AD-DIN
Santuni Anak Yatim,
Ibu Tunggal Galeri Raudhah pada 10 Muharam
RUMAH KASIH
NURUL HASANAH
ANTARA tarikh penting dalam sejarah Islam dan kehidupan umatnya ialah 10 Muharam.
Sama ada secara perseorangan mahupun berkumpulan, ia wajar diingati, malah
sebaik-baiknya diraikan.
Tarikh
10 Muharam amat bermakna kerana berlaku atau menyaksikan beberapa peristiwa
penting dalam sejarah dan peradaban Islam.
Salah
satu daripadanya ialah manusia pertama,
iaitu Nabi Adam AS ditiupkan roh. Syurga dan neraka juga dicipta. Nabi Musa AS pula
diselamatkan, manakala Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan Allah SWT.
Pada
28 Julai lalu, bersamaan 10 Muharam yang amat
istimewa kerana hari Jumaat, Rumah Kasih Nurul Hasanah di Ampang, Selangor antara
pihak yang tidak ketinggalan meraikan kedatangan tarikh tersebut.
Rasa
gembira dan terujanya terbukti apabila dari awal pagi lagi alunan selawat dan
zikir munajat digemakan. Bukan sahaja untuk 10 Muharam, Rumah Kasih
Nurul Hasanah komited mengimarahkan sebulan penuh dengan menganjurkan program mendorong
amalan-amalan sunat.
Menurut
Pengetua Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ustaz
Md Zawawi Ramli, beliau berasa bertanggungjawab
memberikan teladan, bukan sahaja kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya,
malah turut mengajak semua umat Islam, sama-sama menghayati, sekali gus
mengimarahkan Muharam.
“Saya
amat terpanggil mengajak semua umat Islam mengingati, menghayati, menghargai
dan mensyukuri 10 Muharam khususnya, dan Muharam amnya, dengan mengadakan
pelbagai aktiviti, sesuai mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW,” tegas Ustaz
Md Zawawi.
Untuk
sehari penuh, Ustaz Zawawi telah menyusun rangkaian
aktiviti bagi memberi semangat kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya
di premis Rumah Kasih Nurul Hasanah di Jalan Pimping, Ampang Height.
“Semuanya
bertujuan menghargai dan menghayati
perjuangan, serta pengorbanan Rasulullah SAW. Selain menghidupkan amalan
sunat di sepanjang 10 Muharam, jiwa anak-anak
kita perlu dilatih agar mudah mendekatkan diri kepada Allah,” tambah beliau.
Sekurang-kurangnya,
kata beliau lagi, program sedemikian dapat mendidik dan melatih bukan saja
anak-anak yatim di Rumah Kasih Nurul Hasanah, malah turut membuka mata masyarakat
mengenai kepentingan mendidik anak-anak sedari usia awal untuk mengetahui begitu
banyak kelebihan Muharam.
“Dengan
begitu banyak manfaat dan keistimewaan pada tarikh 10 Muharam ini, segala amalan
baik akan dilipatgandakan pahalanya oleh
Allah,” tambah Ustaz Zawawi.
Program pada hari
tersebut bermula sejak jam 9 pagi dengan program gotong-royong memasak bubur
asyura, sebelum diagih-agihkan kepada anak-anak yatim oleh Kelab Anak Yatim
Malaysia.
Ustaz Md Zawawi Ramli memberikan taklimat sebelum memulakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama.
“Selain
menyantuni anak-anak yatim, kami cuba berkongsi rezeki dengan memberi
bantuan kepada 40 keluarga Ahli Kelab Anak Yatim Malaysia,” ujar beliau.
Menurut
Zawawi, beliau ingin merebut peluang menyemarak, dan mewujudkan rasa kecintaan
terhadap Rasullah, serta meningkatkan rasa taqwa kepada Allah dengan mengadakan
sambutan 10 Muharam kali ini secara terbuka.
Program yang sebenarnya
bermula pada petang Khamis 27Julai itu, dimulai dengan bacaan maulid, marhaban,
qasidah, tausiah, serta doa 10 Muharam, dan berakhir pada Jumaat jam 6.30 petang.
Menariknya
juga, turut diadakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama yang melibatkan
perarakan motosikal berkuasa tinggi, dengan kerjasama Anita Bikers Group bersama-sama
Kelab Kereta Black & White, dan penunggang motosikal pengiring (KAY).
Selain
itu, konvoi kereta warna hitam dan putih memulakan perjalanan dari Galeri
Nur Raudhah, membawa kira-kira 30 anak yatim.
“Perjalanan diiringi motosikal berkuasa tinggi dari Anita Bikers bermula jam 3 petang bersama-ama anak yatim dan ibu tunggal. Semoga majlis ini diberkati Allah SWT,” kata Ustaz Zawawi lagi.
Sebahagian daripada ibu tunggal dan anak yatim dari Galeri Nur Raudhah yang menerima sumbangan daripada Rumah Kasih Nurul Hasanah, bersama-sama Puan Haslina Othman (berdiri paling kiri).
Pengetua Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli.
Bubur Asyura bersempena dengan 10 Muharam diagih-agihkan kepada hadirin.
Antara yang turut menyertai Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama.
Turut hadir termasuklah mantan editor di Karangkraf Sdn Bhd yang kini penyiar persendirian, Richie Rachman; pelakon Shazs Kaizen, Puan Anita Yusop dari Anita Bikers Group, wakil Galeri Nur Raudhah, Puan Haslina Othman, dan wakil media.
- RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: