FILEM
Papar Kecanggihan CGI, Peralatan Bomba
FLASH OVER
JIKA terlupa bahawa kecanggihan imej penjanaan komputer (CGI) telah ada, ataupun CGI belum wujud lagi, memang saya menganggap para pembikin filem ini sangat berani, dan wajar diberikan tabik spring!
Masakan tidak. Filem Flash Over ini membawa kisah anggota bomba dan penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa gempa bumi. Adegan-adegan cemas yang dipaparkan dalam filem ini memang mendebarkan – dengan letupan demi letupan dan kebakaran besar. Sering saya menonton dengan gelisah dan tertanya-tanya bilakah semuanya akan berakhir.
Filem ini adalah filem bencana akibat gempa bumi yang
menyebabkan kebakaran besar. Walau bagaimanapun, jika tiada kecanggihan CGI,
tentulah adegan-adegan yang (mungkin) boleh mendatangkan bencana sebenar (kalau
tersilap perkiraan), dan membawa kematian sebenar, mustahil dapat dilakukan.
Diarahkan oleh Oxide Pang yang berpengalaman menghasilkan
16 filem sejak 1999, Flash Over
menampilkan Du Jiang, Wang Qianyuan, Tong Liya dan Han Xue sebagai pemegang
watak utama.
Du berlakon sebagai Penyelaras Pasukan Bomba dan Penyelamat
Han Kai. Wang pula memegang watak Kapten Zhao Ying Qi (Pasukan Bomba dan
Penyelamat). Sementara itu, Tong sebagai Ye Xin, Jurutera Keselamatan Taman
Industri Kimia, dan Han (Zhang Yong, guru sekolah rendah).
Ada juga Yu Haoming (Liu Zitao, Timbalan Pegawai Jabatan
Bomba), Elvis Han (Wu, anggota/rekruit baharu Jabatan Bomba), serta Hu Jun
(Wang, Setiausaha Majlis, Kementerian Pengurusan Kecemasan), Lo Ka Leung (Sun
Yang, pegawai keselamatan Taman Industri), Wang Ge (Ben Wang, anggota bomba),
dan Yin Xiaotian (Li Quan, pegawai bomba Taman Industri), Sophie Su (Yuan Ping,
pegawai jururawat, Jabatan Ambulans), dan Jiang Mengjie (Zheng Wen, jurutera
kimia).
Kisah Flash Over
bukan adaptasi atau berdasarkan kisah benar. Namun demikian, CGI yang bermutu
tinggi menjadikan tragedi yang dipaparkan seperti benar-benar berlaku. Adegan situasi
peristiwa sedang berlaku, dan setelah kejadian reda, mengagumkan.
Jadi, saya fikir secara tidak langsung filem ini
memaparkan dua kecanggihan. Kecanggihan pertama adalah CGI yang digunakan bagi
adegan-adegan cemas. Sudah pastilah CGI dimanfaatkan sebaik mungkin kerana
pembikin – malah semua orang - tidak mahu ada yang terkorban semasa
penggambaran.
Pembikinan filem produksi negara China ini juga beruntung kerana mendapat khidmat Dion Lam, pakar koreografi aksi lasak dari Hong Kong, iaitu salah seorang koreografer yang bereputasi tinggi.
Gempa bumi 3.1 magnitud yang berlaku telah menyebabkan dua letupan besar di kawasan perusahaan kimia di Guancheng. Seluruh taman industri itu hampir musnah, dan kawasan sekolah yang berdekatan turut terkena tempiasnya.
Kapten Ying, dan Liu bergegas ke tempat kejadian, tetapi kemudian mereka sendiri terperangkap di situ. Pada masa yang sama, Ye ditemani Han datang untuk membuat penilaian kerosakan.
Kapten Zhao dan Han, di sebalik pertentangan antara mereka, sanggup melupakan masalah tersebut dan bekerjasama.
Tong-tong berisi kimia yang meletup, tiba-tiba runtuh, ketika usaha untuk menghalang kesan letupan nuklear, dan mengawal kebakaran di teluk hingga semuanya kembali pulih terus dilakukan. Kapten Zhao dan anak buahnya segera memadamkan kebakaran.
Flash Over memang filem aksi lasak dan cemas. Walau bagaimanapun, turut diselitkan sedikit unsur romantik, dan perasaan cinta antara watak. Han sebenarnya menaruh hati terhadap Ye, tetapi sukar berterus-terang.
Dengan lakonan yang bagus dan CGI yang cemerlang, Flash Over berbaloi ditonton. Untuk itu, jangan ketinggalan ke pawagam berhampiran anda bermula 28 April nanti.
No comments: