MUZIK

 

 

 

SENANDUNG MELAYUKU DARIPADA MAESTRO MUZIK NEGARA

 

 

TANAH Ini Kampung Kencana’ ialah kata-kata pujangga yang menjadi sebahagian daripada lirik dalam lagu Senandung Melayuku, nyanyian Datuk M Nasir, gubahan beliau sendiri dengan Brad Parker. Liriknya karya Keon.

 

Jangan terkejut jika dikatakan lagu ini sebenarnya telah berusia 24 tahun. Ia dicipta dan dirakamkan pada 1998 sebagai sebuah daripada empat lagu dalam projek album antarabangsa hasil kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd, bersama-sama bekas syarikat rakaman antarabangsa, BMG Publishing.

 

Namun demikian, ketika itu, atas dasar-dasar tertentu, Senandung Melayuku bersama-sama dengan I Have A Name, tidak dapat dilancarkan lantas hilang tanpa ada rancangan selanjutnya.

 

“Projek itu terkandas oleh kerana beberapa perkara. Walau bagaimanapun, empat lagu berjaya dirakamkan kemudian, termasuk Senandung Melayuku ini pada 1998,” jelas Keon.

 

Memang, tambah Keon, Luncai Emas sendiri tidak melakukan apa-apa selepas terkandasnya projek album tersebut. Namun demikian, ada antara empat lagu itu dimuatkan dalam album kompilasi M Nasir seperti Dalam yang liriknya karya Loloq.



Oleh kerana M Nasir sudah lama tidak muncul dengan album atau single baharu, Luncai Emas mengambil keputusan meluncurkan Senandung Melayuku di YouTube Luncai Emas Sdn Bhd.



                      Memang Senandung Melayuku untuk dendangan M Nasir sahaja.


          Keon terkejut apabila diminta oleh M Nasir menulis lirik untuk Senandung Melayuku.



Sebagai pencipta melodi, M Nasir ada pilihan dalam menentukan penulis lirik yang sesuai untuk lagu-lagu nyanyiannya.

 

Kini, Senandung Melayuku muncul kembali, malah sebagai keluaran terbaharu Luncai Emas, dan menjadi single terbaharu M Nasir.

 

“Oleh kerana M Nasir sudah lama tidak muncul dengan album atau single baharu, Luncai Emas mengambil keputusan untuk meluncurkan Senandung Melayuku di YouTube Luncai Emas Sdn Bhd,’’ jelas Keon.

 

Parker merupakan komposer dan penerbit dari Amerika Syarikat yang telah banyak berjasa kepada industri muzik di negaranya. Banyak lagu ciptaannya telah dinyanyikan oleh penyanyi popular Amerika Syarikat seperti Cher, Richard Page, Kieran Goss dan juga dari Asia seperti Andy Lau di Hong Kong dan Jaya (Filipina).

 

Keon pula penulis lirik terkenal dalam industri muzik tanah air. Banyak lirik karyanya ‘meletup’ seperti Relaku Pujuk oleh Spider, Kejoraku Bersatu dendangan Search, Joget Angan Tak Sudah (Jay Jay), Tunggu Aku Datang (Hazama), Di Bayang Awan (Dato’ Awie), dan Raguku (Ella).

 

Begitu pun, Keon memberitahu beliau sebenarnya terkejut apabila diminta menulis lirik untuk Senandung Melayuku. Beliau tidak menyangka M Nasir memintanya menulis lirik untuk lagu nyanyian sendiri, bukan penyanyi lain sebagaimana biasa.

 

“Selama bekerja dan dan membantu kerjaya muzik M Nasir, saya tidak pernah meminta atau bertanya untuk menulis lirik untuk lagu nyanyian beliau,” kata Keon.

 

Sebagai pencipta melodi, tambah Keon, M Nasir ada pilihan dalam menentukan penulis lirik yang sesuai untuk lagu-lagu nyanyiannya.

 

Kalau dilihat dengan mendalam, kebanyakan lagu nyanyian M Nasir menggunakan lirik tulisan Allahyarham Loloq atau nama sebenarnya, Rosli Khamis (selepas era S Amin Shahab).

 

“Memang M Nasir serasi bersama-sama Loloq, dan hakikat itu jangan dipertikai,” ujar Keon yang merupakan antara ‘orang kuat’ Luncai Emas.

 

Senandung Melayuku telah menjadi lagu pembukaan Mathnawi, sebuah dokumentari pendidikan RTM sebanyak 13 episod terbitan Luncai Emas yang menceritakan soal sejarah karya-karya agung lama Tanah Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, Gurindam 12, Sulalat u’s-Salatin, Bustanus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, dan Pelayaran Abdullah. Ia telah ditayangkan di RTM awal tahun ini.

 

Hasil tinjauan, ramai yang menggemari bunyi-bunyian alat muzik dalam Senandung Melayuku kerana enak didengar. Mereka justeru mengakui kehebatan kolaborasi M Nasir dan Parker.

 

“Memang Senandung Melayuku untuk dendangan M Nasir sahaja, dan pastilah beliau meletakkan harapan, serta jangkaan tinggi kepada saya agar menghasilkan yang terbaik,’’ jelas Keon yang bersyukur M Nasir terus menerima, dan merakamkan suaranya.

 

Walaupun Senandung Melayuku bukan karya baharu, tetapi Team Luncai Emas berpendapat ia masih relevan kerana jarang didengar, serta tidak diketahui peminat di luar sana.

 

Justeru, sebuah video lirik rasmi untuk single ini telah pun sedia dimuatnaikkan ke laman YouTube Luncai Emas untuk tontonan semua.

 

Sebagai maklumat, Senandung Melayuku juga boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Deezer, dan JOOX.

 

Sejak mula dimuat naik di YouTube pada 24 Januari 2022 lalu, Senandung Melayuku mendapat maklum balas yang sangat positif daripada para peminat.

 

Luncai Emas berharap kemunculan Senandung Melayuku dapat mengubat rindu semua peminat M Nasir, dan masyarakat di luar sana yang sentiasa menyokong kerjaya beliau, serta pasti telah lama menanti-nanti karya terbaharunya.

 

 

 

 

 

 

 

‘SENANDUNG MELAYUKU’

 

M Nasir

 

 

GODAANMU PADUKA RATU

DI WILAYAH BUMI MELAYU

KU DAMBA PETUNJUK DARIMU

BISA JADI PENAKLUK KALBU

 

TANAH INI KAMPUNG KENCANA

SUBURKAN IA DENGAN FATANA

BIAR BERTEMPIK PUNCAK KINABALU

MUNTAHAN API KARAKATAO

ADAT DAN KATA HILANG TAK MUNGKIN HILANG

 

SIN SYIN SAD … SINI KAU BERSEMENDA

SIN SYIN SAD … SINI KAU BERPESAKA

SIN SYIN SAD … SINI ENGKAU BERTANDA

SIN SYIN SAD

 

Aaa… Aaa… Aaa

 

SIMBAHKAN KARUNIA

GEMA SAKTI IRAMA NAFIRI

 

DALAM JIWAMU ADA SETERU

MUSNAHKAN IA JANGAN KAU RAGU

JIKA BERTEMBUNG AKAL DAN NAFSU

PILIHANMU HANYALAH SATU

LEPASKAN INI ENGKAU MARTABAT RATU

 

RIBUT LAUT DALAM                                  

PANDAI MALIM LAWAN

RIBUT KITA TENGKUJUH BADAN

JANGAN SAMPAI KARAM

 

ASAL KITA DIALAH

MAKAM DIA SAYANG

ASAL KITA DIALAH

KITA RINDU RAWAN

 

No comments:

Powered by Blogger.