BUDAYA


Drama TV Adaptasi Novel Perlukah Diteruskan?

 

Ada seorang pengkritik filem tanah air bertanya apakah kesudahan novel atau cerpen selepas diterbitkan. Walau sehebat mana pun karya sastera tersebut, katanya, ramai yang menganggap kesemuanya hanya akan terbiar di stor sahaja. Mereput tidak dibeli/pedulikan orang!

 

Tambah pengkritik tersebut, hal berkenaan disebabkan oleh kecenderungan membaca yang sangat rendah dalam kalangan masyarakat. Lantaran kecenderungan negatif itu, kata beliau lagi, hasil jualan buku, khususnya novel tidak memberangsangkan.

 

Novel karya Sasterawan Negara (SN) juga tidak terkecuali dalam hal ini. Jualan novel SN didapati hanya mencecah suku daripada jumlah jualan novelis muda yang memilih pendekatan popular, dan membawa kisah cinta remaja.

 

Jika berdasarkan pertanyaan pengkritik tersebut, ertinya orang lebih menggemari novel popular yang dianggap oleh sesetengah pengkritik sastera sebagai novel murahan, berbanding novel ‘mahal’ karya sasterawan besar.

 

Sebagai catatan atau nota kenangan, tidak lama dahulu, pernah kecoh seketika isu novel ‘tebal’ yang ‘nipis’, dan novel ‘nipis’ yang ‘tebal’.

 

Pengkritik tersebut seterusnya menegaskan, jangan lagi menyalahkan orang kita malas membaca, tetapi cari cara yang sesuai supaya bahan dalam karya seperti novel dapat diterima oleh khalayak yang lebih besar.

 

Ada pula pihak yang mempertikai sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seperti menyuntik nilai drama di televisyen tempatan. Mutu drama televisyen tempatan memang bukan tanggungjawab DBP, dan pengkritik tersebut mengakuinya.

 

Walau bagaimanapun, katanya, pihak yang berkaitan seperti DBP tentu ada cara untuk memainkan peranan.

 

Nilai pemikiran dalam sesebuah novel, kata pengkritik itu lagi, boleh disampaikan menerusi televisyen kalau orang kita malas membaca. Menurut beliau, mengadaptasi karya-karya hebat terbitan DBP sebagai permulaan, boleh dijadikan satu alternatif.

 

Tidak mengapa malas membaca, katanya, asalkan rajin menonton televisyen. Baginya, keadaan tidak akan berubah jika hanya menyalahkan orang malas membaca.

 

Sasterawan juga, kata beliau lagi, dapat memenuhi keinginan mereka menyampaikan pemikiran dengan berkarya seperti menulis novel. Pemikiran tersebut boleh dibawa ke televisyen melalui pengadaptasian, dan menemui khalayak yang lebih besar. Mereka mendapat manfaatnya.

 

DBP pernah bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadaptasi novel terbitan agensi Kementerian Pendidikan Malaysia ke drama televisyen, seperti Hujan Sudah Teduh, karya Zaharah Nawawi; Mufarakah (Rahman Shaari), Senjakala (Baharuddin Kahar), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (Allahyarham SN pertama Keris Mas), dan Jaringan (Rosmini Saari).

 

Namun begitu, pengadaptasian tersebut hanya telemovie (sekali tayangan berdurasi kira-kira dua jam), bukan dalam bentuk drama rantaian, dan tidak disiarkan pada waktu perdana/puncak. Usaha tersebut, walau bagaimanapun, tidak bertahan lama.

 

Pada 1995, RTM menerbitkan slot ‘Teater Novel’ yang mengadaptasi Sandera, karya Allahyarham SN kelima Arena Wati, dan Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, karya SN ke-10 Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

 

Begitu pun, pengadaptasiannya dalam bentuk telemovie, dan pendek umur juga. Mencecah hampir tiga dekad, slot sedemikian masih belum diwujudkan semula.

 

Novel lain yang turut diadaptasi ke filem oleh penerbit tempatan termasuklah Langit Petang, karya SN keempat Datuk Sri A Samad Said, arahan Shahrom Mohd Dom pada 1982; Ranjau Sepanjang Jalan (Allahyarham SN kedua Dato’ Dr Shahnon Ahmad/Allahyarham Datuk Jamil Sulong/1983), dan Black Widow - Wajah Ayu (Raja Azmi/U-Wei bin HjSaari/1995).

 

Kemudian ada Jogho (tajuk asalnya, Juara, karya Allahyarham SN kesembilan S Othman Kelantan/U-Wei bin HajiSaari/1999), Hingga Hujung Nyawa (Hasida Abu Bakar/Prof Madya A Razak Mohaideen/2004), serta karya Khadijah Hashim, iaitu Mira Edora (Datuk Zulkeflie M Osman/1990), dan Bicara Hati (tajuk asalnya, Pelangi Pagi/Datin Rosnani Jamil/2004).

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengadaptasian novel ke drama televisyen oleh penerbit tempatan semakin rancak. Penyiarannya di stesen televisyen swasta, dan berbayar telah menjadi trend, serta fenomena.

 

Mengambil sumber daripada karya sastera besar tidak dihalang, sebaliknya memang dialu-alukan. Langkah berkenaan memungkinkan atau berpeluang cerah membantu penghasilan drama televisyen yang baik. Setidak-tidaknya, ada asas yang baik untuk dijadikan medium tersebut.

 

Disukai atau tidak, untuk membantu mempromosikan karya sastera tersebut kepada khalayak secara meluas, novel-novel yang bermutu tinggi perlu diadaptasi ke drama televisyen, selain filem dan teater. Justeru, usaha berkenaan perlu terus diperkasakan dari semasa ke semasa.

 

Menurut Datin Zaiton Mohd Jiwa, pemilik Global Station Sdn Bhd (GSSB) yang menerbitkan Adam dan Hawa - diadaptasi daripada novel bertajuk serupa karya Aisya Sofea, pengadaptasian novel ialah usaha untuk mengikut trend semasa, serta menyokong karya sastera Melayu berkembang semula. Adam dan Hawa yang ditayangkan menerusi Astro Mustika mendapat sambutan hangat.

 

GSSB, tambah Zaiton, turut terpanggil kerana menganggap trend mengadaptasi novel ke drama televisyen semakin diminati. Menurut beliau, GSSB mahu menyajikan produk bermutu kepada penonton drama televisyen tempatan. Novel yang diadaptasi itu berdasarkan populariti, dan mencatat jualan melebihi 80 ribu unit. Justeru, beliau berasa pihaknya telah membuat pilihan tepat dalam menghidangkan produk terbaik kepada penonton.

 

Secara tidak langsung, pengadaptasian tersebut turut menambahkan pendapatan kepada penulis novel terbabit. Penulis menerima bayaran pengadaptasian selain royalti daripada penerbit novel. Walau bagaimanapun, berkat atau tidak pendapatan tersebut kerana ada unsur syubahah boleh dibahaskan.

 

Media Prima Berhad boleh dianggap sebagai pemilik televisyen swasta yang sangat bertanggungjawab merancakkan trend/fenomena adaptasi novel ke drama televisyen.

 

Antara drama yang pernah disiarkan di stesen televisyennya seperti TV3 termasuklah Chinta (karya Norhayati Berahim), Kau yang Terindah (Sophilea), Seindah Sakura (Liza Zahira), Setia Hujung Nyawa (Fatin Nabila), Teduhan Kasih (Marissa), Playboy Itu Suami Aku (Suri Riyana), Love You Mr. Arrogant (Aliesha Kirana), dan Kerana Terpaksa Aku Relakan (Umie Nadzimah).

 

Selain itu, Rindu Awak 200% (Liyana Zahim), Teman Lelaki Upahan (Azura Rasiddin), Dia Isteri Luar Biasa (Umie Nadzimah), Cinta Si Wedding Planner (Dhiyana), Sayangku Kapten Mukhriz’ (Sophilea), Titian Cinta (Ridhya Iman), 7 Hari Mencintaiku (Siti Rosmizah Semail), dan Sabarlah Duhai Hati (Mimie Afinie), menerusi slot Akasia.

 

Sementara itu, Sebenarnya Saya Isteri Dia (Zura Asyfar), Kampung Girl (Umi Kalsom) yang ditayangkan menerusi slot Zehra TV3 turut diminati ramai.

 

Begitu pun, kisah yang dipaparkan dalam drama-drama slot Akasia secara keseluruhannya kurang bermanfaat untuk penonton, terutamanya remaja dan pelajar, iaitu soal percintaan dan rumah tangga.

 

Kesemuanya dibumbui pula babak watak lelaki perempuan berpegangan tangan, berdakapan, di dalam bilik tidur (pelakon bukan mahram), bertengkar, memaki hamun, dan sebagainya, yang boleh dianggap berunsur syubahah.

 

Ada juga yang membuat penyelidikan dan menyelar bahawa cerita dalam drama-drama tersebut (hampir semuanya dalam slot Akasia) seperti berada di alam khayal. Saya fikir, kesemuanya sebagai bahan hiburan kepada penonton yang letih-lesu pulang dari kerja. 












Seperti sudah satu kemestian, kata mereka, watak utama lelaki dalam drama tersebut anak orang kaya, atau kerja bergaji besar walaupun baru tamat pengajian (‘wajib’ di luar negara), ada rumah agam ‘sebesar alam’, dan pembantunya, ada kereta besar, dan mewah, tidak banyak kerja di pejabat (yang juga besar) – hanya membelek-belek fail seketika, menandatangani fail/dokumen yang dihulurkan oleh setiausaha, selalu membatalkan temu janji kerana masalah peribadi, dan remeh, ada kalanya menghadap komputer riba seolah-olah menaip surat permohonan, termenung bercakap seorang diri, menelefon, dan berbual soal teman wanita atau isteri dengan rakan karib sepejabat yang berpangkat lebih rendah (sidekick).

 

Kalau berbual menerusi telefon, mesti dengan orang ‘besar’ dan kenamaan – datuk seri dan/atau tan sri mengenai projek berjuta-juta RM!

 

Lebih daripada itu, watak utama tersebut tidak menghadapi masalah kewangan, tiada beban hutang belajar dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, ketika tawaran kerja yang bergaji besar tidak banyak, beli-belah pakaian, dan perhiasan berjenama untuk buah hati/tunang/isteri, dan makan di restoran mahal atau hotel mewah!

 

Di stesen televisyen berbayar, Operasi Radio dan Televisyen Bersatelit Seluruh Asia (Astro) pun tidak jauh berbeza. Jangan Menangis CintaAndai Itu TakdirnyaAndai Itu Takdirnya 2, dan Takdir Itu Milik Aku menemui peminat-peminat drama di saluran Astro Ria bermula Mac ini sehingga tahun 2023. Penjualan novel-novel tersebut telah mencecah lebih daripada setengah juta naskhah, dan merupakan antara novel karya Siti Rosmizah yang terlaris.

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak pula novel yang tajuknya dalam bahasa Inggeris, atau bahasa rojak diadaptasi. Antara yang diminati ramai ialah Love You Mr. ArrogantPlayboy Itu Suami Aku, dan Cinta Si Wedding Planner menerusi Akasia. Judul-judul sedemikian dilihat mengenepi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita.


No comments:

Powered by Blogger.