PENDIDIKAN

 

Nori Abdullah Turut Simpati Masalah Kanak-kanak Austism

SINAMBUNGAN INISIATIF PRIHATIN BANTU PELAJAR

 

SERAMAI 110 pelajar Pendidikan Khas yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti masalah pembelajaran autism, sindrom down, dan disleksia bersama-sama ibu bapa mereka menerima sumbangan bantuan wang tunai, dan kelengkapan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh (SKSB) pada 10 November 2022 lalu.

 

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali.

 

Acara tersebut mengiringi penerusan komitmen inisiatif PRIHATIN membantu pelajar daripada golongan asnaf, dan keluarga kurang kemampuan (B40), dengan pemeriksaan mata, serta pemberian cermin mata percuma. Ia dijalankan menerusi kerjasama bersama-sama Bolton Optical Group DDN Bhd bersempena dengan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) yang memanfaatkan kira-kira 869 pelajar.

 

Sebelum sesi penyerahan bantuan dalam Program Kami PRIHATIN tersebut, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia @ PENYAYANG, Nori Tun Abdullah turut berucap panjang lebar sambil berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai autism bersama-sama ibu bapa dan pelajar Pendidikan Khas SKSB.

 

JPKM 2022 ini juga merupakan inisiatif dan projek khas Perdana Menteri dalam membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat, terutama penduduk di kawasan pedalaman, ataupun luar bandar.

 





Sebahagian daripada  pelajar golongan asnaf, dan keluarga kurang kemampuan (B40) yang diberikan pemeriksaan mata, serta pemberian cermin mata percuma.







           Sebahagian daripada pelajar Pendidikan Khas bersama-sama ibu bapa mereka yang hadir.


Antara pelajar Pendidikan Khas bersama-sama ibu bapa mereka menerima sumbangan bantuan wang tunai, dan kelengkapan pembelajaran.





Sekretariat JPKM akan menjelajah ke seluruh negara bagi mencari, mengenal dan membantu pelajar yang merupakan anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang bernasib baik, dan kurang kemampuan dari segi kewangan.

 

Menurut Dato’ Mohd Aizuddin, beliau amat berbesar hati dan bangga melihat usaha SKSB dalam membantu anak-anak istimewa, atau lebih dikenali sebagai pendidikan khas mendapatkan pendidikan yang sewajarnya dengan semangat jitu para guru.

 

“Saya dimaklumkan bahawa Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh ini merupakan sekolah yang mempunyai pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang paling ramai di Selangor,” katanya.

 

Namun demikian, bantuan serta sumbangan yang diterima bagi melestarikan pembangunan PPKI di SKSB masih kurang, dan ini amat mendukacitakan hati nurani Mohd Aizuddin.

 

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan @ NGO yang bergiat aktif dalam memperjuang pendidikan di Malaysia, saya terpanggil untuk menyeru syarikat korporat, agensi-agensi kerajaan, dan NGO di seluruh negara, serta menyumbang dalam pembangunan PPKI,” ujar beliau.


Antara wakil ibu bapa pelajar Pendidikan Khas yang turut berkongsi masalah kanak-kanak autism dengan Nori Tun Abdullah.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali.




                               Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Tun Abdullah.

  

Tambah Aizuddin, PRIHATIN melihat program kali ini mampu membantu, dan mengurangkan beban anak-anak Sungai Buloh, sekali gus mengurangkan beban ibu bapa untuk membuat kaca mata dalam memudahkan proses pembelajaran dalam kalangan pelajar dan memperkasakan pendidikan, dengan pemberian bantuan kelengkapan pembelajaran bagi pelajar pendidikan khas, serta bantuan wang tunai menerusi JPKM yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

 


 

1.      

2.   

3.      

4.      

No comments:

Powered by Blogger.