SASTERA BUDAYA
Balu Tanggung Beban Kematian Suami
Balu Tanggung Beban Kematian Suami
Judul: Widows
Tahun: 2018
Pengarah: Steve McQueen
Lakon layar: Gillian Flynn, Steve McQueen
Pelakon: Michelle Rodriguez, Elizabeth Debicki,
Viola Davis, Cynthia Friyo, Liam Neeson, Colin Farrell, Robert Duvall, Daniel
Kaluuya
Negara: Amerika Syarikat
Apakah menjadi wakil kesatuan guru itu bergaji atau
mendapat elaun lumayan? Agak hebat jika mampu menggaji seorang pemandu
keluarga. Rumah pula agam/cantik dan dihiasi perabot mewah, termasuk rak buku
yang masih banyak belum dibaca kerana kesibukan.
Agak aneh jika tidak pernah bertanyakan suami mencari
nafkah dengan pekerjaan apa. Agak lucu/ironis pula ketika ramai orang mengenali
suaminya, Harry Rawlings (Liam Neeson) sebagai perompak bank Chicago, Veronica
(Viona Davis) menyatakan kepada Jamal Manning (Brian Tyree Henry) bahawa dia tidak
terlibat, dan tidak mengetahui apa-apa.
Walau bagaimanapun, Jamal, ketua penjenayah dan
ahli politik yang bakal bertanding pilihan raya DUN 18, presint Bahagian
Selatan Chicago, langsung tidak percaya. Dia dengan kolaborasi adiknya, Jatemme
(Daniel Kaluuya) yang memang ‘hati kering’ dan kejam, mengugut Veronica. Mereka
memberi tempoh sebulan untuk Veronica menggantikan RM2 juta wang Jamal yang
dirompak oleh Harry, dan rakan-rakan.
Jamal memerlukan wang itu untuk kempen pilihan rayanya
menentang Jack Mulligan (Colin Farrell) dari keluarga ahli politik yang
menguasai kawasan tersebut. Ayah Jack, Tom (Robert Duvall) masih ‘mengawal’ dan
mendidik anaknya itu.
Apabila mengetahui Harry ada buku nota yang mencatatkan
segala perancangan dan individu terbabit untuk rompakan $5 juta secara
konvensional, Jamal meminta adiknya segera bertindak. Jatemme yang memang suka
keganasan, bersama-sama dengan konco-konconya membelasah Bobby Welsh (Kevin J
O’Connor), pekerja pusat boling yang kurang upaya, dan Bash (Garret Dillahunt),
bekas pemandu keluarga Harry. Mereka dipercayai tahu mengenai buku itu.
Harry diemui mati bersama-sama tiga rakan
kongsinya, Carlos Perelli (Manuel Garcia-Rulfo), Jimmy Nunn (Coburn Goss), dan
Florek Gunner (Jon Bernthal) dalam satu rompakan bersenjata. Isteri Carlos,
Linda (Michelle Rodriguez) pun tidak tahu mendiang suaminya perompak bank.
Begitu juga dengan isteri Florek Gunner, Alice (Elizabeth Debicki), dan isteri
Jimmy, Amanda (Carrie Coon).
Terdesak oleh keadaan itu, Veronica tiada pilihan
lain dan pilihannya mengejutkan semua. Kecuali Amanda yang tidak terlibat, Linda
dan Alice terkejut kerana Veronica mengajak mereka merompak RM5 juta kepunyaan Jack
di rumah calon pilihan raya itu.
Rupa-rupanya Harry masih hidup. Dia bersekongkol
dengan Jack yang juga mahukan sebahagian daripada wang rompakan tersebut. Jack
mengugut Harry dan bertegas bahawa dia bukan seperti rakan-rakan yang mudah
diperdayakan oleh Harry.
Sebenarnya, Harry telah membuat helah untuk melarikan
diri bersama-sama wang rompakan. Dia mensabotaj Carlos, Florek, dan Jimmy
dengan meletupkan mereka di dalam van.
Veronica yang meratapi kematian Harry kemudian membenci.
Akhirnya, dia yang menembak mati Harry pada penghujung cerita setelah
‘mendiang’ suaminya itu muncul mahu merampas wang rompakan Veronica. Veronica
sempat menembak terlebih dahulu sebelum Harry menembaknya. Selain kecewa dengan
kerjaya Harry, dia juga marah suaminya ada skandal dengan Amanda sehingga
mendapat seorang anak.
Filem ini secara tersirat menunjukkan kegigihan
seorang wanita, atau khususnya balu dalam menyelesaikan masalah. Cuma, caranya
itu tidak betul/wajar sekalipun terdesak.
Memang tidak baik Alice menjadikan dirinya perempuan
simpanan seorang eksekutif hartanah, David (Lukas Haas) kerana baru kematian
suami (seperti yang dikesali oleh Veronica), dan meskipun didorong oleh ibunya,
Agnieszka (Jacki Weaver) yang kasar.
Sebenarnya, Alice melakukan kerja ‘serampang dua
mata’. Selain mencari wang lumayan, dia menggunakan David untuk mengenal pasti pelan
(rumah) di rumah Jack yang penting bagi rancangan rompakan kumpulan Veronica.
Belle (Cynthia Erivo), ibu tunggal anak seorang,
pengasuh anak dan juru kecantikan di salun juga contoh wanita yang bekerja
keras. Sudah melakukan dua kerja sehingga anak perempuannya selalu terabai, dia
sanggup pula menjaga anak Linda. Dia menerima tawaran pula bekerja dengan
kumpulan Veronica sebagai pemandu ekoran kematian Bash.
Bash yang telah berhenti kerja cuba diambil semula
oleh Veronica, tetapi dia mati akibat dibelasah teruk oleh konco-konco
Jamal/Jatemme.
Kritikan terhadap ahli politik yang kotor dan
hipokrit terpapar dengan jelas. Watak Jack dan Jamal bukan ahli politik yang
mementingkan rakyat. Mereka naik dengan cara yang tidak baik akan menjadikan
mereka tidak baik. Mereka bersekongkol dengan penjahat dan samseng.
No comments: