SASTERA BUDAYA


KETERBALIKAN YANG DIINGINI


ANTARA tanda sesebuah filem itu baik ialah mampu mencetuskan pelbagai persoalan di minda penonton dalam 10 minit awal durasinya.
Persoalan paling besar dalam filem Wangi ialah mengapa/bagaimana Khuzairi
(Sharnaaz Ahmad) boleh berubah dari lemah-lembut bersopan/berhemah kepada
ganas, dan kejam sehingga membunuh Bella (Nabila Huda), dan Azlan (Syazwan
Zulkifli), teman lelaki Bella, malah isterinya sendiri, Nor (Erra Fazira)! Bella ialah adik
angkat Nor.
Dari awal durasi lagi penonton dapat melihat Khuzairi begitu berhemah dalam pergaulan/kehidupan harian dengan keluarganya. Tidak keterlaluan kalau dikatakan
ucapan salam olehnya ‘paling lembut dalam dunia’.
Dalam kehidupan seharian, kita tertakluk pada hukum sebab dan akibat bagi setiap perkara (kecuali jika kehendak Allah SWT). Masakan Khuzairi menjadi ganas tanpa sebab kukuh. Tiada tanda/punca perlakuan Khuzairi itu yang meyakinkan penonton
Wangi. Amat malang jika persoalan tersebut menjadi sandaran Mohd Latiff Zami untuk filem arahannya yang keenam ini ‘pecah panggung’.
Walau bagaimanapun, bukan salah Latiff jika Wangi gagal di pawagam. Mungkin ia tidak wajar dibangkitkan kerana seperti menunjukkan kebodohan sendiri sebagai
penonton. Namun demikian, persoalan itu menjejaskan filem Wangi.
Lantaran ada kesempatan, ditanyakan juga kepada mereka yang berkenaan.
Ternyata bukan salah pembikin, tetapi angkara Lembaga Penapis Filem (LPF).
Walaupun Sharnaaz mengatakan Khuzairi berubah mendadak kerana dia takut/tidak
sanggup kehilangan semua kekayaan yang dimiliki jika Nor mengetahui skandalnya
dengan Bella, tetapi jawapan itu tidak mantap.
Penjelasan Latiff bahawa adegan Khuzairi memukul ayahnya ketika kanak-kanak
pada penghujung durasi telah dipotong oleh LPF yang menjawab segala-galanya.
Alasan LPF ialah adegan keganasan oleh kanak-kanak tidak wajar dipaparkan. LPF
tetap dengan keputusan meskipun Latiff telah menjelaskan.
Malanglah pihak berwajib kurang arif dengan soal berkaitan, padahal adegan itu
membuka kunci kekeliruan. Sementelah adegan Khuzairi ketika kanak-kanak itu ada
kaitan dengan pertanyaan mengapa judul filem ini Wangi. Penonton yang tahap
tafsirannya rendah tidak akan tahu mengapa. Begitu juga dengan pengkritik mentah.
Penonton dan pengkritik yang berinterpretasi tahap tinggi boleh faham sendiri.
Namun demikian, peluang bertanya elok dimanfaatkan. Sebenarnya, Wangi menjadi siratan bagi keinginan pembikin untuk disampaikan kepada penonton/pengkritik.
Skandal Khuzairi-Bella; Khiri (Nik Muhammad Adam Mikael) anak istimewa berusia
tujuh tahun, dan keganasan Khuzairi ialah keburukan yang keterbalikannya diingini
oleh semua orang, dan diistilahkan sebagai ‘wangi’ yang bererti kebaikan/keindahan
Saya teringat pada kata-kata pelakon veteran Dato’ Baharuddin Haji Omar, iaitu jika kita mahu mencari yang baik, paparkan dahulu keburukan (dalam filem dan drama televisyen/radio). Ia penyampaian mesej secara tersirat, dan falsafah tinggi. Kita/penonton tidak dapat lari daripada logik dalam kehidupan, dan logik dalam cerita filem. Meskipun aneh/sukar diterima akal, misteri kehilangan Bella terjawab apabila roh Bella sendiri memberitahu (memanggil-manggil nama Nor) Nor jasadnya diletakkan di belakang sebuah lukisan pada dinding oleh Khuzairi. Mengikut logik dalam dan luar filem, bau mayat Bella dapat dihidu oleh Nor (malah siapa sahaja, apatah lagi bau mayat memang paling busuk), lebih-lebih lagi dia menjenguk ke
dalam lubang di belakang lukisan. Walau bagaimanapun, reaksi Nor biasa sahaja.
Selain itu, penonton juga dapat melihat kepura-puraan Khuzairi, dan Bella. Seperti
yang Azlan sebutkan sambil marah-marah kepada Khuzairi sebelum dia dibunuh oleh lelaki itu, skandal Khuzairi-Bella bermula selepas hari pengebumian ibu Bella (Ruminah Sidek). Khuzairi dan Bella ‘berlakon’ di hadapan Nor, ibu Nor (Mak Wan), dan Khiri. Sudahlah berzina, mereka berpura-pura pula.
Meskipun dikatakan tiada hukum karma dalam Islam, tetapi pembalasan terhadap
Khuzairi tetap dipaparkan. Dalam adegan semasa kredit (satu pembaharuan?
Biasanya adegan selepas kredit). Khuzairi dibunuh oleh Mia (Mia Nasir), isteri
baharunya. Tubuhnya pula dibalut dengan plastik sebagaimana yang pernah
dilakukannya terhadap Azlan, dan Nor.
Jika pembikin mahu menjawab persoalan identiti Khuzairi dalam filem, saya fikir
lebih baik diterbitkan prekuel Wangi, bukan sekuel kerana Khuzairi sudah mati.

No comments:

Powered by Blogger.