SENI BUDAYA


Kaji dan Terima A.I, Bukan Terus Menolaknya

 

Teknologi moden bertukar ganti di sepanjang masa. Sudah menjadi kelaziman rasa kagum atas kehebatan yang dirasai pada peringkat awal sesebuah teknologi akhirnya berubah apabila muncul teknologi baharu. Sama ada menolak atau menerimanya, itu hak masing-masing.

 

Walau bagaimanapun, tidak wajar kalau terus menolaknya secara membuta-tuli kerana sungguhpun setiap perkara itu ada baik dan buruk, kita harus menerima yang baik untuk kebaikan bersama tanpa mengira bidang apa pun.

 

Ahli panel Wacana Pembangunan Produk Seni Budaya ‘Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Ancaman atau Kelebihan pada Seni Budaya Tempatan?’ pada 13 Julai lalu di Auditorium Mini Kompleks Pelancongan Malaysia (MaTiC) membuat kesimpulan bahawa kecerdasan buatan atau teknologi A.I tidak wajar dimusuhi.

 

Ahli panel yang terdiri daripada Aidil Hidayat (Pendakwah Teknologi), Hazwan Hassan (Mid Journey Mahir Malaysia), dan Khairul Ikhwan (Gig Venture) malah menyarankan agar teknologi A.I dijadikan rakan baik yang dapat membantu memudahkan segala urusan.

 

Wacana itu dimudahcarakan oleh Pengarah Urusan Global Impress Sdn Bhd, Irzal Kamal, dan turut menampilkan Dato’ (Dr) M Nasir sebagai tetamu khas. M Nasir turut memberikan pandangan dan jawapan atas soalan yang diajukan oleh Irzal dan Aidil, selain mendendangkan lagu popularnya, Tanya Sama Itu Hud Hud.


Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Encik Mohd Amran Mohd Haris menyampaikan ucapan beliau.


Pengarah Urusan Global Impress Sdn Bhd, Irzal Kamal (paling kiri) memudahcarakan Wacana Pembangunan Produk Seni Budaya ‘Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Ancaman atau Kelebihan pada Seni Budaya Tempatan?’ di MaTiC pada 13 Julai lalu.


Dato’ (Dr) M Nasir turut menganggap teknologi A.I hanya sebagai alat untuk berkarya sebagaimana teknologi-teknologi sebelum ini.



Hazwan Hassan dari Mid Journey Mahir Malaysia (berdiri) bercakap soal captcha.



Wacana Pembangunan Produk Seni Budaya ‘Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Ancaman atau Kelebihan pada Seni Budaya Tempatan?’ menampilkan Aidil Hidayat (dua dari kiri), Hazwan Hassan, dan Khairul Ikhwan sebagai ahli panel yang dimudahcarakan oleh Irzal Kamal (paling kiri).


                    Khairul Ikhwan dari Gig Venture (berdiri) berbicara mengenai chatgpt.


Teknologi A.I merupakan aplikasi digital yang mampu meniru kepintaran manusia untuk ‘belajar menjadi pintar’. Justeru, jentera dibina untuk menyelesaikan segala tugasan, dan mempelajari serta memahami konsep untuk menyelesaikan tugas, dan permasalahan.

 

Dari sudut seni persembahan, terutamanya seni tradisi, ia mampu mewujudkan unsur kekaguman untuk menghasilkan paparan visual, dan bunyi bagi meningkatkan bentuk apresiasi penghayatan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

 

Teknologi A.I dapat mewujudkan revolusi penghasilan karya seni untuk merubah landskap penghasilan karya kreatif dalam bentuk gerak, komposisi muzik, visual, dan kesusasteraan. Ia juga mampu memudahkan penggiat seni menghasilkan sesuatu karya yang lebih bermutu, dan bermakna menerusi cadangan karya seni dalam bentuk visual, atau tulisan seperti penghasilan skrip pentas.


Aidil yang menyentuh pengenalan A.I membuat kesimpulan bahawa teknologi canggih tersebut bukan perkara buruk, dan memburukkan. Beliau turut meyakinkan hadirin bahawa teknologi A.I yang mula diperkenal pada 1956 di Amerika Syarikat tidak sukar kerana yang penting adalah masa, dan kesabaran seseorang untuk mempelajari, dan menggunakannya.

 

Hazwan pula menyedarkan bahawa sejak 2000 kita sendiri tanpa sedar atau tidak telah menggunakan teknologi A.I ketika memberikan panduan mengenai sesuatu perkara kepada orang lain, terutamanya kanak-kanak. Jadi, walaupun lebih pintar daripada manusia, ia bukan perkara asing, malah amat berfaedah selagi digunakan dengan pintar.

 

Bagi Khairul, soal teknologi A.I mengurangkan peluang pekerjaan kepada manusia bukan perkara yang terlalu serius kerana ia sekadar alat. Peluang pekerjaan, jelas beliau, hanya hilang jika seseorang itu tidak menggunakannya dengan pintar, apatah lagi 'buta' atau menolak terus.

 

Nasir juga menganggap teknologi A.I hanya alat untuk berkarya sebagaimana teknologi-teknologi sebelum ini. Katanya, perkara tersebut tidak terlalu membimbangkan walaupun mengakui sukar mencari karya yang benar-benar asli pada zaman sekarang ekoran penggunaan pelbagai teknologi, dan amalan ‘peniruan’ karya karyawan terdahulu.

 

Walaupun tetap menganggap kejujuran dan kesabaran dalam berkarya sangat penting, tetapi ahli panel wacana berkenaan dan Nasir bersetuju bahawa teknologi A.I memang berguna dalam membantu menjimatkan masa, dan perbelanjaan. Teknologi A.I malah membuka pintu rezeki kepada mereka yang pintar menggunakannya.

 

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sentiasa proaktif dalam usaha membantu para penggiat seni di luar sana menghasilkan karya-karya seni yang terbaik, selari dengan perubahan arus teknologi masa kini.

 

JKKN juga mahu membantu mewujudkan kepelbagaian kepada para penggiat seni dari aspek penghasilan karya seni menggunakan pendekatan tradisional, dan moden menerusi teknologi A.I. Menerusi pelantar ini juga, urusan pemasaran dan pembinaan penjenamaan karya seni masing-masing dengan menggunakan teknologi A.I itu sendiri tidak lagi sukar.

 

Oleh itu, JKKN melaksanakan Wacana Pembangunan Produk Seni Budaya ‘Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Ancaman atau Kelebihan pada Seni Budaya Tempatan?’ yang merupakan program kedua selepas membicarakan teknologi Metaverse menerusi tajuk ‘Melangkah ke Alam Digital’ pada 8 September 2022.

 

Program berkenaan bertujuan memupuk keinginan dalam kalangan penggiat seni mempelajari, dan mengamalkan keupayaan teknologi A.I dalam seni; membuka peluang kepada penggiat seni menyumbangkan pengetahuan, dan kepakaran masing-masing menerusi jaringan kerjasama antara kumpulan teknokrat dalam teknologi A.I bagi mempertingkat kelangsungan seni budaya tradisi dalam era digital, serta berkongsi maklumat antara penggiat seni bersama-sama dengan pakar teknologi A.I yang dijemput khas.

                                             

Turut menghadiri wacana dan menyampaikan ucapan adalah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Encik Mohd Amran Mohd Haris.

 

Dalam ucapan beliau, Mohd Amran menyatakan harapan JKKN agar karya-karya tradisi dapat dimodenkan menerusi kerjasama antara pakar A.I dengan penggiat seni sedia ada.

 

“Ini adalah kerana teknologi A.I dapat memberi ruang yang lebih terbuka kepada penggiat seni untuk melebarkan sasaran khalayak dalam industri seni kreatif pada peringkat antarabangsa melalui pelantar digital,” jelas Amran.

 

Penggiat seni juga, tambah beliau, dapat menghasilkan karya dengan peruntukan minimum menerusi teknologi A.I tanpa perlu bergantung pada bantuan kewangan yang besar.

 

“Program ini juga mampu merapatkan jurang perbezaan antara penggiat seni, terutamanya dari kalangan generasi terdahulu dengan ahli-ahli teknologi dalam bidang A.I, ke arah mencari titik persamaan untuk perpindahan karya ke bentuk digital,” katanya lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


No comments:

Powered by Blogger.