KESIHATAN
Jadikan Pencegahan Kanser antara Agenda Utama dalam Kehidupan: Wan Azizah
HARI Kanser Sedunia 2025 pada 4 Februari lalu disambut dengan tema ‘Bersatu dengan Keunikan’. Malaysia tidak ketinggalan daripada turut meraikannya.
Kecil atau besar, pihak yang berkaitan, serta prihatin dan sedar amat digalakkan turut meraikannya, dan melakukan pelbagai kegiatan membantu.
Antaranya ialah Pejabat Kesihatan Cheras dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 5, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan KOSPEN Kamara yang menganjurkan Program Kesihatan Kasih MADANI 2025 di Kompleks Sukan Desa Tasik Sungai Besi pada 22 Februari lalu.
Selain sambutan Hari Kanser Sedunia, ia juga meraikan Bulan Kesedaran Kanser Kolorektral Peringkat Pejabat Kesihatan Cheras 2025.
Hari Kanser Sedunia diraikan dengan tujuan meningkatkan kesedaran, serta mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha mencegah, dan membendung penyakit kanser yang kian meningkat.
Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).
Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus), dikuti kanser kolorektal (10.7 peratus), dan kanser serviks (6.2 peratus).
Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0 peratus untuk kanser paru-paru, 51.1 peratus kanser kolorektal, 51.6 peratus kanser serviks, 66.8 peratus, dan 73.0 peratus kanser payudara.
Sebanyak 63.7 peratus daripada keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV). Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser.
Kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi juga menjejaskan psikososial dan ekonomi keluarga, serta pembangunan ekonomi negara. Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO menyatakan sepertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan berlebihan, pengambilan alkohol secara berlebihan, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.
Untuk makluman, pengambilan tembakau merupakan
faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser, dan ia menyumbang kepada 22
peratus kes kematian akibat kanser. Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser
paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta.
Kesemua perkara dan fakta ini dinyatakan oleh
YBhg Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
dalam ucapan perasmian program.
Di samping pesanan dan nasihat mengenai
menjaga kesihatan, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur,
serta syabas atas kerjasama Pejabat Kesihatan Cheras, Majlis Perwakilan
Penduduk Subzon 5, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan KOSPEN Kamara.
“Saya menyeru kepada semua untuk menjadikan
pencegahan kanser sebagai salah satu agenda utama dalam kehidupan seharian
dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Segeralah menemui doktor bagi
mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai tanda dan gejala
kanser,” ujar Dato’ Seri Dr Wan Azizah yang turut menyampaikan sumbangan baju
Melayu.
Selain itu, beliau mengesyorkan orang ramai
agar menjalani ujian saringan kanser yang telah disediakan. Dapatkan rawatan,
tambahnya, yang terbukti berkesan di hospital jika disahkan menghidap kanser,
dan sentiasa patuh dengan jadual rawatan yang diberikan.
Program setengah hari itu padat diisi dengan
pelbagai acara. Antaranya termasuklah ceramah kesihatan oleh Dr Dania Inarah mengenai
kanser kolorektal, Dr Thung Senk Chung (kanser prostat), Kapten TLDM (B) Dato’
Prof Emeritus (UM) Dr Hashim Yaacob, Dekan Fakulti Pergigian Segi College (kanser
oral), dan perkongsian detik kanser ‘Survivor’ oleh Puan Liang Ai Leng, dan
Puan Josephine a/p Mariasoosai.
Selain itu, turut diadakan walkathon, aerobik, saringan NHSI &
PEKA B40, makanan sihat, fisioterapi – saringan sarcopenia, aktiviti interaktif
WOW truck, dan pemeriksaan gigi
bergerak.
Turut hadir, YBrs Dr Nor’Aishah Abu Bakar, Pengarah Kesihatan Negeri JKWPKL&P; dan YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia, danYBhg Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar, Pengerusi Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan.
-
disesuaikan
untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: