SOSIAL
Penyerahan Rumah Baik Pulih, Bantuan Awal Pelajar IPT, Bakul Makanan MADANI untuk Penduduk
TARIKH 22 Februari 2025 merupakan hari yang bersejarah bagi Parlimen Bandar Tun Razak apabila kita dapat menyaksikan usaha tanggungjawab sosial korporat/CSR baik pulih rumah asnaf yang dijalankan oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) demi membantu salah seorang penduduknya yang uzur, iaitu Puan Rokiah Ismail, yang hidup bersendirian dan amat memerlukan rumah yang selamat didiami.
Difahamkan perbelanjaan baik pulih rumah beliau mencecah RM30,000. Alhamdulillah rumah yang telah siap dibaik pulih itu diserahkan semula kepada Puan Rokiah.
Usaha murni SPWP ini amat murni dan syarikat-syarikat korporat lain dialu-alukan untuk bekerjasama dengan pejabat Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti rumah-rumah lain yang boleh dibantu baik pulih.
Pada 22 Februari lalu itu juga, sembilan pelajar menerima Skim Bantuan Awal untuk masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) dari Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM700 setiap orang. Skim ini merupakan bantuan secara one-off untuk pelajar IPT memulakan pengajian pada peringkat Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di IPTA atau IPTS.
Seramai tiga individu juga menerima Bantuan Perubatan YWP berdasarkan keperluan pesakit. Skim ini juga adalah secara one-off untuk meringankan beban kewangan pesakit dalam mendapatkan rawatan, ubat-ubatan, serta perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.
Pada hari yang sama, 100 penduduk di Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur menerima bantuan Bakul Makanan MADANI dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).
Turut hadir YBhg Datuk Rizalman Dato' Mokhtar, YBhg Datuk Azman Abidin,dan YBrs Dr Abdul Basir V Kunhimohamed.
Kesemua catatan sejarah ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dalam majlis Ihsan MADANI-Projek Baik Pulih Rumah Asnaf, Skim Bantuan Awal IPT, Bantuan Khas & Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak di Apartment Desa Tasek, Sungai Besi.
Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Dr Wan Azizah mengucapkan syukur dan berharap semua bantuan yang diberikan pada hari ini dapat membantu warga Bandar Tun Razak hidup dalam keadaan lebih harmoni, dan sejahtera.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu warga Bandar Tun Razak, khususnya YWP, SPWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) WP Bandar Tun Razak, YAPEIM, dan individu-individu lain yang terlibat secara langsung atau tidak.
“Kerajaan juga sentiasa komited dalam menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan melalui dasar Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan sosial, dan pembangunan masyarakat,” ujar Dr Wan Azizah yang berharap agar usaha-usaha murni seperti ini dapat diteruskan, dan diperluas pada masa hadapan, agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail menyampaikan bantuan kepada penerima yang telah ditetapkan.
=========================================================================
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Turut hadir YBhg Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri; YBrs Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP; YBhg Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar, Pengerusi SPWP; YBrs Tuan Haji Firdaus Muhamad, Pengurus Negeri YAPEIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; YBrs Tuan ACP Aidil Bolhassan, Ketua Polis Daerah Cheras; YBrs Puan Asyqoh Yusof, Pengurus Kawasan Bandar Tun Razak DBKL; YBrs Encik Roslan Mahmood, Pengerusi MPP Bandar Tun Razak; para Ahli Lembaga Pengarah SPWP, dan wakil penduduk.
-
disesuaikan
untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: