SASTERA & BUDAYA


KILANG KONDOM PROSES SYABU


TERBAIK atau tidak, selepas Geran, inilah filem untuk mereka yang menggemari aksi
lasak di sepanjang durasi. Filem ini juga untuk mereka yang suka berfikir/memikirkan
mesej sambil berhibur menonton aksi lasak mendebarkan. Filem ini ada mesej?
Perkara pertama terlintas dalam fikiran saya semasa menonton filem Wira yang
bercorak aksi lasak ini ialah bukan dengan kekerasan dan keganasan sahaja kita boleh
menjadi wira. Jangan terpengaruh dengan perbuatan wira, serta adik dan ayahnya
dalam filem arahan Andrian Teh, pengarah Paskal the Movie (2018) ini. Lagipun
makna wira itu luas, dan pelbagai.
Di samping tertarik dengan penampilan pengarah filem Bunohan (2012), Interchange
(2016), dan Dukun (2018), Dain Said dalam filem ini, saya dapat ‘menangkap’
persoalan betapa pentingnya semangat dan komitmen dalam berusaha mengatasi
rintangan, serta tidak lupa pada agama Islam, dan negara kita ada undang-undang.
Selain itu, jangan takut melawan penjajahan dan penindasan. Jangan membiarkan diri
terus dijajah dan ditindas. Ketakutan akan menyebabkan kita terus dijajah/ditindas.
Hassan (Hairul Azreen) tidak mahu atau tidak terfikir langsung menjadi wira. Dia hanya
mahu menyelamatkan ayahnya, Munas (Dato’ Hilal Azman), dan adiknya, Zain (Fify
Azmi) daripada cengkaman ahli perniagaan samseng, Raja (Dain Said). Dia mahu
membawa mereka tinggal di Machang, Kelantan untuk memulakan hidup baharu.
Sikap Hassan enggan bersengketa jelas apabila dia sedia berunding dengan Raja agar
tidak mengganggu ayah dan adiknya. Mengenai hutang, dia memberitahu Raja hal itu
akan cuba diselesaikan dengan baik.
Setelah menamatkan perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia, Hassan
kembali ke kampung halaman selepas sekian lama. Dia menyertai tentera bukan sahaja
untuk mengawal ‘setan’ dalam dirinya, tetapi juga tidak sanggup melihat hidup
keluarganya, serta orang sekeliling yang ditekan, dan dikawal oleh Raja. Dia juga mahu
menyelesaikan hutang Zain akibat kekalahan dalam pertandingan seni bela diri
campuran (MMA) anjuran Raja.
Walau bagaimanapun, samseng tetap samseng. Raja hanya berpura-pura menyetujui
Hassan. Dia melepaskan Hassan pergi, tetapi tidak berpesan pada anak buahnya
agar membiarkan bekas anggota tentera itu pulang ke rumah.
Hassan seorang diri menentang serangan Nazmi, rakannya yang bekerja dengan Raja.
Nazmi dan ramai pemuda lain yang menyerang Hassan dapat ditewaskan setelah
lehernya hampir dikelar oleh Hassan. Memang kesamsengan Raja mempengaruhi,
tetapi itu ditambah oleh kemarahan Nazmi terhadap Hassan yang mengata kakaknya.
Walaupun Hassan bernar-benar meminta maaf, tetapi Nazmi tidak berpuas hati.
Kekalahannya di tangan Hassan telah menginsafkan Nazmi. Cuma, keadaan memang
mahu menjadi semakin buruk setelah Hassan dan Zain berjumpa dengan Raja untuk
berunding. Raja memaksa Zain memakan makanan anjing pengawalnya, dan itu
melupuskan 40 peratus hutangnya.
Namun begitu, Vee (Ismi Melinda), anak perempuan Raja meminta izin ayahnya untuk
sekali lagi bertarung MMA dengan Zain. Dia yakin akan menang. Adiknya, Rayyan
(Josiah Hogan) juga mahu turut serta. Jika kemenangan boleh melunaskan hutang,
Zain sanggup. Dia juga yakin menang.
Hassan dan Zain menang. Namun begitu, Vee dan Rayyan tidak berpuas hati. Mereka
menyerang Hassan dan Zain, serta bertarung sengit di dalam bas mini (perangkap)
sehingga Rayyan terbunuh. Rakan-rakan mereka tewas, dan Vee melarikan diri
memberitahu ayahnya.
Raja berang, lantas bersama-sama konco-konconya menyerbu flet tempat tinggal
Munas untuk mencari Hassan dan Zain. Munas tidak bersembunyi, sebaliknya
bertarung hebat dengan orang-orang Raja sebelum mati dibakar oleh usahawan
durjana itu.
Hassan dan Zain tidak sempat menyelamatkan ayah mereka. Mereka juga terpaksa
bertarung bermati-matian sehingga Hassan ditahan oleh polis. Zain meluru ke kilang
kondom Raja untuk mencari gangster tersebut. Kilang itu juga tempat ayah mereka
bekerja, bersama-sama penduduk flet.
Walau bagaimanapun, pegawai polis, Boon Hua (Henley Hii) yang juga sahabat Hassan
melepaskannya dalam perjalanan ke balai polis dengan membuat helah. Kata Boon,
polis ada alasan kukuh untuk menyerbu kilang Raja.
Hassan dan Zain berjaya dalam perhitungan mereka dengan Ifrit (Yayan Ruhian), orang
kuat Raja, dan Vee. Ifrit mati di tangan Hassan, sementara Vee menghilangkan diri
selepas tangan kirinya putus ditetak oleh Zain.
Raja diseret oleh Hassan dan menyerahkannya kepada Boon. Boon sempat pula
‘berceramah’ ringkas kepada penduduk flet bahawa punca kejadian berlaku ialah
ketakutan mereka pada Raja. Namun begitu, Hassan tetap ditahan oleh polis kerana
bertindak membelakangi polis.
Ramai menganggap Wira ialah prekuel bagi Paskal the Movie. Namun demikian,
menurut Adrian, Wira menjadi cerita yang berdiri sendiri, tetapi apabila terarah ke akhir
cerita, ia mengalir semula jadi. Kredit itu ialah pengenalan kepada dunia sinematik yang
sedang diusahakan.
Cinematic universe’ (dunia sinematik) paling terkenal pastilah Marvel Cinematic Universe atau MCU yang dimulakan oleh jenama Marvel sejak lebih sedekad lalu. Filem
Malaysia kelihatan turut menuju ke arah itu hasil idea bernas pasukan produksi Adrian
yang mahu memulakannya menerusi Wira. Pasukannya, jelas Adrian, sedang mencipta
satu dunia sinematik. Wira menjadi permulaannya dan dalam filem ini ada telur ‘easter’ pada kredit akhir, sama seperti dalam semua filem Marvel sebelum ini.
Telur tersebut, jelas Adrian, menjadi pengenalan kepada dunia sinematik yang pihaknya cuba hasilkan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Adrian melihat akan ada
dalam lingkungan tiga ke lima judul yang hadir dalam dunia sinematik Wira.
Jelas Adrian lagi, perbezaan ketara Paskal the Movie dengan Wira ialah dari segi ‘look
and feel’, bukan sebuah filem sekuel atau prekuel. Paskal the Movie mengenai anggota
Paskal yang mengorbankan masa dan nyawa untuk negara, serta sebuah tema besar. Wira pula mengenai seorang komando, iaitu Hassan yang bersara awal kerana mahu pulang ke kampung untuk menyelamatkan keluarganya. Jelas Adrian, ia sebuah cerita
‘mikro’ mengenai kehidupan seorang askar.
Menurut Adrian, idea membuat dunia sinematik timbul ketika penggambaran Paskal the Movie dua tahun lalu. Tegas Adrian, beliau mahu membuat dunia sinematik mengenai hero yang tidak didendang, iaitu watak Hassan.
Memang Adrian mahu mengarahkan filem aksi lasak seperti Wira kerana sebelum ini banyak menghasilkan filem komedi, romantik serta seram, dalam dan luar negara.
Sejak menghasilkan Paskal the Movie, Andrian mula mengubah fokus kepada genre
aksi yang disifatkannya menyeronokkan. Beliau percaya pihak produksi perlu banyak
masa untuk perancangan, koreografi dan penggambaran dalam menghasilkan sebuah
filem aksi menarik.
Penampilan Dain Said mengejutkan/menarik bukan sahaja mengapa dia muncul
sebagai pelakon dalam filem ini, tetapi juga kemampuannya membawa watak yang
diberikan. Sebagai antagonis, dia setaraf dengan Hilal Azman, iaitu watak
pembantu (kategori pelakon pembantu lelaki). Gerak tubuh dan lontaran vokalnya,
biarpun ‘berbahasa rojak’ berkarismatik. Memang mengejutkan walaupun dia pernah
berlakon dalam Terbaik Dari Langit (2014), dan Mrs K (2016).
Menjadi usahawan memang baik kerana turut memberi peluang pekerjaan kepada
ramai orang. Namun begitu, jika turut mengusahakan barangan terlarang dan berjudi,
serta ‘menakluk’ kepala para pekerja sehingga sanggup mempertahankannya
membuta-tuli, tentulah tidak baik.
Memang Raja membina kilang dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk
setempat dengan ikhlas seperti yang dikatakannya kepada Munas. Walau
bagaimanapun, dia menganiayai para pekerjanya - dengan cara kotor – mengupah
beberapa orang pekerja lebih atas (Zizan Razak dan Jack Lim) untuk membakar
dengan sengaja kondom yang telah siap (helah menampung kerugian) agar dapat
memotong gaji.
Raja juga menganjurkan pertandingan MMA secara haram yang mengakibatkan ramai
yang berhutang setelah tewas dalam pertarungan dengan anak-anaknya. Tambah
buruk, dia turut memproses syabu secara rahsia, tetapi dapat dihidu oleh Munas.


No comments:

Powered by Blogger.