Filem - Crazy Rich Asian

USAH KAYA YANG GILA


Anak lelaki boleh mematuhi ibunya meninggalkan kekasih, tetapi akan hidup dalam kebencian. Kalau dia mengahwini gadis kesukaan ibunya, dan hidup bahagia, si ibu perlu ingat itu kerana bekas kekasih anak lelakinya. Jika anak lelaki itu memilih kekasihnya, dia terus hidup tanpa membenci ibunya.
Saya menyangka Eleanor Sung-Young (Datuk Michelle Yeoh) menolak Rachel Chu (Constance Wu), kekasih anaknya, Nick Young (Henry Golding) kerana harta. Eleanor wanita Singapura yang sangat kaya, sementara Rachel profesor ekonomi di New York City. Dari pertemuan pertama lagi Eleanor yang bersikap menguasai anak tidak menyukai Rachel, walaupun sudi berbual.
Bukan kerana kekayaan. Walau bagaimanapun, alasan Eleanor juga klise, iaitu perkauman. Lebih parah, Rachel berbangsa China sepertinya, tetapi masih dianggap sebagai orang asing kerana China Amerika. Bagaimana kalau Rachel memang gadis Amerika sejati?
Shang Su Yi (Lisa Lu), nenek Nick menyukai Rachel dan tahu gadis itu bijak. Namun demikian, Eleanor tidak menyenanginya lalu mengupah penyiasat persendirian menyelidik latar belakang Rachel. Akhirnya, Shang turut membenci Rachel dan tidak mahu gadis itu menghancurkan masa depan Nick. Eleanor meminta Rachel pergi kerana berbohong. Nick membantah, tetapi Rachel menegaskan dia memang akan berundur.
‘Crazy Rich Asians’ bercorak drama-komedi romantik yang diadaptasi daripada novel berjudul serupa karya Kevin Kwan. Menariknya, ia menampilkan pelakon British-Malaysia, Henry Golding dan aktres kelahiran Malaysia yang terbilang, Michelle Yeoh.
Rachel diajak oleh Nick menemui keluarganya di Singapura. Dia tidak menyangka Nick anak antara orang terkaya di Singapura. Walau bagaimanapun, Nick mengatakan kekayaan itu milik keluarganya, bukan kepunyaannya.
Walaupun agak terkejut dengan hal tersebut, peribadi luhur Nick itu mendorong Rachel terus berkasih. Dia tidak mengalah meskipun sahabat kolejnya di Singapura, Goh Peik Lin (Awkwafina), anak Goh Wye Mun (Ken Jeong/yang kecewa dengan Peik Lin), mengingatkannya tentang sifat/sikap orang kaya pulau tersebut.
Menelan biaya $30 juta, ‘Crazy Rich Asians’yang berdurasi 121 minit merupakan filem besar pertama ‘Hollywood’ dalam tempoh 25 tahun bagi watak Asia-Amerika sebagai watak utama selepas ‘The Joy Luck Club’ (1993), menerima pujian pengkritik dalam aspek lakonan, dan reka bentuk produksinya selepas mula ditayangkan di China (7 Ogos 2018 lalu), dan di Amerika Syarikat (15 Ogos 2018 lalu).
Rachel ke Singapura juga kerana menemani Nick menjadi pengapit sahabat kekasihnya itu, Colin Khoo (Chris Pang) yang mengahwini Araminta Lee (Sonoya Mizuno). Nick digilai banyak gadis jelita, termasuk Amanda ‘Mandy’ Ling (Jing Lusi), yang sanggup mensabotaj Rachel kerana cemburu, dan kembali menagih kasih.
Rachel mengaku belajar bermain mahjung daripada ibunya, Kerry Chu (Tan Kheng Hua). Permainan itu turut mengajar erti perjuangan hidup. Eleanor juga diajar oleh Su Yi. Menariknya, permainan tradisi China yang biasa dikaitkan dengan perjudian itu menjadi ‘wacana’ penyelesaian masalah Rachel-Nick. Rachel yang disangka telah menjadi orang Amerika oleh Eleanor masih mempunyai rasa cinta yang kental terhadap budaya China. Sewaktu bermain mahjung itu, Rachel meluahkan perasaannya kepada Eleanor.
Walaupun masih angkuh, Eleanor ‘cair’ juga, bukan kerana Rachel menewaskannya, tetapi disebabkan kata-kata gadis tersebut – seperti yang saya paparkan menjadi ‘cakap pindah’ dalam perenggan pertama tulisan ini.
Biarpun ditolak oleh Rachel, lamaran Nick akhirnya mendapat restu Eleanor. Dia mengejar Rachel sehingga ke dalam kapal terbang dan melamar sekali lagi. Dalam suasana lucu berbaur haru itu, Rachel menerima lamaran Nick.
‘Crazy Rich Asians’ filem Hollywood. Justeru, biarpun mengangkat tinggi watak Asia, sisi gelap masih dipaparkan. Dari aspek putih, Nick pemuda kaya yang memiliki cinta sejati. Rachel pula bijak dan kuat semangat, serta menyayangi/mentaati ibunya.
Watak kulit putih dan warga asing Asia lain menjadi pekerja bawahan seperti pelayan hotel, dan atendan parkir. Dua adegan pertama juga menunjukkan pengurus hotel berkulit putih dimalukan oleh Eleanor.
Antara yang dipaparkan dalam sisi gelap ialah watak Eleanor yang rasis; Bernard Tai (Jimmy O. Yang), bekas rakan sekelas Nick dan Colin yang suka berfoya-foya, serta kaki perempuan. Kelakuan buruknya lebih ditonjolkan pada penghujung cerita apabila berasmara dengan Kitty Pong (Fiona Xie), kekasih Alistair Cheng (Remy Hii) yang juga bintang filem lucah Hong Kong dalam majlis keraian. Eddie Cheng (Ronny Chieng), abang Alistair dan sepupu Nick pula selalu menyindir Rachel.

No comments:

Powered by Blogger.