KEMBARA
Jambatan Victoria: Jambatan yang Dilalui dan Dilawati
Oleh Raja Yusoff Ariffin
DI Kuala Kangsar, setiap jambatan yang menyeberangi Sungai Perak mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Antaranya ialah Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah yang merupakan manifesto Tan Sri Rafidah Aziz ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, untuk menghubungkan Sayong dengan pusat Bandar Kuala Kangsar.
Sebuah lagi jambatan yang bersejarah, ada signifikannya yang tersendiri dan terkenal di Kuala Kangsar ialah Jambatan Victoria. Ia juga merupakan jambatan pertama di Bandar Diraja Perak itu, dan antara yang tertua di Malaysia.
Pada asalnya, Jambatan Victoria merupakan jambatan kereta api di Seberang Karai, yang dibina merentangi Sungai Perak untuk menghubungkan kampung berkenaan dengan Bandar Diraja negeri Perak itu. Justeru, ia memang antara tinggalan sejarah yang penting di Kuala Kangsar, serta mempunyai nilai estetika yang tersendiri.
Lantaran sumbangan dan peristiwa yang pernah berlaku ke atasnya, maka Jambatan Vicoria diabadikan sebagai warisan di Kuala Kangsar, di samping bangunan-bangunan bersejarah yang lain.
Jambatan tersebut pernah menyaksikan kemaraan tentera Jepun dari utara tanah air sewaktu penjajahannya pada Disember 1941, semasa Perang Dunia Kedua. Untuk menghalang kemaraan tentera Jepun menyeberangi Sungai Perak, British meletupkan jambatan tersebut sehingga terbelah dua.
Walau bagaimanapun, Jepun telah membina semula jambatan tersebut dengan menggunakan kayu daripada pokok di kawasan berhampiran. Mereka mengarahkan penduduk tempatan membinanya.
Selain peperangan, Jambatan Victoria turut menerima kesan buruk daripada bencana banjir yang beberapa kali melanda Kuala Kangsar. Sebenarnya, pembinaan jambatan ini yang bermula pada tahun 1892 pernah tertangguh akibat banjir besar yang menyebabkan air sungai naik sehingga 17 meter lebih tinggi daripada paras biasa (sekitar enam meter), dan arusnya menjadi deras.
Pembinaan Jambatan Victoria kemudian diteruskan sehingga siap sepenuhnya pada tahun 1900. Ia mendapat nama bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran Ratu Victoria di England pada tahun 1897 sewaktu pembinaannya berlangsung. Itu merupakan tahun pemerintahan Jubli Intan Ratu Victoria. Setelah pembinaannya selesai, Afrika Selatan berada di bawah kekuasaan Ratu Victoria.
Laluan kereta api sehala tersebut telah dirasmikan oleh Sultan Perak ke-28, iaitu Almarhum Sultan Idris Mursyidul Azam Shah I, pada 21 Mac 1900. Turut menghadiri majlis perasmian itu termasuklah Gabenor Jeneral British Sir Frank Swettenham; Raja Perempuan Perak; Residen Perak, J.P. Rodger, dan isteri, serta orang-orang kenamaan. Kalau dikira dari tarikh perasmiannya, jambatan tersebut telah berusia lebih 119 tahun. Ia juga telah diwartakan sebagai Warisan Negara oleh Jabatan Warisan Negara di bawah Aktara Warisan Kebangsaan 2005.
Pembinaan Jambatan Victoria yang juga dikenali sebagai Jambatan Enggor telah melengkapkan perjalanan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar. Ia juga merupakan laluan bagi kereta api barang yang mengangkut arang batu dari Enggor ke Singapura.
Dua orang jurutera yang bertanggungjawab mereka bentuk Jambatan Victoria ialah seorang jurutera divisyen, G.W. Fryer yang bekerjasama dengan C.R. Hanson. Pembinaannya bertujuan memudahkan pengangkutan bijih timah ketika itu. Ia juga pernah mendominasi perhubungan, dan menjadi laluan pengangkutan bijih timah yang penting antara negeri Melayu pantai barat Semenanjung, termasuk ke Pelabuhan Pulau Pinang.
Jambatan Victoria
berukuran 304.8 meter panjang, dan 12 meter tinggi dari permukaan bumi. Pada tahun
1910, ia telah digunakan sepenuhnya sebagai laluan kereta api dari Perai ke
Johor Bahru.
Jambatan Victoria
terletak di atas enam batang tiang yang kukuh diperbuat daripada bata merah.
Sir Frank Swettenham pernah menyatakan bahawa ia merupakan jambatan kereta api
terbesar di bahagian timur di luar India.
Jambatan yang begitu
penting sebagai laluan pengangkutan suatu ketika dahulu ini juga pernah menjadi
lokasi penggambaran filem Zombie Kampung Pisang (2007), arahan Allahyarham Mamat
Khalid, yang dibintangi Dato’ Awie, Ezlynn, Que Haidar, Sofi Jikan, Hamid
Gurkha, Dato’ AC Mizal, dan Allahyarham Loloq.
Perkhidmatan
Jambatan Victoria ditamatkan pada tahun 2002 selepas kerajaan membina jambatan
baharu sebagai landasan berkembar untuk menambah baik operasi perkhidmatan
kereta api tanah air, dan dijadikan daya tarikan pelancong. Namun demikian,
penduduk sekitar masih menggunakannya untuk menyeberangi Sungai Perak dengan
menggunakan motosikal, atau berjalan kaki. Galeri Jambatan Victoria telah
dibina berhampiran kawasan jambatan tersebut.
Meskipun
pembinaan dan kewujudan Jambatan Victoria berdasarkan pada fakta dan ketepatan
sejarah, tetapi ia tetap tidak dapat lari daripada kepercayaan dongeng ataupun
rekaan/mitos.
Menurut
kepercayaan penduduk tempatan, tiang-tiang pasak yang dibina menyangga Jambatan
Victoria menyimpan kisah misteri, iaitu orang British pernah mengorbankan
seorang wanita, dan mayatnya disimenkan pada salah satu tiang pasak yang
terpilih.
No comments: