PENDIDIKAN 


Anugerah dan Bantuan RM457,000 untuk Pelajar Cemerlang YWP 2024

 

YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengucapkan tahniah kepada 429 pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) 2024.

 

Jumlah tersebut melibatkan pelajar-pelajar cemerlang SPM, dan STPM bagi 2023, pelajar-pelajar yang menerima Skim Biasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) YWP, pelajar-pelajar semester pertama IPT yang menerima Skim Bantuan Awal IPT YWP, dan pelajar-pelajar sekolah yang menerima Skim Biasiswa Sekolah Menengah YWP. Kesemuanya menerima agihan bantuan sebanyak RM457,000.

 

Dr Zaliha memberikan penghargaan tersebut sewaktu berucap sebelum menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan 2024, di Dewan Tun Dr Siti Hasmah, Rumah Puspanita, Kuala Lumpur pada 27 Oktober lalu.

                                                                                            

                                                                           

YB Dr Zaliha Mustafa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan 2024 pada 27 Oktober lalu.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Majlis tersebut dianjurkan oleh YWP dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).

 

Penganjurannya bertujuan meraikan pelajar cemerlang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM, dan STPM 2023, sekali gus meningkatkan motivasi dan semangat pelajar lain agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik, dan kokurikulum.

 

Majlis ini juga bertujuan mengiktiraf usaha dan pencapaian pelajar, meningkatkan motivasi dan semangat pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan, menggalakkan persaingan sihat, memberi inspirasi kepada pelajar lain, serta menghargai sokongan ibu bapa dan guru yang berjaya mendidik, dan membimbing pelajar ke arah kejayaan.

 

Dalam ucapannya, Dr Zaliha merangkap Pengerusi YWP menyatakan penganugerahan ini adalah bukti komitmen Kerajaan, melalui YWP dalam mengiktiraf kejayaan, dan kecemerlangan anak-anak.

                                          

Salah seorang pelajar cemerlang yang menerima anugerah yang disampaikan oleh YB Dr Zaliha Mustafa (enam dari kanan).

###################################################################################

“Ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif yang dimasukkan dalam elemen Program Usaha Jaya Insan atau PUJI,” tambah beliau yang menegaskan bahawa pendidikan adalah tunjang pembangunan sesebuah negara, dan ketamadunan.

 

Ia, kata Dr Zaliha lagi, bukan sahaja membentuk individu, malah turut mencorakkan masyarakat dan ekonomi negara.

 

“Pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan masa hadapan negara. Ia tanggungjawab kita bersama untuk memastikan sistem pendidikan kita adalah yang terbaik,” tegasnya.

 

Di Wilayah Persekutuan (WP), antara tumpuan yang beliau selalu bangkitkan adalah untuk mengeluarkan isi rumah miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan melalui pendidikan.

 

“Justeru, antara flagship dalam PUJI adalah Ilmu @ PUJI, apabila kita memberikan bantuan kewangan seperti hari ini sehinggalah menyediakan bas MySchoolBus @ Wilayah untuk membantu anak-anak dari keluarga yang tidak mampu ini, datang ke sekolah, dan menerima pelajar yang sepatutnya berada di sekolah, di mana kita cuba untuk memastikan semua anak WP tidak tercicir daripada pendidikan,” jelas Dr Zaliha.

                                       

Salah seorang lagi pelajar cemerlang yang menerima anugerah yang disampaikan oleh YB Dr Zaliha Mustafa (dua dari kanan).

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Turut hadir, YBrs Encik Mohd Mustafa Ghazanfar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP; YBrs Encik Ahmad Tarmizi Baharom, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur; YBrs Encik Abdul Aziz Md Hashim, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, JPWPKL; dan YBrs Dr Amir Raslan Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

 

“Ini adalah antara komitmen kami di Jabatan Wilayah Persekutuan untuk membantu anak-anak WP menimba ilmu tanpa diskriminasi. Kita percaya bahawa setiap anak berpotensi untuk berjaya jika diberi peluang yang sama, dan inilah matlamat utama kita,” ujar Dr Zaliha lagi.

 

Beliau seterusnya mengingatkan dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, kecemerlangan

akademik semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran. Majikan, katanya lagi, kini mencari individu yang ada kemahiran interpersonal seperti kebolehan berkomunikasi dengan berkesan, kemahiran kepimpinan dan keupayaan untuk bekerja dalam pasukan.

 

“Justeru, saya melihat YWP perlu memikirkan program-program bagi membangunkan soft skills atau kemahiran insaniah kepada anak-anak WP semasa masih bersekolah lagi, agar mereka boleh melengkapkan diri, dan juga bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang lebih kompleks di luar sana,” kata beliau, yang yakin dengan pendekatan holistik seperti ini, insya-Allah, akan lahir generasi yang lebih seimbang, bersedia menghadapi cabaran masa depan, dan mampu berfungsi dengan efektif dalam komuniti, serta pasukan kerja kelak.

 

Kita, tambah beliau, mahu melihat anak-anak ini menjadi aset negara yang berharga, yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berkemahiran.

 

Tegas Dr Zaliha, dari aspek pendidikan, fokus Kerajaan kini lebih tertumpu pada aliran TVET, yang tidak boleh lagi dilihat sebagai kerjaya pilihan kedua, kerana ia menjanjikan peluang pekerjaan yang besar.

 

“Industri masa kini memerlukan tenaga kerja mahir dan pakar teknikal yang boleh memberikan sumbangan besar dalam bidang ekonomi. Jadi, Kerajaan mengaktifkan semula Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, dengan antara objektif utamanya adalah memastikan latihan yang diberikan selaras dengan kehendak industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran. Ini adalah usaha penting untuk memastikan graduan TVET kita tidak hanya dilatih, tetapi benar-benar bersedia untuk memasuki pasaran kerja,” tambah beliau.

                                                                                                                           

Persembahan khas Ala Canggung oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Setapak, turut menyerikan majlis.

=========================================================================

Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, 18 Oktober lalu, sejumlah dana yang signifikan diperuntukkan, iaitu RM 7.5 bilion, untuk pemerkasaan TVET merentasi pelbagai pemain industri.

 

“Ini menunjukkan betapa seriusnya Kerajaan dalam memastikan program TVET dapat memberi impak yang besar dalam pembangunan tenaga kerja negara. Jumlah peruntukan ini signifikan sejajar dengan usaha Kerajaan untuk memastikan graduan tersebut bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan, tetapi juga mampu bersaing pada peringkat antarabangsa,” ujar Dr Zaliha yang yakin dengan latihan yang tepat dan berstruktur, graduan TVET kita akan menjadi tenaga kerja yang berkualiti tinggi.

 

Program TVET ini adalah antara contoh komitmen Kerajaan dalam memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang, ada peluang untuk berjaya dan menyumbang kepada

pembangunan ekonomi negara.

 

“Saya melihatnya sebagai satu peluang yang besar untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan

profesional, yang boleh mengubah lanskap ekonomi negara kita ke arah yang lebih maju, dan berdaya saing,” kata beliau.

 

Melangkah ke 2025, YWP berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, NGO, dan individu prihatin dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga WP, yang dilihat sebagai cerminan kejayaan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

 

Dr Zaliha turut memberikan penghargaan khas kepada DBKL dan JPWPKL atas kerjasama erat dalam memastikan kelancaran penganjuran majlis, serta membantu pemilihan pelajar cemerlang.

 

“Terima kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa, penjaga, dan guru yang sentiasa memberikan sokongan moral, serta membimbing anak-anak mereka menuju kejayaan,” ujar beliau yang turut menghargai Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan kakitangan YWP atas dedikasi, dan usaha mereka dalam menjayakan majlis ini.

 

Sejak ditubuhkan pada 1986, YWP kekal komited melaksanakan pelbagai program kebajikan, dan pendidikan untuk seluruh warga WPKL, Putrajaya dan Labuan yang memerlukan.

                                       

Para pelajar yang menerima anugerah yang disampaikan oleh YB Dr Zaliha Mustafa, mengabadikan kenangan bersama-sama tetamu jemputan khas.

- disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN


No comments:

Powered by Blogger.