SASTERA BUDAYA


















PENERUSAN IFTAR@KUALA LUMPUR

BERBUKA puasa sambil menikmati keindahan kota raya Kuala Lumpur dalam remang senja menerusi sebuah program istimewa dan unik telah menarik kehadiran pengunjung tempatan, dan antarabangsa sejak dilaksanakan lapan tahun lalu.
Program tersebut mula dilaksanakan pada 2012 atas nama Festival Ramadan sehingga 2014, sebelum dijenamakan semula menjadi Iftar (Berbuka Puasa)@Kuala Lumpur (Iftar@KL) mulai 2015. Ia diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Iftar@KL 2019 membawa kelainan apabila Surau Kontena Bergerak yang disediakan oleh JAKIM, serta penganjuran Malam 7 Likur@River of Life oleh DBKL akan berlangsung pada 25 Mei nanti.
Seramai 66,839 khalayak keseluruhan yang merangkumi 59,957 rakyat tempatan, dan 6,882 antarabangsa telah menghadiri program setakat ini. Para pelancong datang dari timur tengah, ASEAN, Korea Selatan, China, Jepun, Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat, serta Perancis dengan jumlah pendapatan RM535,538.30, bersama-sama jumlah PR RM1,479,624.70.
Iftar@KL 2019 berlangsung di sepanjang Ramadan sebanyak enam kali pada Sabtu dan Ahad, iaitu 11 & 12, 18 & 19, dan 25 & 26 Mei 2019 di Jalan Raja, Kuala Lumpur (berhadapan dengan bangunan Panggung Bandaraya DBKL).
Program kali kelapan ini bertujuan menjadikan Ramadan sebagai bulan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda, serta memupuk nilai-nilai murni menerusi penganjuran aktiviti.
Menurut Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli, Iftar@KL 2019 juga bertujuan mengimarahkan, dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah, dan keprihatinan sesama insan menerusi amala-amalan kebajikan, di samping mengeratkan silaturahim masyarakat pelbagai kaum.
Program seumpama ini, tambah Norliza, dapat menyemai semangat kekeluargaan dan membantu pihak-pihak yang memerlukan sumbangan, sekali gus dapat bersedekah.
Selain itu, 15 komponen pengisian aktiviti dilaksanakan oleh JKKN, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (KPSB) bersama-sama rakan penganjur, iaitu DBKL, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Tourism Malaysia, Islamic Tourist Centre, Jabatan Warisan Negara, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Jamek Kampong Bharu, Kementerian Kesihatan Malaysia, Alam Flora, F&N, Julies, Yakult, Quaker, Yayasan Hasanah, Yayasan Restu, Yayasan Dakwah Islamiah, Petronas, Shahajidah Hai-O, Shapadu, Hotel Seri Malaysia, Food Truck Entrepreneurs, Sukarelawan Budaya JKKN, dan Voluntourism di bawah KPSB.
Antara pengisian Iftar@KL 2019 ialah majlis berbuka puasa (iftar), penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, pameran bubur lambuk, tadarus al-Quran, sukarelawan, klinik tahsin al-Quran, jualan ‘food truck’, kaunter zakat, kaunter sumbangan, solat berjemaah (maghrib, isyak dan terawih), perkhidmatan kepada rakyat, takzkirah Ramadan, bicara Ramadan (‘Ramadan talk’), konsert Ramadan, dan moreh.
Acara kemuncak Iftar@KL 2019 ialah pada 25 Mei 2019, iaitu majlis berbuka puasa yang dijangka dihadiri tetamu diraja, dan pemimpin utama kerajaan yang akan bersama-sama rakyat mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai, bertadarus al-Quran, sekali gus berbuka puasa bersama-sama rakyat.
Orang ramai dijemput menyertai program ini, atau untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut, boleh menghubungi urus setia JKKN menerusi talian 03 2614 8200.
Pengunjung Iftar@KL 2019 turut dihiburkan dengan konsert Ramadan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti Nowseeheart (11 Mei), Raihan (12 Mei), UNIC (18 Mei), Saujana (19 Mei), Iwan Syahman (25 Mei), dan In Team (26 Mei), serta artis-artis nasyid lain.
Antara penceramah/pendakwah terkenal yang turut dijemput memeriahkan Iftar@KL 2019 ialah Dato’ Dr Haji Mohd Fadzillah Kamsah (25 Mei), PU Azman (19 Mei), Ustazah Dato’ Siti Nor Bahyah, dan Ustaz Wan Akashah (12 Mei). Selain itu, Iwan Syahman turut ditampilkan sebagai pendakwah selebriti bersama-sama Maulana Wan Helmi (11 Mei), Zul Handy Black (18 Mei), dan Ijam Medicine (26 Mei).
Tambah Norliza, menerusi Iftar@KL 2019, Ramadan dijadikan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian, dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat, khususnya generasi muda dalam memupuk nilai-nilai murni, terutama masyarakat kota raya.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
Tel: 03 26148200 Faks: 03 26970786

Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & You Tube: @mysenibudaya          



No comments:

Powered by Blogger.