SASTERA BUDAYA

BELI BUKU ITBM DI PEJABAT POS

SEBAGAI salah satu langkah meluaskan capaian kepada bahan terbitan berkualiti dan perkhidmatan penterjemahan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) melancarkan kerjasama strategik bersama-sama dengan Pos Malaysia Berhad (PMB) menerusi penyediaan sudut bacaan, dan penjualan buku serta khidmat penterjemahan di kaunter PMB di seluruh negara.
Kerjasama pertama kali antara ITBM dengan PMB ini merupakan langkah menggalakkan budaya pembacaan dalam kalangan masyarakat umum, selari dengan tanda pagar #MalaysiaMembaca atas inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebagai tanda menyokong kempen Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030. Ia merupakan akses kepada masyarakat untuk mengatasi halangan, dan penguasaan bahasa bersempena dengan kempen Dekad Bahasa Kebangsaan.
Usaha ini merupakan langkah terbaik menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengisi ruang masa yang ada dengan membaca. Sebelum ini tiada siapa pun pernah terfikir pejabat pos boleh menjadi alternatif kepada perpustakaan dan kedai buku untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti, boleh membaca dan juga membeli buku.
Tidak keterlaluan jika dikatakan PMB menjadi agensi pos pertama di dunia yang menyediakan sudut membaca, serta boleh membeli buku di kaunter pos.
Tidak mustahil jika pejabat pos menjadi tempat anak-anak mengisi masa dengan membaca buku, sementara ibu bapa berurusan di kaunter pos. Mungkin pejabat pos di pusat beli-belah boleh turut menjadi salah sebuah lokasi anak-anak muda melepak. Barangkali juga pejabat pos tidak akan dicitrakan lagi menjual setem, mengutus surat, dan menghantar bungkusan semata-mata, malah menjadi salah sebuah ‘kedai ilmu’ di negara kita.
Menurut Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah, ITBM berusaha menjalankan gerak kerja mencari dan mengenal pasti syarikat korporat berpotensi untuk turut sama menjalinkan kerjasama strategik menjayakan kempen menggalakkan pembudayaan membaca dalam masyarakat.
Tambah Sakri, hal tersebut dikatakan sedemikian kerana semua pihak tanpa mengira sektor kerajaan mahupun syarikat korporat harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memupuk tabiat, dan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tegas beliau lagi, dengan terbentuknya masyarakat yang suka membaca dan mencintai keilmuan, rakyat negara kita akan menjadi bangsa yang berjaya, serta berkembang maju daripada aspek pemikiran, dan keperibadian.
PMB sebagai rakan kerjasama strategik berdasarkan keupayaan agensi tersebut yang memiliki pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang meluas di seluruh negara. Inisiatif ini juga menyerlahkan keupayaan pejabat pos yang dikendalikan oleh PMB menjadi penanda aras (benchmark) bagi mana-mana pejabat pos di dunia sebagai lokasi strategik bagi penyampaian ilmu kepada seluruh masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMB, Syed Md Najib Syed Md Noor, usaha membudayakan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan tanggungjawab semua pihak. Menyedari kepentingan pembabitan dan sokongan tersebut, kata beliau, PMB percaya bahawa kerjasama strategik bersama-sama ITBM ini akan menggalakkan, dan mempromosikan sikap rajin membaca, serta menyumbang ke arah pembentukan masyarakat berilmu, dan berpengetahuan tinggi.
Selain itu, tambah Syed Md Najib, ia juga mempelbagaikan lagi fungsi pejabat pos sebagai pusat komuniti setempat susulan penyediaan ruang membaca yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai yang mengunjungi pejabat pos.
PMB, kata Syed Md Najib, melalui cabang premium kuriernya, telah proaktif dalam menyediakan perkhidmatan tambah nilai dengan memperkenalkan mekanisme infra e-Dagang, iaitu Pos Laju EziBox, khususnya bagi golongan  siswa-siswi di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
Jelas beliau, Pos Laju EziBox ialah infra berkonsepkan pengiriman, serta penerimaan item yang telah ditempatkan di sepuluh IPT. Antaranya ialah di EzBox@UniversitiMalaya, EziBox@UiTM Puncak Alam dan EziBox@. Empat lagi EziBox dalam masa terdekat di UTEM Melaka, UPNM, MMU Cyberjaya, dan UTHM.
Jadi, tambah Syed Najib, ITBM boleh menggunakan infra ini sebagai platform bagi menjual lebih banyak bahan bacaan, serta rujukan kepada penuntut IPT.
Menerusi kerjasama ini, pejabat pos menjadi platform mudah bagi masyarakat untuk mendapatkan akses kepada bahan bacaan berkualiti, serta urusan berkaitan khidmat penterjemahan dokumen kepada umum di kaunter PMB.
Sebagai permulaan, kata Syed Najib, bahan terbitan dan khidmat penterjemahan ITBM boleh didapati secara berperingkat-peringkat di cawangan utama setiap negeri, iaitu 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara, termasuk Sabah, dan Sarawak. Seterusnya, kemudahan ini akan diperluaskan ke cawangan-cawangan lebih kecil di setiap daerah, dan kawasan pedalaman.
Pelanggan yang mengunjungi PMB boleh membaca buku terbitan ITBM  yang disediakan sebagai ‘Naskhah Baca’ di rak buku khas di setiap pejabat pos. Buku berkenaan juga boleh dibeli atau ditempah terus di kaunter PMB berkenaan.
Bagi khidmat penterjemahan dokumen, pelanggan, terutamanya di luar Kuala Lumpur boleh menghantar salinan lima dokumen, iaitu kad pengenalan, sijil kelahiran, sijil pendidikan (Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, dan Sijil Tinggi Agama Malaysia), lesen memandu, dan pasport daripada bahasa Melayu (atau Arab) ke bahasa Inggeris atau Arab.
Pelancaran kerjasama strategik ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, pada 6 Mei lalu.
Dalam ucapannya, Dr Maszlee amat mengalu-alukan penglibatan lebih banyak syarikat di Malaysia untuk memberikan kerjasama terhadap pembangunan dan pembentukan budaya Malaysia, khususnya dalam bidang perbukuan.
Tegas beliau, pelaksanaan oleh PMB dan ITBM tersebut perlu dicontohi atau dijadikan penanda aras oleh pihak lain seperti hospital swasta, syarikat telekomunikasi dan syarikat automobil, institusi kewangan, dan pusat beli-belah untuk bersama-sama mencerdikkan akal budi bangsa kita dengan menyediakan Sudut Membaca.
Maszlee turut memuji inisiatif penyediaan khidmat terjemahan ITBM menerusi kaunter pejabat pos. Hal ini dikatakan sedemikian kerana ia merupakan salah satu matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia membantu masyarakat melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Kata beliau, lokasi ITBM yang merupakan agensi di bawah KPM, yang hanya di Kuala Lumpur pasti akan menyukarkan pelajar-pelajar yang mahu menterjemahkan sijil pendidikan bagi tujuan penyambungan pendidikan di luar negara.
Maszlee mengucapkan terima kasih kepada PMB atas persetujuan menyediakan khidmat yang memberi manfaat besar ini melalui kaunter pejabat pos.
Selain Sakri dan Syed Najib, turut hadir termasuklah Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Dr Mohd Gazali Abas; Pengerusi Lembaga Pengarah PMB, Datuk Yasmin Mahmood, dan Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, Mazmi Kamal.         



No comments:

Powered by Blogger.