FILEM IMAM CATAT SEJARAH TERSENDIRI
FILEM Imam mengadakan Malam Gala dan sidang media di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 28 Februari lalu.
Sebelum mengharapkan ‘pecah panggung’ atau box-office, iaitu laku keras, filem Imam telah pun ‘pecah rekod’ sebagai filem pertama yang ditayangkan di Panggung Sari, IB.
Antara trivia lain ialah Imam merupakan filem Melayu tempatan ketiga yang diadaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara (SN), iaitu selepas Langit Petang (1982) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1983).
Pengarah Imam, Mior Hashim Manap (lima dari kanan) bersama-sama pelakon utama, dan tetamu jemputan selepas sidang media Malam Gala pada 28 Februari lalu.
Langit Petang diadaptasi daripada novel berjudul serupa, karya SN keempat (1985), Datuk Sri (Dr) A. Samad Said, sementara Ranjau Sepanjang Jalan pula karya SN kedua (1982), Allahyarham Prof Emeritus Dato’ Dr Shahnon Ahmad yang sama juga judulnya.
Filem Imam juga secara tidak langsung meneruskan pertentangan watak lakonan Dato’ M Nasir dan Faizal Hussein dalam filem, dan juga drama televisyen sebelum ini, malah lebih besar.
Dalam filem Rajawali (2022) yang judul asalnya Abang Long Rajawali (2004), Dato’ M Nasir berlakon sebagai antagonis, sementara Faizal pula protagonis.
Dalam teledrama Hello yang disiarkan di TV3 pada tahun 1994, M Nasir memegang watak protagonis, dan Faizal sebaliknya.
Dalam filem Imam, pertentangan watak mereka lebih besar kerana menyentuh dan berkaitan dengan soal agama Islam. Nasir berlakon sebagai Haji Mihad, sementara Faizal memegang watak Haji Syamsuri. Haji Syamsuri memusuhi Haji Mihad yang telah dilantik menjadi imam baharu Masjid Haji Salih, di kampung mereka, Anggerik Desa.
Menarik juga, Ahmad Patria, iaitu anak kepada SN kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain, penulis novel Imam yang turut menghadiri Malam Gala tersebut menganggap pemilihan Nasir, dan Faizal amat tepat, masing-masing sebagai Haji Mihad yang sentiasa tenang, dan lembut, serta Haji Syamsuri yang kasar, dan suka melenting.
Semasa sidang media selepas tayangan filem Imam, Ahmad Patria yang juga novelis yang terkenal dengan kisah fantasi, menyatakan kekaguman beliau dengan lakonan dua orang pelakon berpengalaman itu. Ahmad Patria juga yakin persembahan akan lebih mantap jika durasi ditambah setengah jam lagi.
Namun demikian, Ahmad Patria menyatakan kesedihan kerana ayahnya sudah tiada untuk sama-sama menonton Imam. Datuk Abdullah meninggal dunia pada 31 Disember 2014. Beliau yakin ayahnya akan turut gembira menonton Imam.
Novel Imam pertama kali diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd pada tahun 1995, selepas memenangi tempat pertama Hadiah Nasional (Hadiah Sako) 1992/1994.
Setelah menjadi imam, Haji Mihad cuba membawa pembaharuan di kampungnya itu, yang bermula dari Masjid Haji Salih.
Antara yang dilakukan oleh Haji Mihad ialah mengubah suai suasana masjid dengan membersihkannya, menanam pokok bunga di sekitar dan di bahagian bawah (masjid terletak di atas bukit), meletakkan bangku-bangku dan meja, serta membina gelanggang sepak takraw, dan badminton.
Pembaharuan Haji Mihad itu bertujuan menarik minat anak muda Kampung Anggerik Desa mengunjungi masjid. Beliau juga mahu menjadikan masjid bukan sekadar tempat untuk solat berjemaah semata-mata.
Walau bagaimanapun, beberapa pembaharuan Haji Mihad itu mendapat tentangan hebat daripada penduduk
kampung yang masih berfikiran sempit. Semua yang beliau lakukan turut
disalah tafsir oleh pihak yang menolak kepimpinannya di Masjid Haji Salih.
Latar waktu
cerita Imam ialah pada tahun 1983.
Ketika itu juga memang aneh dan sukar
diterima jika ada sesiapa yang cuba merubah wajah, dan persekitaran masjid atau
surau. Ketika itu juga orang Melayu
cenderung kafir-mengkafir, dan menganggap masjid atau surau hanya tempat untuk
solat berjemaah sahaja.
Haji Mihad juga
berkhutbah tanpa menggunakan teks yang disediakan oleh Majlis Agama.
Pembaharuan itu bukan sahaja menyebabkan penentangan terhadapnya semakin kuat,
malah beliau sendiri turut disoal siasat oleh pegawai Majlis Agama.
Konflik berlarutan apabila dikatakan terdapat emas
di sekitar kawasan Masjid Haji Salih. Jumlah jemaah masjid berkurangan
gara-gara ramai penduduk kampung sibuk melombong emas, dan tidak lagi mahu
solat berjemaah.
Beban pelbagai masalah yang terpaksa Haji Mihad
hadapi bertambah apabila beliau turut
diugut bunuh akibat hasad dengki Haji Syamsuri, sepupunya sendiri. Haji
Syamsuri yang juga mahu menjadi imam, mendapat sokongan Haji Abdul Rahman,
dan Lebai Saat (Rasdi Daud).
Hasad dengki dan pertentangan ini menyebabkan berlakunya solat berjemaah dua imam. Sebuah
adegan menunjukkan hampir terjadinya solat fardu Jumaat dua imam, jika tidak
diselesaikan oleh Haji Mihad yang memberi laluan kepada Haji Syamsuri sebagai
imam.
Selain berjaya mencatat sejarah filem pertama ditayangkan
di IB, filem Imam ini menjadi kejayaan
pengarahnya, Mior Hashim Manap dan anak
buah kerana berjaya memindahkan cerita novel setebal 705 halaman ke layar lebar
yang berdurasi selama 105 minit, dengan empat kali rombakan lakon layarnya.
Tidak dinafikan tiada karya atau ciptaan manusia
yang sempurna, kerana hanya Allah yang Maha Sempurna, dan sebaik-baik Pencipta.
Demikianlah juga dengan filem Imam
ini.
Walaupun ada
filem yang dianggap sebagai ‘sampah’, iaitu tidak berguna dan tidak perlu
diterbitkan atau ditonton, tetapi saya, dengan menolak kekurangan yang ada, menyimpulkan
bahawa Imam adalah antara filem yang
amat berguna, serta wajar-perlu diterbitkan, dan ditonton!
Tidak
keterlaluan dikatakan kalau mengambil dari segi persoalan atau pemikiran yang
dibawakan olehnya, Imam memang filem
terbaik, terbesar dan terpenting setakat ini.
Saya berani mengatakan sedemikian kerana tiada lagi yang lebih besar daripada
persoalan atau permasalahan agama Islam, dan bangsa di dunia ini.
Mior Hashim sendiri mengatakan beliau amat tertarik
dengan tema cerita Imam. Beliau tidak
mengubah apa-apa kerana cerita serta persembahan novel telah sedia baik dan ;cantik’,
sebaliknya hanya mengambil beberapa bahagian penting, dan membawa ke layar
lebar.
Filem Imam
diterbitkan oleh Alkahfi Pictures Sdn Bhd yang juga milik Mior Hashim sendiri
bersama-sama keluarga mula ditayangkan
di 45 pawagam di seluruh negara pada 2 Mac lalu.
Ia turut
dibintangi Vanidah Imran (Rubiah), Datin Natasha Charmaine (Siti Nur Aisyah),
Sani Sudin (Parman), Dewa Sapri (Bilal Haji Kulub), Rahim Jailani (Haji Omar),
Noramin (Haji Daud), Buyung Zasdar (Abu Had), DJ Pool (Cikgu Shahidan), Sophia
Ibrahim (Hajah Syamsiah), Kapten (B) Mohd Nor Bond (Penghulu Haji Ismail),
serta Dato’ Jalaludin Hassan dan Omar Abdullah (masing-masing sebagai YDP
Majlis Agama, dan Dato’ Berserban Merah).
No comments: