FILEM
Captain Miller Bukan Filem Aksi Lasak ‘Kosong’!
SEBAGAI peminat filem, penulis turut menonton filem dari Kollywood, walaupun kebanyakannya menerusi TV2 RTM. Sesekali ada filem Tamil dari Malaysia turut ditayangkan di saluran televisyen tersebut.
Jika menarik, saya akan menontonnya hingga selesai walaupun durasi tayangan hampir tiga jam. Kalau ditayangkan beberapa kali kemudian pun, saya tetap menontonnya lagi.
Dari segi tipikal, memang filem Tamil Kollywood kerap membawa tema penentangan rakyat terhadap pemimpin, seperti wakil rakyat atau menteri yang rasuah.
Prop seperti mahkamah, balai polis, pegawai/anggota polis, jip dan trak polis, serta kereta api menjadi kebiasaan, malah satu kemestian.
Pada 12 Januari lalu di GSC Quill City Mall, Kuala Lumpur, penulis diundang menonton filem terbaharu dari Kollywood, malah filem Tamil pertama bagi pawagam di seluruh negara untuk 2024. Tarikh tersebut juga adalah hari pertama tayangannya di Malaysia.
Melihat posternya yang seperti poster filem Hollywood, apakah filem Tamil ini membawa kelainan? Sebagai memenuhi undangan teman dan tugas pihak media, penulis datang menonton.
Membawakan tema patriotisme, filem tersebut yang berjudul Captain Miller tampil dengan kelainan. Tiada mahkamah, balai polis, pegawai/anggota polis, jip dan trak polis, serta kereta api di sepanjang 157 minit durasinya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dhanush beraksi cemerlang dalam filem pengembaraan aksi lasak patriotisme ini.
Captain Miller merupakan filem bercorak pengembaraan aksi lasak dalam bahasa Tamil arahan Arun Matheswaran, dan diterbitkan oleh Sathya Jyothi Films.
Arun, 41, dikenali dengan filem Rocky (2012), lakonan Vasanth Ravi dan Bharathiraja, dan Saani Kaayidham (2022, Keerthy Suresh dan Selvaraghavan).
Menerusi Saani Kaayidham, para peminat filem Kollywood memahami kecenderungan Arun memaparkan adegan balas dendam yang ganas, dan kejam. Justeru, filem ini diklasifasikan sebagai 18+ kerana mengandungi keganasan yang dimaksudkan.
Sebenarnya, Captain Miller dengan slogan “Killer, Killer, Captain Miller!” adalah filem pertama daripada trilogi mengikut perancangan. Ia dibintangi Dhanush sebagai Analeesan ‘Easa’ atau Kapten Miller.
Beliau berganding dengan Shiva Rajkumar (Sengolan), Priyanka Arul Mohan (Velmathi), Aditi Balan (Shakunthala), Sundeep Kishan (Rafi), Edward Sonnenblick (Andrew Wandy), Elango Kumaravel (Kannaya), Viji Chandrasekhar (Easa, ibu Sengolan), Kaali Venkat (Kumastha Kanagasabai), ‘Merku Thodarchi Malai’ (Antony), Arunodhayan (Ayyavu), dan Abdool Lee (Stephen).
Mengimbau sejarah
penerbitan filem ini, Arun menulis skrip
pada 2018, dan Sathya Jyothi Films menerbitkannya. Walau bagaimanapun, ia
terhenti sehinggalah 2019. Pada asalnya,
ia diberi judul D47 (filem
lakonan Dhanush yang ke-47) kerana Arun
amat tertarik dengan filem arahan Steven Spielberg yang dibintangi Tom Hanks
sebagai Kapten John Miller, iaitu Saving
Private Ryan (1998). Ia diumumkan pada Julai 2022.
Penggambaran dijalankan dua bulan kemudian, dan selesai pada lewat 2023 di Chennai, Tirunelveli dan Tenkasi.
Muzik Captain
Miller ditata oleh GV Prakash Kumar. Sinematografi di bawah kendalian Siddhartha Nuni,
dengan penyuntingnya Nagooran Ramachandran.
Tayangan Captain
Miller di seluruh dunia, termasuk Malaysia juga bersempena dengan minggu
Pongal, dalam format biasa, dan IMAX. Aspek lakonan dan penataan muziknya
mendapat pujian ramai.
Captain Miller merupakan filem
ketujuh kolaborasi Prakash Kumar dengan Dhanush selepas Polladhavan (2007), Aadukalam (2011), Mayakkam
Enna (2011), Asuran (2019), Maaran (2022), dan Vaathi (2023), dan pertama dengan Arun.
Kumar menghasilkan
lagu-lagu menarik di bawah label Saregama. Lagu tunggal pertama, Killer Killer disiarkan pada 22 November
2023, diikuti Un Oliyile pada 23 Disember
berikutnya.
Seterusnya, Koranaaru dilancarkan pada 2 Januari, Kombari Vettapuli seminggu kemudian, dan
Rise of Miller pada 11 Januari lalu.
Pengedaran untuk tayangan Captain Miller di Malaysia dilakukan oleh MSK Cinemas Sdn Bhd. Menurut Puan
Saradha Sivalingam Kalai, pengarah
syarikat berkenaan yang turut menghadiri majlis tayangan media itu, Captain
Miller adalah filem Tamil pertama ditampilkan dalam IMAX.
Dengan reputasi Dhanush, 40, bekas menantu legenda Kollywood, Rajinikanth dan membintangi 47 filem sejak 2002, beliau berharap Captain Miller yang menelan kos 50 crore (RM28 juta), akan mendapat
sambutan hangat di Malaysia.
Penonton yang gemarkan adegan pertarungan sengit, letupan
di sana-sini dan kejar-mengejar protagonis-antagonis, Captain Miller adalah pilihan mereka yang tepat.
Selain itu, kejelitaan Priyanka Mohan, 29, mampu
menarik penonton ke pawagam, apatah lagi beliau tidak bersandarkan rupa
paras semata-mata.
Analeesan ‘Eesa’ merupakan bekas tentera British yang
dipanggil Captain Miller. Dia berazam membela, dan melindungi rakyat India
daripada cengkaman British selepas menyaksikan kekejaman pegawai tentera negara
penjajah itu.
Berlatarbelakangkan
zaman pemerintahan British, keganasan
dan ‘keseruan’ filem ini bermula apabila penjajah tersebut memburu Analeesan/Miller,
yang dikehendaki kerana berpaling tadah, apatah lagi membunuh anak pegawai
tentera British.
Meskipun ada yang
mempertikai fizikalnya untuk memegang watak wira yang ganas dan lasak, tetapi Dhanush kelihatan selesa, malah
bersungguh-sungguh menjayakannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan beliau
sesuai sebagai Kapten Miller.
Antara perkara
menarik mengenai filem ini yang boleh diteladani ialah penentangan terhadap penjajah tidak mengira negara, dan bangsa apa pun.
Walaupun, dengan cara dan kemampuan yang berbeza, ‘lawan tetap lawan’. Penjajah
mesti diusir dengan apa cara pun.
Selain itu, jelas
kelihatan unsur agama dipaparkan di sepanjang
filem ini. Di samping semangat, tenaga dan kecerdasan fikiran, pegangan agama yang utuh juga amat penting
dalam perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan – mengikut agama
masing-masing.
Penulis agak
bersetuju dengan pandangan bahawa bermula dengan Captain Miller ini, pembikin filem
Tamil Kollywood menunjukkan kesungguhan
mereka untuk menghasilkan karya-karya setanding dengan Hollywood.
-
RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: