SASTERA BUDAYA

PENYAJAK JALANAN?

Penyair dan penyanyi tidak sama taraf? Benarkah ada tanggapan sedemikian, dan kalau ada, kenapa? Tidak setaraf itu ertinya ada yang lebih tinggi/rendah antara mereka.
Justeru, siapakah yang lebih rendah? Jika dilihat sekali lalu, penyanyi kelihatan lebih tinggi daripada penyair kerana mereka lebih dikenali/diminati ramai berbanding penyair/penyajak.
Namun begitu, kalau dilihat dari aspek sastera, penyajak lebih tinggi daripada penyanyi.
Penyajak dan penyanyi sama-sama terlibat dengan/menggunakan karya sastera, iaitu sajak dan lirik.
Sajak sudah semestinya ialah karya sastera (puisi moden). Lirik juga karya sastera meskipun tidak semua karya sastera asli kerana ada yang diangkat daripada sajak.
Penyajak lebih tinggi kerana mereka sudah tentu menghasilkan karya sendiri. Mustahil penyajak dipanggil sedemikian jika mengambil/menciplak sajak karya orang lain.
Dalam hal ini, saya teringat kepada penyanyi di kaki lima atau dipanggil busker (penyanyi jalanan).
Dalam filem ‘Kembara….. Seniman Jalanan’, Bujang (1986/lakonan Datuk M Nasir) berjaya mencapai cita-citanya menjadi penyanyi (rakaman) terkenal dan berprinsip tegas.
‘Busker’, arahan Syed Khairul Fariz (2018) pula filem yang mengisahkan sekumpula remaja, iaitu Adil (Hafeez Mikail), Ucop (Anas Ridzuan), Bulan (Bulan Terry), berserta Vera (Daiyan Trisha), meminati muzik jalanan dan mahu memperjuangkannya sehingga ke tahap lebih tinggi.
Pada 1986, saya pernah menulis artikel mengenai penyair jalanan berjudul ‘Penyair jalanan masih asing di negara kita’. dalam ‘Berita Harian’. Namun demikian, ia tidak menjadi polemik. Barangkali kerana penyajak sendiri tidak selesa mendeklamasikan sajak di tepi jalan/hadapan pusat beli-belah, dan sebagainya seperti ‘busker’ yang menyanyi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ini, ‘busker’ di Malaysia mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat persembahan di tepi jalan atau tempat terbuka.
Berbanding era ‘80-an (seperti dalam filem ‘Kembara….. Seniman Jalanan’), dan ‘90-an apabila penyanyi jalanan dilarang/diusir oleh anggota penguatkuasa PBT. Kini segala-galanya telah berubah.
Jadi, adakah tidak mungkin penyajak turut berminat mendeklamasikan sajak di tepi jalan? Tidak salah, bahkan lebih baik dan boleh member manfaat besar.
Golongan ‘busker’ mendapat permit kerana mereka memperjuangkan dan memohon kebenaran membuat persembahan (‘busking’). Itu bagi mereka perlu kerana memudahkan ‘cari makan’.
Kini, perjuangan mereka berhasil. Justeru, salahkah jika penyajak juga bersikap seperti ‘busker’? Mereka boleh turut ‘cari makan’ dengan memohon permit dari PBT. Apakah cara yang lebih berkesan dan berjaya?
Atau mungkinkah buat permulaan, menyelit dalam persembahan ‘busker’ itu (kalau mengenali anggota busker/sahabat ‘busker’, itu lebih baik/mudah)? Segalanya mungkin. Boleh dibawa berbincang.



No comments:

Powered by Blogger.