan Pulang,” ujar beliau.
Suhaimi menambah,
kita perlu sedar bahawa dakwah bukan hanya disampaikan melalui ceramah dan
kuliah agama sahaj, malah boleh disampaikan melalui filem, drama, muzik dan
platform digital.
“Apa yang penting,
mesej yang disampaikan mestilan membawa nilai kebaikan, pengajaran serta
manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Brian (berdiri) pelakon utama Jalan Pulang.
Suhaimi menjelaskan
tajuk Jalan Pulang membawa makna yang cukup mendalam. Setiap manusia,
katanya, melalui perjalanan hidup yang berbeza.
“Ada yang pernah
melakukan kesilapan, ada yang sedang menghadapi ujian, dan ada juga yang sedang
mencari jalan untuk memperbaik kehidupan.
“Bagi
saudara-saudara kita yang memeluk Islam, perjalanan kembali kepada fitrah dan
membina kehidupan baharu tidak mudah. Mereka memerlukan sokongan, bimbingan,
kasih sayang dan penerimaan masyarakat.
“Oleh itu, kita
hendaklah bersama-sama membantu mereka agar terus yakin, tabah dan istiqamah
dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim. Islam mengajar kita supaya
tidak berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah az-Zumar,
ayat 53, bermaksud, Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah,”
ujarnya.
Pelancaran Treler Drama Pendek Jalan Pulang, dan Video Muzik Lagu Tema Asal, Terus Yakin Disempurnakan oleh YBrs Ustaz Suhaimi Abdul Aziz (berkopiah putih).
Ayat ini, tambah
Suhaimi, mengingatkan kita bahawa setiap insan perlu diberikan ruang dan
peluang untuk berubah menjadi lebih baik. Tanggungjawab kita, katanya, tidak
hanya menegur, tetapi turut membimbing, membantu dan memberikan sokongan dengan
penuh hikmah.
“Saya berharap Jalan
Pulang dapat menyentuh hati penonton, membuka minda masyarakat dan
menyampaikan mesej bahawa setiap insan berpeluang memperbaik diri, dan kembali
kepada kehidupan yang lebih baik.
“Saya juga berharap
video muzik OST Terus Yakin dapat menyemarakkan semangat ketabahan,
keyakinan dan harapan dalam menghadapi cabaran kehidupan, khususnya kepada
saudara-saudara kita yang sedang menempuh perjalanan sebagai muallaf,” tegasnya
yang yakin kerjasama PERKIM Cawangan Datuk Keramat-Masterpeace merupakan langkah
positif dalam memperluas pendekatan dakwah melalui seni, dan media digital.
Suhaimi turut
berharap usaha ini menjadi permulaan kepada lebih banyak karya yang mendidik
masyarakat, memupuk nilai kemanusiaan, serta membawa mesej Islam yang penuh
rahmah, dan kebijaksanaan.
“Semoga Jalan
Pulang dan OST Terus Yakin mendapat sambutan yang baik, serta
menjadi medium dakwah yang bermanfaat kepada masyarakat, dan ummah,” ujar
beliau sambil memberitahu usaha baharu ini mendapat restu PERKIM Kebangsaan.
Sementara itu, Amy
memberitahu menulis skrip Jalan Pulang adalah tugas paling sukar
baginya. Lagu Terus Yakin pula, katanya, dihasilkan agar relevan dengan
keinsafan, dan mengingat kematian.
“Namun demikian, walaupun
bidang saya, ada juga beberapa frasa lirik yang sukar untuk ditulis,” tambah
Amy.
Pelakon utama yang
hanya mahu dikenali sebagai Brian pula memberitahu Jalan Pulang adalah
pengalaman pertamanya berlakon drama.
“Sebelum ini saya
biasa beraksi di hadapan kamera, tetapi tanpa sebarang dialog,” jelasnya yang
tetap gembira berjaya menyempurnakan tugas.
Mengandungi 10
episod dan setiap episod berdurasi kira-kira dua minit, Jalan Pulang
disiarkan bermula 27 Oktober 2026 menerusi menerusi YouTube PERKIM Cawangan
Datuk Keramat.
Sementara video
muzik OST Terus Yakin boleh dinikmati menerusi semua striming yang ada
sejak beberapa hari lalu.
YBrs Sdr Shah Kirit Kakulal Govindji, wakil UNITY.
-
disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN









No comments: