SASTERA BUDAYA


GEGARAN DUA LEGENDA SENI SUARA NEGARA


Tidak pasti sama ada yang datang menonton meminati Datuk Jamal Abdillah atau
Datuk M Nasir, ataupun kedua-duanya. Walau bagaimanapun, yang pasti ialah semua
penonton Konsert ‘Duo Lagenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir’ di Panggung Sari, Istana Budaya pada 20 hingga 23 Disember 2018 lalu sangat terhibur, dan gembira ria dengan persembahan kedua-duanya.
Saya (mungkin para penonton lain juga) terasa seperti menonton konsert solo kedua-duanya apabila salah seorang daripada mereka tampil menyanyi – peminat seperti melupakan persembahan Datuk Nasir apabila Datuk Jamal beraksi, dan begitulah sebaliknya. Namun demikian, saya dan penonton bersatu menerima, serta lebih terhibur apabila Nasir dan Jamal berduet dalam segmen terakhir mendendangkan lagu ‘Kiambang’, ‘Malam’, ‘Kepadamu Kekasih’, ‘Mantera Semerah Padi’, dan ‘Ghazal untuk Rabiah’.
Mungkin ada yang kurang berpuas hati mengapa Nasir (turut) menyanyikan ‘Kiambang’, ‘Malam’, dan ‘Kepadamu Kekasih’ kerana itu lagu-lagu kumpulan Kembara, bukan daripada album solo beliau. Barangkali ada juga yang memprotes/bertanya mengapa hanya Jamal menyanyikan lagu popular Nasir, sedangkan ‘sifu’ itu tidak mendendangkan lagu popular Jamal. Seperti tidak adil.
Bukan setakat tiga lagu itu. Nasir turut menyanyikan ‘Keroncong untuk Ana’ (dieja ‘Keronchong untuk Ana’ pada layar di bahagian belakang pentas), ‘Hati Emas’, ‘Gerhana’, dan ‘Perjuangan’.
Tidak wajar menjadi isu besar. Para peminat sedia maklum bahawa Nasir dan Kembara itu sinonim, dan tidak boleh dipisahkan (meskipun kumpulan dari Singapura itu telah bubar). Pada hakikatnya, Nasir masih lagi/sentiasa ‘kembara’ dalam perjuangan muziknya. Tambahan pula, ‘Hati Emas’, dan ‘Kepadamu Kekasih’ (selain ‘Ekspres Rakyat’) telah memperkenalkan, serta mengangkat Nasir dalam dunia muzik (seni suara) tanah air (selain Singapura) sehingga menjadi legenda hidup sekarang.
Hanya Jamal menyanyikan lagu Nasir juga bukan masalah utama. Jamal sendiri mengakui semasa konsert, beliau ialah anak murid dan Nasir pula gurunya. Jadi, tidak hairan Jamal lebih teruja mendendangkan lagu-lagu gurunya. Walau bagaimanapun, ‘Ghazal untuk Rabiah’ merupakan lagu kemuncak dan adil bagi kedua legenda hidup itu (walaupun tidak mustahil akan ada lagi lagu duet mereka selepas ini).
Lagu terakhir persembahan Konsert ‘Duo Legenda’ (tetapi, dieja ‘Lagenda’ pada tirai konsert berkenaan) itu amat bermakna kerana menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-12 (1997). Nasir juga tidak memperkecilkan Jamal. Semasa konsert, Nasir memberitahu ilham penciptaan lagu tersebut dimulakan oleh Jamal, dan beliau hanya menyambung, serta mencantikkannya, dengan lirik karya Cenderwasih.
Sebagai memenuhi makna konsert solo, Nasir tidak lupa mendendangkan lagu-lagu daripada album solonya, iaitu ‘Hijab Kekasih’ (album Phoenix Bangkit/2001, walaupun diakuinya sukar untuk dinyanyikan di pentas), ‘Mustika’ (Solo/1989, sangat popular dan finalis AJL5/1990),
dan ‘Apokalips’ (Saudagar Mimpi/1992, lagu wajib konsertnya).
Memang ada yang kurang berpuas hati Nasir tidak mendendangkan ‘Suatu Masa’ (Dia Ibuku/1980),  ‘Tanya Sama Itu Hud Hud’ (Canggung Mendonan/1993, juara AJL9/1994), ‘Bonda’ (Canggung Mendonan/finalis AJL9), ‘Andalusia’ (Srikandi Cintaku/1999/juara AJL14/1999), ‘Ada’ (Canggung Mendonan), serta ‘Raikan Cinta’, ‘Phoenix Bangkit dari Abu’, dan ‘Sahabat Gua’ (Phoenix Bangkit/2001), ‘Juwita (Citra Terindah)’, dan ‘Sang Pencinta’ (Sang Pencinta/2006). ‘Raikan Cinta’ juga finalis AJL16.
Ada benarnya. Namun begitu, mustahil semua lagu boleh dimuatkan dalam konsert berkenaan. Tiga hari tiga malam pun tidak akan habis!
Diharap Jamal hanya bergurau apabila mengatakan tidak tahu untuk mendendangkan lagu apa lagi kerana semua telah dinyanyikan dalam lima konsertnya di IB sebelum ini. Justeru, tidak hairan apabila beliau menyanyikan beberapa buah lagunya yang kurang popular seperti ‘Cinta dan Tangis’, ‘Bicara Cinta’, ‘Kerlingan’, ‘Senandung Kasih’, dan ‘Cenderawasih’. ‘Cinta danTangis’ merupakan lagu popular penyanyi Indonesia, mendiang Eddy Silitonga, sementara ‘Cenderawasih’ pernah dipopularkan oleh A Halim.
Jamal turut mendendangkan lagu kumpulan Sweet Charity, iaitu ‘Terharu’, dan Othman  Hamzah, ‘Gadis Melayu’. Menarik apabila beliau turut mengundang anak lelakinya yang
berusia 17 tahun, Osama Yamani yang sungguh berbakat. Beliau dan Osama mendendangkan lagu yang turut dipopularkan oleh penghibur rakyat, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, ‘Aku Penghiburmu’.
Meskipun berbakat memetik gitar utama, mengapakah Osama menggemakan petikan gitar utama lagu nyanyian Gary Moore, ‘Still Got the Blues’ untuk ‘Seniman Menangis’ dendangannya bersama-sama Jamal? Adakah dia atau Jamal sengaja kerana meminati lagu itu, ataupun mereka terlepas pandang?
Walaupun suaranya agak tenggelam, pada bahagian-bahagian tertentu, Osama memang mewarisi bakat ayahnya. Jamal mengakui beliau tidak menyedari Osama berbakat seni. Walau bagaimanapun, beliau menghantar Osama menuntut di sebuah sekolah seni, dan telah pun menamatkan pengajian.
Mungkin ada yang bertanya mengapa penyanyi dalam YouTube boleh menjadi undangan konsert legenda hidup. Penyanyi yang dimaksudkan ialah Cassidy Anderson dari Australia. Namun demikian, ternyata Cassidy bukan sembarangan. Dia yang telah dua tahun menetap di Malaysia atas cita-cita mahu menjadi penyanyi negara ini membuktikan kebolehannya menyanyikan lagu popular Jamal, ‘Derita Cinta’, serta duet ‘Sandarkan Pada Kenangan’ (dengan Jamal), dan ‘Dua Insan’ (dengan Nasir). Suaranya amat merdu dan bertenaga, serta tidak kedengaran sumbang/pelat.
Secara keseluruhan, semua penonton gembira dan amat terhibur dengan persembahan
Konsert ‘Duo Legenda’. Nasir dan Jamal membuktikan mereka masih penyanyi/penghibur unggul tanah air selain Dato’ Sri Siti Nurhaliza, apatah lagi keduanya sudah/sedang ‘berusia’. Jamal berumur 59 tahun, Nasir pula 61 tahun!
Sementara itu, Jamal berbesar hati apabila Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sudi menggesek biola mengiringi persembahannya dengan Nasir untuk lagu ciptaan/nyanyian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ‘Engkau Laksana Bulan’ pada malam ketiga (22 Disember 2018). Tambah Jamal, persembahan bersama-sama Dr Siti Hasmah itu bertujuan mengutip dana untuk membantu golongan kurang bernasib baik.
Mengulas gandingannya bersama-sama Nasir, Jamal memberitahu itu merupakan impian yang telah lama disimpan. Bagi beliau, Nasir bukan sekadar legenda, tetapi memiliki bakat luar biasa. Disebabkan pelbagai kekangan, baru kini mereka dapat digandingkan dalam konsert berkenaan.
Menurut Raja Pop tanah air itu, Tun Dr Mahathir Mohamad antara tokoh yang sering memberi sokongan pada persembahannya walaupun bukan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Penyanyi popular berkenaan berkata situasi itu dialami sebelum 2006, dan Dr Mahathir sudah bersara daripada politik. Mahathir, tambah Jamal, memberi sokongan kepada beliau dengan hadir menyaksikan persembahannya. Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, serta lebih bebas/tidak terikat dengan hal pentadbiran negara, beliau masih gemar menonton konsert Jamal.
Menariknya, Mahathir bukan sahaja meminati suara penyanyi lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’ tersebut, malah menyatakan persetujuan menjadi penaung konsert tajaan sepenuhnya syarikat Shapadu Corporations Sdn Bhd itu.
Walau bagaimanapun, kata Jamal, beliau perlu mendepani dugaan bagi merealisasikan impiannya sebelum mendapatkan persetujuan Perdana Menteri ketujuh Malaysia itu.
Jelas Jamal, memang sukar mendapatkan penaung kerana khuatir akan menjadi isu. Namun demikian, Mahathir bersetuju secara tidak langsung kerana isteri beliau, Siti Hasmah turut tampil.
Tambah Jamal, tiket konsert yang dijual juga bertujuan mendapatkan dana untuk diberikan kepada golongan kurang berkemampuan. Acara kutipan dana secara spontan juga dijalankan pada malam berkenaan.
Jelas Jamal, tidak timbul isu beliau ingin mengambil kesempatan atas kehadiran atau pembabitan Mahathir dan Siti Hasmah. Sebaliknya, beliau mensyukuri kesudian Perdana Menteri, dan isterinya menyokong Konsert ‘Duo Legenda’.
Tegas Jamal, beliau tidak menggunakan surat penaung untuk kepentingan, tetapi sekadar berterima kasih, serta berbangga atas kehadiran Mahathir dan Siti Hasmah.
‘Bagai bulan jatuh ke riba’ ialah perumpamaan paling sesuai buat Cassidy yang berkongsi pentas dengan Nasir dan Jamal. Cassidy menyifatkan gandingannya bersama dua penyanyi terkenal itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan.
Kata Cassidy, dia pernah memberitahu ibunya impian untuk beraksi di pentas gah tersebut ketika mereka di dalam grab melintasi IB. Cassidy tidak menyangka mimpinya menjadi kenyataan.
Menurut Cassidy, ibunya yang antara penyokong kuat sangat gembira dengan berita
tersebut. Ibu Cassidy turut hadir menyokongnya beraksi di pentas Panggung Sari, IB.



No comments:

Powered by Blogger.