SEJARAH

 

Perjanjian Low 1926 Membebaskan Perak daripada Kuasa Siam

 

WACANA Ilmiah Ulang Tahun ke-200 Perjanjian Low di Dewan Dato’ Seri Harun Idris, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 18 Oktober lalu boleh dianggap istimewa.

 

Istimewa kerana diadakan pada Ahad hingga salah seorang ahli panelnya pun agak hairan. Ia diadakan pada hari cuti itu kerana mahu tepat dengan tarikh 200 tahun lalu.

 

Jika diadakan pada tarikh sebelum atau selepas 18 Oktober, hilanglah keistimewaannya. Justeru penganjurnya, Persatuan Darul Ridzuan mengadakan juga wacana sejarah ini pada 18 Oktober tanpa mengira hari.

 

Persatuan Darul Ridzuan (persatuan kebajikan dan sosioekonomi masyarakat perantau Perak di Selangor dan Kuala Lumpur) bersama-sama Persatuan Genealogi Malaysia, dan Persatuan Pegawai Kanan PKNS berusaha merealisasikan wacana tersebut.

 

Penganjurannya merupakan usaha penting untuk memperingati detik bersejarah 18 Oktober 1926.

 

Wacana dijayakan oleh YBhg Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Tokoh Sejarawan Malaysia; YBrs Prof Madya Dr Azmi Arifin, pensyarah Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM; dan YM Raja Khuzairie Azaham (Persatuan Genealogi Malaysia) sebagai ahli panel.

 

Antara sejarah penting dan pengisian utama yang mendasari wacana memperingati dua abad Perjanjian Low termasuklah latar belakangnya.

                                               


Tokoh-tokoh yang terlibat menandatangani adalah Kapten James Low (wakil politik Gabenor Pulau Pinang bagi pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris), dan Sultan Abdullah Mu’azzam Shah (Sultan Perak).

 

Perjanjian tersebut diadakan setelah Raja Ligor (Siam) melanggar Perjanjian Burney 1825, dengan menghantar tentera ke Perak dan memaksa Perak menghantar ufti Bunga Emas. Sultan Perak kemudian memohon bantuan ketenteraan daripada British.

 

Antara kesan besar Perjanjian Low adalah mengisytiharkan kemerdekaan Perak daripada naungan Siam, dan Selangor; Sultan Perak berikrar tidak akan menghantar ufti Bunga Emas kepada Siam atau Selangor, dan James Low bertindak melampaui batas kuasanya dengan menjanjikan perlindungan Inggeris kepada Perak, yang akhirnya menjadi titik mula campur tangan, dan penjajahan rasmi British di Perak.

 

Fokus wacana anjuran persatuan yang menaungi komuniti dan profesional asal Perak di perantauan ini secara umumnya mengupas beberapa dimensi.

 

Pertama, sorotan sejarah dan kedaulatan, iaitu mengkaji bagaimana Perjanjian Low menyelamatkan Perak daripada ancaman Siam, tetapi pada masa yang sama membuka pintu kepada penasihat British.

 

Kedua, dari segi impak sosio-politik moden, iaitu membincangkan bagaimana anjakan sejarah 200 tahun lalu membentuk sempadan, pentadbiran, dan identiti negeri Perak Darul Ridzuan hari ini.

 

Ketiga, pemerkasaan ukhuwah perantau, iaitu menjadi medan pertemuan intelektual dan profesional anak-anak Perak di Selangor bagi membina rangkaian ekonomi, serta memelihara warisan sejarah negeri.

 

Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria membentangkan kertas kerja berjudul Perjanjian Low 18 Oktober 1926: Rentetan Sejarah, Kandungan dan Ertian dalam Sejarah Perak dan Malaysia.

 

Prof Madya Dr Azmi pula dengan Memahami Logik Perjanjian Kolonial: Burnley, Low dan Clarke, sementara Raja Khuzairie membincangkan Perjanjian Low 1826: Anjakan Pewarisan Kesultanan Perak.

 

Dr Abdullah mengatakan perjanjian ini tercetus ekoran kegagalan Raja Ligor menghormati Perjanjian Burney (Jun 1826). Walaupun Perjanjian Burney menjamin kebebasan Perak, tetapi Raja Ligor tetap menghantar pasukan tentera dan utusan ke Perak bagi memaksa Sultan Perak menghantar ufti Bunga Emas ke Bangkok.

                                                                               

                                Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria (kanan).


“Bimbang dengan ancaman Siam, Sultan Perak, Sultan Abdullah Mu’azzam Shah, memohon bantuan ketenteraan daripada Gabenor British di Pulau Pinang, Robert Fullerton.

 

“Gabenor Fullerton menghantar Kapten James Low bersama-sama angkatan tentera kecil ke Perak untuk menasihati Sultan, serta mengekang pengaruh pro Siam di istana Perak,” jelas beliau.

 

Kapten James Low, tambah Abdullah, telah melampaui arahan asal Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) yang sepatutnya mengekalkan dasar tidak campur tangan) dengan menandatangani persetiaan rasmi bersama-sama Sultan Perak yang mengandungi syarat penting.

 

Antaranya, Perak dibenarkan berhenti daripada menghantar ufti Bunga Emas kepada Raja Siam.

 

Kemudian SHTI secara tidak langsung memberikan jaminan perlindungan ketenteraan sekiranya Perak diserang oleh Siam, atau kuasa luar lain.

 

Seterusnya, Perak berjanji tidak akan mengadakan sebarang hubungan politik, atau ketenteraan dengan Siam atau negeri-negeri Melayu lain yang boleh menggugat kestabilan.

 

Akhir sekali, Sultan Perak menyerahkan Pulau Pangkor dan Pulau Sembilan kepada pihak British dengan matlamat asal untuk membantu British membanteras aktiviti lanun di perairan tersebut.

 

“Perjanjian Low merupakan titik awal peralihan dasar British di Tanah Melayu daripada dasar tidak campur tangan kepada pelibatan langsung dalam hal ehwal pentadbiran negeri Melayu.

 

“Tindakan berani Kapten James Low yang menjanjikan bantuan ketenteraan telah mengejutkan pentadbiran tertinggi SHTI di India kerana beliau dianggap melampaui batas kuasa, atau exceeded his authority,” ujar Abdullah.

 

Katanya, di sebalik kontroversi diplomatik tersebut, perjanjian ini berjaya menyekat cita-cita Siam untuk menakluk, dan meluaskan pengaruh fizikalnya ke selatan Tanah Melayu (khususnya Perak dan Selangor).

 

Kajian Abdullah ini sentiasa menekankan bagaimana dinamika hubungan segi tiga antara rantaian Negeri-negeri Melayu, Siam, dan British pada abad ke-19 membentuk sempadan geopolitik, serta corak penjajahan yang kita lihat hari ini.

 

Kertas kerja Dr Azmi pula membongkar naratif konvensional mengenai proses perluasan kuasa, dan penjajahan British di Tanah Melayu.

 

Secara keseluruhannya, beliau mengkritik kecenderungan penulisan sejarah arus perdana yang terlalu bergantung pada versi arkib kolonial (seperti laporan rasmi Andrew Clarke).

                                     

                                                YBrs Prof Madya Dr Azmi Arifin.


“Beliau menegaskan bahawa penjajahan tidak boleh diukur, atau dinilai melalui satu dokumen ataupun peristiwa terasing semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu proses manipulasi politik, undang-undang, dan ekonomi yang menyeluruh,” kata Azmi.

 

Berikut adalah ringkasan logik tiga figura kolonial utama yang dibahaskan oleh beliau.

 

Pertama, menyentuh logik Henry Burney (Perjanjian Burney 1826). Kapten Burney dihantar ke Bangkok untuk mengurus hubungan geopolitik dengan Siam, demi menjaga kepentingan perdagangan British di Pulau Pinang.

 

Burney menggunakan pendekatan diplomasi manipulatif dan kompromi geopolitik. Demi memenangi hati Siam bagi membantu kempen ketenteraan British di Burma, Burney secara sengaja ‘mengorbankan’ kedaulatan Kedah dengan mengakuinya sebagai wilayah jajahan Siam.

 

Logik Burney menunjukkan bagaimana British menggunakan pengiktirafan sempadan, dan kuasa serantau secara terpilih. Walaupun seolah-olah ‘menjamin’ kemerdekaan Perak dan Selangor, perjanjian ini sebenarnya membuka ruang bagi campur tangan British secara tidak langsung untuk menyekat pengaruh Siam di selatan.

 

Kedua, logik James Low (Perjanjian Low 1826). Low bertindak melampaui arahan rasmi (Gabenor Jeneral di India) apabila beliau menandatangani perjanjian dengan Sultan Perak (Sultan Abdullah Mu'azzam Shah) akibat tindakan Raja Ligor (Siam) yang melanggar janji.

 

“Low menggunakan logik perlindungan agresif (aggressive protection). Beliau menawarkan bantuan ketenteraan, dan perlindungan kepada Perak daripada ancaman Siam sebagai alat untuk mengikat Perak dengan obligasi politik kepada British,” ujar Azmi.

 

Walaupun pihak atasan British di India pada mulanya terkejut dengan tindakan Low yang melampaui batas kuasa, ‘logik Low’, katanya, menjadi asas penting yang mula melonggarkan kedaulatan mutlak sultan.

 

“Tindakan ini menubuhkan duluan atau precedent bahawa British bersedia campur tangan dalam hal ehwal negeri Melayu dengan menggunakan justifikasi keselamatan,” jelas Azmi.

 

Ketiga, logik Andrew Clarke (Perjanjian Pangkor 1874). Clarke, selaku Gabenor Negeri-Negeri Selat, memanipulasi perang saudara (Perang Larut), dan perebutan takhta Perak antara Raja Abdullah dengan Raja Ismail.

 

“Clarke mempraktikkan logik imperialisme penuh melalui eksploitasi kelemahan dalaman. Beliau menjustifikasikan campur tangan dengan membina naratif ‘menyelamatkan’ Perak daripada huru-hara, lalu memaksa pengenalan Sistem Residen melalui Perjanjian Pangkor,” ujarnya.

 

Azmi secara lantang menyanggah pandangan bahawa Perjanjian Pangkor adalah bukti British ‘tidak menjajah’ Perak (kononnya sekadar penasihat).

 

“Melalui logik Clarke, sistem Residen memaksa sultan mengikut nasihat British dalam semua urusan, kecuali agama Islam dan adat Melayu.

 

“Perjanjian ini secara sistematik merampas hak memungut cukai, dan mengambil alih institusi pemerintahan daripada pembesar tempatan, menjadikannya sebuah penjajahan mutlak yang bertopengkan dokumen undang-undang,” katanya.

 

Akhirnya, Azmi merumuskan bahawa rantaian perjanjian dari Burney, Low, sehingga Clarke merupakan satu manifestasi evolusi ‘logik kolonial’.

 

“Perjanjian-perjanjian tersebut bukanlah instrumen keamanan, melainkan satu siri jerat perundangan, atau legal traps yang dirancang untuk menghakis kedaulatan Melayu secara berperingkat,” katanya.

 

Walaupun secara tradisinya Perjanjian Low dikenali sebagai instrumen bagi menyekat pengaruh Siam, dan menamatkan hantaran ufti Bunga Emas, tetapi kertas kerja bertajuk Perjanjian Low 1826: Anjakan Pewarisan Kesultanan Perak oleh Raja Khuzairie memfokuskan impak perjanjian tersebut terhadap sistem, dan dinamika pewarisan takhta Kesultanan Perak.

 

Syarat perjanjian, katanya, melarang keras Sultan Perak daripada mengadakan hubungan diplomatik, atau politik dengan Siam, Selangor, mahupun negeri Melayu lain.

 

“Kesannya secara langsung menamatkan amalan campur tangan atau ‘pengiktirafan’ pihak luar seperti proksi/pengaruh Raja Ligor atau peluasan pengaruh Sultan Selangor, dalam penentuan penggantian takhta Perak. Kedaulatan pemilihan kembali kepada institusi dalaman Perak sendiri, dan bebas daripada tekanan ketenteraan serantau,” ujar Raja Khuzairie.

                                 

                                                YM Raja Khuzairie Azaham.


Rentak politik pasca 1826, tambahnya, menyaksikan perubahan struktur giliran pengisian jawatan hierarki utama di Perak, iaitu Raja Kechil Besar, Raja di Hilir, Raja Bendahara, dan Raja Muda).

 

“Sebagai contoh, susulan kestabilan baharu ini, pelantikan Raja Chulan sebagai Raja Bendahara dan kemudian Raja Muda mencerminkan penyesuaian susur galur keturunan Sultan Ahmaddin Shah dalam pasca-perjanjian,” kata Raja Khuzairie.

 

Perjanjian Low, tambah beliau, menjadi asas awal yang membentuk pemikiran pembesar, dan kerabat diraja Perak.

 

“Ini mewujudkan faksi intraistana - antara golongan tradisi yang mahu mengekalkan sistem mutlak dengan golongan yang mula bergantung pada sokongan, atau pengiktirafan British, yang akhirnya memuncak dalam krisis pewarisan takhta tahun 1870-an (melibatkan Raja Abdullah, Raja Ismail, dan Raja Yusof),” katanya.

                                    

Kertas kerja oleh Raja Khuzairie ini merumuskan bahawa Perjanjian Low 1826 bukan sekadar perjanjian keselamatan maritim atau geopolitik serantau, tetapi bertindak sebagai titik alih (turning point) domestik yang menstabilkan, sekali gus merombak corak perebutan, serta anjakan pewarisan takhta Kesultanan Perak daripada ancaman hegemoni luar kepada persaingan geopolitik dalaman yang dipengaruhi kehadiran proksidasi British.

 

-       disesuaikan untuk siaran oleh ARWAI AR

No comments:

Powered by Blogger.