FILEM

 

Awang Berpencak di Pawagam Seluruh Negara Bermula 11 Januari 2024

 

JIKA Anak Perjanjian Syaitan 2 yang ditayangkan bermula pada 4 Januari adalah filem Melayu pertama menemui penonton di pawagam seluruh negara untuk 2024, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah (PADIG) pula adalah filem kedua.

 

Tanpa banyak publisiti, kecuali kontroversi mengenai pengarahnya, Areel Abu Bakar yang disingkirkan, filem terbitan Studio Kembara (SK), ini adalah sekuel kepada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (MKKP - 2022), atau prekuel untuk Mat Kilau 2 (MK2) yang akan diterbitkan pada masa hadapan.



Nur Fazura (bercakap) muncul kembali di layar lebar selepas lima tahun.

##########################################################################


PADIG ini juga filem spin-off watak Awang, lakonan Fattah Amin dalam MKKP. Berani, dan mahir memanah, Awang tegas dengan cara perjuangan yang berbeza dengan abangnya, Mat Kilau.

 

Jarang sekali spin-off watak dilakukan oleh para pembikin filem Melayu tanah air. Sepanjang ingatan saya, selepas Fadil (Zizan Razak) dalam KL Gangster (2010), dan KL Gangster 2 (2013) yang diangkat menjadi Abang Long Fadil (2014), Abang Long Fadil 2 (2017), Abang Long Fadil 3 (2022), Awang pula mencetuskan ilham kepada SK.

 

Selain spin-off watak Awang, PADIG membawa kembali filem bercorak purba ke pawagam selepas MKKP. Kekadang saya tertanya-tanya juga kenapa begitu jarang filem Melayu purba dihasilkan dalam dekad-dekad kebelakangan, berbanding era 50-an, 60-an, dan 70-an. Barangkali ada kekangan-kekangan tertentu yang jalan penyelesaiannya boleh dicari.




Barisan pelakon Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bersama-sama Pengarah dan Penerbit Eksekutif selepas sidang media, dan tayangan perdana filem berkenaan pada 2 Januari lalu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Shahruddin Dali (empat dari kiri) semasa sidang media tayangan perdana filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah arahannya.


Selepas agak lama Nur Fazura dan Heliza Helmi tidak beraksi di pawagam, PADIG membawa mereka berdua kembali membintangi filem.

 

Kali terakhir Fazura yang juga isteri kepada Fattah berlakon filem adalah dalam Dendam Pontianak (2019), filem seram romantik dari Singapura, arahan Glen Goei dan Gavin Yap.

 

Heliza yang lebih aktif sebagai aktivis kemanusiaan, beraksi dalam Bukan Cinta Malaikat (2017), filem kolaborasi Malaysia-Indonesia, arahan Aziz M Osman dan Herdanous Larobu.


Gabungan lebih daripada seorang pengarah untuk sebuah filem Melayu juga amat jarang berlaku. Seingat saya, Songlap (2011), yang meraih anugerah Filem Terbaik  (Aksi) dalam Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013, diarahkan oleh pasangan suami isteri, Effende Mazlan dan Fariza Azlina Ishak.

 

Filem bercorak drama dokumentari yang berdasarkan wabak pandemik maut COVID-19, iaitu Juang (2022) pula hasil garapan lima pengarah, iaitu Datuk Yusry Abdul Halim, Kabir Bathia, Osman Ali, Matt Lai, dan Aziz.



                            Fattah Amin (tiga dari kiri) sebagai Pendekar Awang.


Setelah kontroversi dan misteri, majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media Filem PADIG di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada 2 Januari lalu, mendedahkan nama pengarahnya, iaitu Saiful Reza Shukor (Reza Hilman Ripani) dan Shahruddin Dali - Shahruddin merangkap Penerbit Eksekutif bersama-sama Haji Abdul Rahman Mt Dali.

 

Adegan-adegan pertarungan yang hebat – saya fikir lebih baik daripada MKKP (visual yang bergoyang hingga merimaskan penonton) dikoreograf oleh Saiful Reza sendiri, bersama-sama dengan Mohd Khoharullah Abdul Majid.

 

Tahniah wajar diucapkan kepada Stephen Chua, Jyh Shyan, Idham Mad Din dan Areel sebagai pengarah sinematografi.



Haji Abdul Rahman Dali (lima dari kanan) semasa sidang media tayangan perdana filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah pada 2 Januari lalu.



Sebagai sekuel MKKP yang menjadi fenomena dengan kutipan RM97 juta, atau prekuel MK2, dan spin-off watak, PADIG memang masih berpegang pada hakikat sejarah ditulis oleh tangan yang menang – walaupun Haji Abdul Rahman semasa sidang media menegaskan beliau, dan Shahruddin adalah pembikin filem komersial, bukan sejarawan.

 

Dengan penjajahan British di Tanah Melayu, PADIG cuba membongkar kisah sebenar perjalanan Tok Gajah di Pahang, selepas pertempuran terakhir Mat Kilau di Kuala Tembeling.

 

Rahman, merangkap Pengerusi Eksekutif/Penerbit Studio Kembara, memberitahu bahawa Awang dan wira-wira seperjuangannya adalah antara pahlawan yang tidak didendang semasa kebangkitan pahlawan tanah air. Inilah, tambah beliau, antara sebab utama penerbitan PADIG.

 

PADIG membawa kisah British memburu Tok Gajah (Wan Hanafi Su). Awang mesti segera menyelamatkannya daripada ditangkap, dan dibunuh.

 

Apabila mengetahui Tok Gajah mahu ke Terengganu untuk mendapatkan sokongan Sultan, dan pahlawan Melayu di sana, British mengarahkan Kapten Syers (Geoff Andre Feyaerts) menangkap tokoh pejuang itu sebelum terlambat.

 #########################################################################

Di samping memastikan Tok Gajah berjaya sampai di Terengganu dengan selamat, Awang terpaksa juga menyelamatkan pemimpin Kuala Semantan dan juga bapa mertuanya, Haji Sulong (Namron) yang telah ditangkap British.

 

Dalam usaha penyelamatannya itu, Awang menghadapi pelbagai halangan, dan pertempuran. Dia dibantu oleh isterinya, Sayang (Nur Fazura); adik iparnya, Tahir (Nadhir Nasar), bersama-sama Siti (Heliza Helmi), Minah (Hazwani Helmi), Besah (Tissa Biani), adik kandungnya Brahim (Ali Karimi), serta Nadim (Syed Ali Murtadha), dan Andak (Amir Ahnaf).

 

Berdurasi 116 minit dan cerita asalnya ditulis oleh Shahruddin, PADIG turut dibintangi Amerul Affendi dan Ruzaidi Rahman sebagai ‘kaki pukul’ Syers, iaitu Tobah dan Jalak Pengkor, serta Andy Teh, Sathisvaran, Saifulwazien, John Bear, Hilal Azman, dan Hasnul Rahmat (Kodi).

 

Komposer dan penyanyi terkenal Faizal Tahir; penyanyi dan pengarah/penerbit filem Mawi, serta pelakon popular Azrel Ismail ikut membuat kemunculan istimewa dengan watak masing-masing Utusan To’ku Paloh, Tok Kenali, dan Tok Janggut.

 

Faizal juga adalah pencipta dan penyanyi lagu tema PADIG, iaitu Darah Bangsa.

 **********************************************************************************************************

Turut menarik apabila Saiful Reza memberitahu kesemua adegan aksi lasak dilakukan oleh para pelakon sendiri. Ini menangkis tanggapan bahawa aksi lasak mesti dilakukan oleh pelakon ganti, atau lagak ngeri.

 

Hasilnya mengagumkan meskipun biasa kita lihat persembahan tentulah hebat seperti benar-benar terjadi oleh aksi pelakon lagak ngeri.

 

Dalam pada itu, mengenai soalan kenapa berminat membintangi filem penentangan terhadap Inggeris seperti MKKP dan PADIG ini, Andre Feyaerts anak kelahiran Belgium – relatifnya orang barat, memberitahu beliau mahu mendalami kebudayaan orang Melayu.

 

Aktif membintangi drama televisyen dan filem Melayu sejak 2017, beragama Islam, dan mengahwini wanita Melayu, Feyaerts mengakui minatnya terhadap kebudayaan Melayu memang dalam. Sambil berlakon, katanya, dapat belajar dan belajar.


            

                                           Filem Melayu kedua di pawagam untuk 2024.


Selain Rahman, Shahruddin, Ismail, Fattah, Fazura, Reza serta Feyaerts, turut menghadiri Tayangan Perdana dan Sidang Media PADIG ialah Wan Hanafi, Hilal, Ruzaidi, Namron, Amerul, Ruzaidi, Andy, Nadhir, Syed Ali, Sathisvaran, dan Bear, serta Tissa dari Indonesia.

 

PADIG akan berpencak di pawagam seluruh negara bermula pada 11 Januari 2024, dengan harapan memperoleh kejayaan sebagaimana MKKP.

 

-       RAJA YUSOFF ARIFFIN

 


No comments:

Powered by Blogger.