FILEM


Mengangkat kisah cinta pemuda Cina-gadis Melayu

 

Filem Small Town Heroes ini tidak banyak publisiti walaupun ada beberapa trivia menarik. Dengan kos produksi kira-kira RM2.1 juta dalam format 2D, kisah cinta pemuda Cina dan gadis Melayu yang ditumpukan dalam filem ini tribut kepada filem Sepet (2005).

 

Pengarahnya, Ryon Lee mengaku dia sentiasa meminati filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu sehingga terdorong menghasilkan Small Town Heroes.

 

Filem bergenre drama dalam bahasa Mandarin ini ditayangkan di pawagam di seluruh negara bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina bagi 2022, mulai 1 Februari nanti.

 

Small Town Heroes yang difilemkan sepenuhnya di Malaysia ini turut menampilkan Aktor Terbaik untuk Bakat Baharu di Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-22 pada 21 Jun 2019 menerusi filem Taiwan, The Paradise, iaitu Yuan Teng. Aktor Malaysia ini juga dipilih oleh Lee kerana memiliki mata monolid. Filem lain lakonannya ialah In My Heart (2018).

 

Dalam The Paradise yang diarahkan oleh sutradara Taiwan, Shih-Han Liao, Teng membawa watak seorang anak muda yang menghadapi masalah ketagihan dadah.

 

Selain itu, Layla Sania, penyanyi Melayu yang boleh menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan fasih, dan menulis lirik dalam bahasa itu, mengambil muzik penyanyi terkenal antarabangsa Amy Winehouse, Ariana Grande dan Duffy sebagai sumber inspirasi, dan rujukan muziknya, menjadi pilihan Lee memegang watak Aisyah.

 

Layla, 19, muncul dalam persada muzik tempatan dengan single berjudul Que Sera Sera pada pertengahan 2019. Hal itu bermula pada 2018, selepas menjuarai MBP Singing Competition 2018, dia menandatangani kontrak dengan Warner Music Malaysia setahun kemudian, dan muncul dengan Que Sera Sera.

 

Que sera sera ialah perkataan dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud apa yang akan terjadi, pasti terjadi. Melodi lagu ini dicipta oleh bapanya sendiri, Khairuzikri yang menggunakan nama pena, Mystictune.

 

Pada Februari 2020, Layla menjadi salah seorang peserta I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga TV3. Lagu You’re The Only One in My Heart nyanyian asal penyanyi Taiwan, Tiger Huang, memperkenal lagi namanya dalam industri muzik tanah air.

 

Layla kemudian mengeluarkan single keduanya pada Mac 2020 berjudul Lakaran.

 

Semasa berusia 10 tahun, Layla memulakan kerjaya lakonan sebagai pelakon kanak-kanak menerusi telefilem Cucu Tok Aki, diikuti drama Bangkitnya Seorang Perempuan. Walau bagaimanapun, dia meninggalkan kerjaya seni seketika bagi memberi tumpuan kepada pelajarannya. Pada usia 17 tahun, Layla bergiat aktif dalam teater dan suara latar.

 

Layla muncul dengan lagu Mandarin pertamanya, By Your Side pada 22 Januari 2021. Lima bulan kemudian, dia muncul sebagai artis kedua Malaysia selepas Yuna dan sebelum Dolla, yang dipaparkan pada papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat.

 

Penampilan Layla itu ialah sebahagian daripada kempen Equal oleh wadah penstriman digital, Spotify. Dia menjadi wakil Equal Malaysia dan Singapura, serta terbabit dalam projek ini, di samping 34 artis mewakili 50 negara lain.

 

Layla bersama-sama 15 penyanyi berbilang kaum, termasuk Iman Troye, Ariff Bahran, Priscilla Abby dan Henley Hii menyumbangkan suara untuk lagu patriotik bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan negara ke-64 berjudul We Are One, karya Teng Bee terbitan Multimedia Entertainment. Lagu ini diterbitkan bagi membangkitkan semangat rakyat Malaysia memerangi penularan COVID-19.

 

Single ketiga Layla ialah Bambino yang menampilkan duetnya bersama-sama dengan Bunga Isme.

 

Sementara itu, menurut Teng yang berasal dari Kualal Lumpur, watak lakonannya merupakan tribut Lee untuk Guo Jing dalam filem The Legend of the Condor Heroes arahan Jin Yong.

 

Guo Qing dalam Small Town Heroes merupakan peniaga buah-buahan yang lurus dan naïf, serta suka berlagak gagah di hadapan orang yang disukainya.

 

Kata pemilik nama sebenar Chang Hong Ong itu lagi, dia teruja setelah mendapat tahu akan membintangi Small Town Heroes, yang merupakan filem Tahun Baharu Cinanya yang pertama. Selepas membaca skrip dan melihat senarai pelakon, dia sangat gembira, dan tidak sabar ke set.

 

Turut membintangi Small Town Heroes yang merupakan kolaborasi pertamanya dengan Lee ialah Jack Lim. Bagi Lim, watak lakonannya agak berat, iaitu pemandu lori yang kehilangan anak, dan ada hubungan cinta-benci dengan Guo Qing, selain suka mengusik Aisyah.

 

Sementara itu, penyanyi-pelakon Eric Lin membuat penampilan pertamanya dalam filem selepas lima tahun apabila muncul sebagai cameo istimewa, Kimchi, yang membesar di rumah anak yatim Xingfuyuan. Setelah dewasa, dia sesekali kembali ke situ membantu kerja-kerja di dapur.

 

Jment Lim, yang menjadi penerbit bersama-sama penerbit eksekutif Aron Koh, turut berjanji 30 peratus daripada keuntungan Small Town Heroes akan didermakan kepada badan amal.

 

Kisah Small Town Heroes bermula apabila Hero (Roger Shak), yang berasal dari kota, berpindah ke rumah anak yatim Xingfuyuan yang terletak di luar bandar. Di situ, dia berkawan baik dengan Ah Feng (Phua Chandler) yang kenan serta meminati novel seni mempertahan diri, dan Aisyah (Layla Sania) yang bercita-cita menjadi penggusti.

 

Setelah ibu Hero tidak datang mengambilnya seperti yang dijanjikan, dia serta Ah Feng dan Aisyah memulakan perjalanan mencari keluarga Hero.


No comments:

Powered by Blogger.