BUDAYA

 

Bawa Budaya Kampung ke Tengah Kota

‘SENI RAYA BATIK’

 

DALAM usaha mempromosi semangat perpaduan dalam skala lebih besar, pusat beli-belah legenda dan sejak sekian lama di Malaysia, Plaza Sungei Wang, menganjurkan sebuah majlis bersempena dengan Hari Raya Eidulfitri di Ruang Legarnya, yang bertemakan ‘Seni Raya Batik’.

 

Untuk ‘memukau’ pengunjung dengan perhiasannya yang mengagumkan, ceria budaya, dan sudah tentulah membeli-belah, Ruang Legar Plaza Sungei Wang ditukar menjadi ruang kampung ‘batik’ berwarna-warni, dan ‘menggegar’, bagi majlis pelancaran rasmi kempen ‘Seni Raya Batik’ itu pada 9 April 2022 lalu.

 

Bersekali dengannya, Plaza Sungei Wang turut menganjurkan ‘Kenangan Batik 2022’ – program inkubator dengan matlamat memantapkan komuniti usahawan, sekali gus memelihara/memulihara seni batik dalam masyarakat Malaysia. Inisiatif ini merangkumi siri program bermula dari pendaftaran penyertaan, bengkel, program mentor, dan pameran akhir.


                                               Pengurus Pusat Plaza Sungei Wang, Joseph Teo.



            Zamani Slam tetap berusaha memberikan persembahan terbaik menerusi lagu popular                           kumpulannya, Kembali Terjalin dan Gerimis Mengundang






Khai Bahar mendendangkan 1, 2, 3, dan Bayang, serta lagu Raya popular Dato’ M Nasir, Satu Hari di Hari Raya.


Pelancaran ‘Seni Raya Batik’ disempurnakan oleh Pengurus Pusat Plaza Sungei Wang, Joseph Teo.



            Gimik pelancaran 'Seni Raya Batik' di Ruang Legar, Plaza Sungei Wang, 8 April 2022 lalu.
  


                                              Persembahan pembukaan, Ekspresi Tari Batik.







                                                Persembahan pembukaan, Ekspresi Tari Batik.

Pelancaran ‘Seni Raya Batik’ disempurnakan oleh Pengurus Pusat Plaza Sungei Wang, Joseph Teo. Dalam ucapan beliau, Joseph bagi pihak Plaza Sungei Wang mengalu-alukan pelancong dalam dan luar negara menyambut Hari Raya dengan mengunjungi plaza berkenaan untuk membeli-belah, mendandan diri di pelbagai salun yang ada, dan menikmati beraneka juadah lazat di premis tersedia.

 

“Para pengunjung juga boleh ‘berkampung’ di Plaza Sungei Wang semasa musim perayaan ini untuk mencari dan membeli perhiasan bertemakan batik yang cantik-cantik,” kata Jospeh lagi.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Koperasi Pengurusan Plaza Sungei Wang, Elise Lim; Bendahari Koperasi Pengurusan Plaza Sungei Wang, Carter Lim, dan Pengurus Hartanah Koperasi Pengurusan Plaza Sungei Wang, Winnie Lim.

 

Plaza Sungei Wang turut menyantuni anak-anak yatim dari Pusat Jagaan As Samad, sebagai memenuhi kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diusahakan olehnya.

 

Kempen tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada anak-anak berkenaan melihat batik bertemakan Raya, dan bergembira ketika menyertai Bengkel Batik pertama mereka semasa majlis pelancaran tersebut.        

 

Untuk lebih menyerikan majlis pelancaran ‘Seni Raya Batik’, penganjur mengundang dua penyanyi terkenal tanah air dari dua zaman, iaitu Zamani Slam dan Khai Bahar. Zamani kini telah mendapat jolokan ‘legenda hidup’, sementara Khai baru-baru ini menerima anugerah Penyanyi Pilihan Popular dalam Anugerah Juara Lagu ke-36.

 

Zamani, walaupun masih menghadapi sedikit masalah kesihatan, tetapi tetap berusaha memberikan persembahan terbaik menerusi lagu popular kumpulannya, Kembali Terjalin dan Gerimis Mengundang.

 

Sebelum itu, Khai sangat menghiburkan dengan kemantapan suaranya mendendangkan lagu 1, 2, 3, dan Bayang, serta lagu Raya popular Dato’ M Nasir, Satu Hari di Hari Raya.

 

Sebelum majlis pelancaran dan persembahan Zamani-Khai, CSR bersama-sama anak-anak yatim Pusat Jagaan As Samad, dan berbuka puasa, para jemputan serta wakil media dan pengunjung Plaza Sungei Wang menyaksikan demonstrasi memasak bersama-sama Aiman Salim & Ozzie Manan, serta persembahan pembukaan, Ekspresi Tari Batik.

 

Kempen seni budaya ini turut diisi oleh ‘Syiok Fest Lebaran’ bermula dari 22 April sehingga 1 Mei 2022. Terdapat lebih 1,000 reruai menyertainya, yang turut menampilkan beberapa selebriti terkenal.

 

‘Seni Raya Batik’ di Plaza Sungei Wang berlangsung dari 25 Mac 2022 sehingga 1 Mei 2022.

 

Antara pengisian lain termasuklah demonstrasi ‘Silat Cekak Hanafi’, ‘Tarian Senandung Aidilfitri’, ‘Orkes Melayu Rojer’, ‘Tarian Hari Raya Datang Lagi’, dan ‘Raya Live Band’ bermula 2 April 2022 sehingga 17 April 2022.  

 

Para pengunjung juga boleh menebus Paket Raya Reka Bentuk Batik edisi terhad pada kadar serendah RM88* dalam sebanyak DUA resit. Dengan belanja serendah RM168*, pengunjung boleh menebus Bag Tote Plaza Sungei Wang yang eksklusif.

 

Mereka yang datang berkereta, nikmati parkir dengan kadar serendah RM50 dan ke atas dalam DUA resit terkumpul.  

                 

No comments:

Powered by Blogger.