=========================================================================

KEMBARA

 

Menawan Gunung Tertinggi di Malaysia Walaupun Penuh Halangan

 

MEREKA telah berjaya melakukannya. Anda bila lagi???

 

Demikianlah cabaran yang boleh dilontarkan kepada anda semua ekoran kejayaan VVIP Hikers (very very inspiring people) menyelesaikan misi pendakian hingga ke puncak Gunung Kinabalu.

 

Impian ‘menawan’ puncak Gunung Kinabalu dimiliki ramai rakyat Malaysia. Tidak semua yang berazam mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu mencapai kejayaan.

 
    
                                                                                         

Di sepanjang pendakian hingga ke puncak Gunung Kinabalu, Puan Seri Nisa Bakri dan ahli-ahli VVIP Hikers dapat melihat betapa indahnya alam, dan kecantikan di sekeliling Gunung Kinabalu.

=========================================================================

Mereka yang berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Kinabalu boleh dianggap sebagai insan yang amat bertuah. Masakan tidak. Dengan pelbagai rintangan dan halangan, mereka masih mampu bertahan hingga ke akhir pendakian.

 

Justeru, VVIP Hikers boleh diteladani. Mereka terdiri daripada 15 pegawai atasan Polis Diraja Malaysia, termasuk YBhg Datuk S Sasikala Devi, Timbalan Ketua Polis Selangor; pegawai polis dari  Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang; YBhg Puan Seri Nisa Bakri (isteri YBhg Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin, mantan Timbalan Ketua Polis Negara); Norjunita, anak beliau; serta Dr Akashah (KPJ), dan Dr Kaamani( SDMC).


 
=========================================================================

Puan Seri Nisa mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana akhirnya berjaya merealisasikan impian bucket list beliau menjejakkan kaki di puncak Gunung Kinabalu.

 

“Pencapaian ini cukup istimewa bagi saya. Oleh itu, saya juga mahu ia memberi inspirasi kepada semua orang untuk merealisasikan impian. Kami berjaya melakukannya!!!” tegas beliau.

 

Bermula dengan memasang impian, dan kerja keras penuh semangat berpasukan, akhirnya VVIP Hikers mencapai kejayaan membanggakan!



Kesibukan tugas profesional masing-masing, serta tanggungjawab sebagai seorang ibu dan wanita, sama sekali tidak menghalang VVIP Hikers menjayakan misi ‘menawan’ puncak Gunung Kinabalu.

 

Menurut Puan Seri Nisa, di sepanjang pendakian hingga ke puncak Gunung Kinabalu, beliau dan ahli-ahli pendaki dapat melihat betapa indahnya alam, dan kecantikan di sekeliling Gunung Kinabalu.

 

“Pemandangan alam yang indah dari puncak Gunung Kinabalu amat sukar dijelaskan, dan dapat melihat dengan mata kepala sendiri cukup mengasyikkan,” cerita beliau lagi.

 

Walaupun mengalami kecederaan, tetapi dengan berbekalkan semangat juang yang tinggi, saling membantu antara ahli kumpulan secara berpasukan, dan kemahuan yang cukup tinggi untuk merealisasikan impian, Puan Seri Nisa dan rakan-rakan VVIP Hikers mencapai kejayaan!

 

“Saya amat berterima kasih kepada OCPD Ampang, iaitu Puan Aida yang mengurus dari mula sampai akhir, termasuk hal-hal teknikal dan pengurusan sehingga memudahkan segala urusan sepanjang berada di Kota Kinabalu,” ujar beliau.

                                                        

Puan Seri Nisa juga mengucapkan terima kasih kepada suami tercinta yang banyak menyuntik semangat kepada kumpulan beliau, dan sentiasa menyokong dari awal misi hingga misi berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

 

Justeru, diulangi bahawa VVIP Hikers wajar menjadi inspirasi kepada semua orang, khususnya golongan wanita agar terus memasang impian untuk sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mendaki ke puncak Gunung Kinabalu.

 

-           - disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

Leave a Comment

No comments:

Powered by Blogger.