SASTERA BUDAYA
DBP SUDAH LEBIH ENAM DEKAD!
DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan
pada 22 Jun 1956, kira-kira setahun sebelum kemerdekaan negara kita yang ketika
itu dipanggil Tanah Melayu (Malaya).
Tarikh tersebut
merupakan detik bersejarah apabila sebuah institusi ulung bahasa di negara ini
ditubuhkan di selatan tanah air, manifestasi daripada Kongres Bahasa, dan
Persuratan Melayu III.
DBP sebagai
gapura ilmu, yang lahir daripada kesaktian lidah rakyat terus memperjuangkan
kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia institusi yang
bergerak dengan tiga sayap utama, iaitu bahasa, sastera dan penerbitan dalam
memenuhi matlamat penubuhannya untuk membina, serta mengembangkan bahasa, dan
persuratan Melayu.
Pada 21 Jun
lalu di Balai Budaya, Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, Menteri
Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik merasmikan sambutan ulang tahun penubuhan
DBP yang ke-63.
Dalam
mendepani cabaran semasa, sambutan kali ini mendukung aspirasi peremajaan,
pendigitalan, dan pengantarabangsaan DBP dalam memastikan kelangsungan
kewujudannya.
Setakat ini,
DBP telah menerbitkan lebih 500 judul digital termasuk majalah, kamus dan
ensiklopedia. Pada masa ini, judul terbitan berkenaan boleh dicapai menerusi
rakan niaga DBP, iaitu portal E-Sentral, dan Bookcapital dalam format ePub, dan
PDF.
Sebanyak 11
judul majalah terbitan DBP kini memasuki era digital, iaitu majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera,
Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar,
Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun
Islam, Pelita Bahasa, dan Tunas Cipta.
DBP juga
telah menerbitkan e-buku interaktif kanak-kanak dalam bentuk aplikasi yang
boleh dicapai melalui Google Play.
Terbitan tersebut berkonsepkan didik hibur yang mengandungi unsur hiperaktif,
animasi, dan lagu. Diharapkan inisiatif ini dapat memastikan bahasa Melayu
dikembangkan secara meluas.
Selain itu,
untuk merancakkan industri penerbitan buku dan industri kreatif, DBP telah
bekerjasama dengan stesen televisyen tempatan bagi mengangkat karya sastera melalui
adaptasi novel terbitan DBP ke bentuk telefilem, dan drama bersiri seperti di
RTM, drama ‘Platun Harimau’ (2011), telefilem ’Hari-hari Terakhir Seorang
Seniman’ (2013) diAstro, drama bersiri ‘Kemboja di Hati’ (2016) di TV Alhijrah,
telefilem ‘Bening Cahaya Maulid (2016) di TV3, dan untuk siaran RTM,
‘Srengenge’ (2017), dan telefilem
‘Sesekali’ (2019).
Selain Ketua
Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran; Timbalan Ketua Pengarah
(Dasar) DBP, Dato’ Padilah Haji Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP,
Kamarul Zaman Shaharudin, antara tetamu kehormat yang turut menghadiri majlis
sambutan itu termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (Bahagian
Pengurusan), Dato’ Kamal Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan
Pendidikan, Mohamad Azhan Md Amin; Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’
Ilani Mohamad Ibrahim; Timbalan Duta Besar Iran, Abdol Ali Maktabi Fard;
Sasterawan Negara (SN) Dato’ Seri (Dr) A Samad Said, Prof Dr Muhammad Haji
Salleh, Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Dato’ (Dr) Baharuddin Zainal (Baha Zain), dan
Datuk Dr Zurinah Hassan, serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah DBP.
Dalam
ucapannya, Dr Maszlee gembira kerana buku-buku terbitan DBP kini boleh didapati
dalam bentuk e-Book sebagai tanda
mengikut peredaran zaman, dengan memanfaatkan teknologi baharu.
Sebagai
responsnya terhadap ucapan terima kasih Datuk Abang Sallehuddin kerana beliau
menyayangi DBP, Maszlee mengatakan sayang atau tidak, hal-ehwal DBP tetap
sentiasa dibawa olehya semasa sidang Dewan Rakyat.
Maszlee
berharap dan meminta DBP agar menjadi sebuah badan yang berintegriti.
Sehubungan itu, kata beliau, DBP perlukan penjenamaan semula.
Menariknya,
Maszlee menggunakan istilah ‘satu keharaman’ jika DBP tidak berubah kerana
kerajaan yang memerintah Malaysia sudah berubah – Malaysia Baharu.
Walau
bagaimanapun, dalam beraneka cabaran dan tantangan yang perlu/terpaksa
dihadapi, Maszlee yakin DBP akan mampu berubah dalam masa terdekat. Untuk itu,
DBP perlu berubah dari ‘atas’. Setiap warga kerja DBP, tegas beliau, jangan
melihat/menganggap diri masing-masing hanya sebagai pekerja. Mereka perlu sedar
mereka sebenarnya ialah wira, dan kesatria sastera budaya bahasa negara. Untuk
itu juga, tegas Maszlee, ‘tajdid sikap’ perlu ada dalam diri setiap warga kerja
DBP.
DBP, tambah
Maszlee, memang berperanan besar dalam menjayakan matlamat mengangkat Malaysia
menjadi Negara Pembaca pada 2030.
Seperkara
yang menarik juga, Maszlee menggesa agar DBP menjadi badan penghalalan bahasa,
iaitu dalam aspek penggunaan bahasa Melayu yang tepat/betul. Kata beliau, jika
makanan dan minuman tempatan ada tanda halal daripada Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia, kenapa tidak ada tanda halal bagi bahasa Melayu daripada DBP! DBP
perlu menjadi pengawal/penjaga standard bahasa Melayu di negara ini.
Mengenai
kehadiran SN di UA yang memang dibawa/diundang oleh pihak tersebut, Maszlee
turut mengatakan tidak memadai dengan hanya kehadiran ‘manusia berharga’ itu.
Tegas beliau, SN yang dibawa ke UA perlu diberikan elaun khas sebagai
penghargaan terhadap taraf, dan ilmu/pengalaman mereka.
Maszlee turut
menyatakan beliau akan berusaha mengatur pertemuan SN dengan Kementerian
Kewangan untuk urusan pemberian imbalan jasa kepada mereka. Tujuan tersebut,
kata Maszlee untuk mengelakkan anggapan seolah-olah SN yang meminta. Kata
beliau, selagi masih menjadi Menteri Pendidikan, beliau akan berusaha/cuba
mengatur pertemuan itu.
Abang
Sallehuddin pula dalam ucapan beliau menegaskan kesungguhan DBP untuk kembali
ke landasan yang betul, dan mengulangi kegemilangan lalu, serta menjadi lebih
baik.
Beliau
menyatakan penghargaan DBP terhadap segala teguran dan ‘kemarahan’ Menteri
Pendidikan Malaysia. Menegur dan marah itu ialah tanda Maszlee menyayangi DBP.
Sebaliknya,
Sallehuddin menyatakan kebimbangan jika Maszlee tidak lagi mempedulikan DBP.
Beliau sangat bimbang perkara itu berlaku!
Dalam ucapan
beliau juga, Sallehuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
Kementerian Pendidikan Malaysia yang sentiasa menyokong DBP dalam segala usaha
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.
Beliau
berharap keprihatinan dan sokongan ini akan berterusan bagi memastikan
kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus terpelihara.
Majlis
Sambutan Ulang Tahun itu dimulakan dengan pendeklamasian sajak berjudul ‘Suara dari
Dinding Dewan’ yang pedas/panas, bertenaga, dan masih relevan oleh SN Datuk
Seri A Samad atau Pak Samad (walaupun dihasilkan pada era 90-an).
Selain itu,
tayangan video DBP dalam Era Malaysia
Baharu turut dipersembahkan untuk tontonan para hadirin.
Maszlee juga
diberi penghormatan melancarkan Terbitan Digital DBP, dan menyempurnakan sesi
penyerahan sumbangan buku DBP. Selain itu, beliau menyaksikan Majlis
Menandatangani Memorandum Persefahaman DBP-Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja
Malaysia (MBBY), serta Majlis Menandatangani Surat Hasrat DBP-RTM-Syarikat
Mache AllStar United Sdn Bhd (Penerbitan adaptasi novel Korban Kasih 1 dan 2), dan DBP-Persatuan Kebudayaan Han Malaysia
(Pertukaran Pelajar Malaysia-China).
Dewan Bahasa
dan Pustaka Mahu Kembali Berwibawa
Di sepanjang 63
tahun penubuhannya, DBP telah melalui pelbagai bentuk penubuhan dan
tranformasi. Mulai pertengahan 2018, transformasi yang dilalui DBP ialah pada
tahap anjakan halaju maksimum. Semuanya terhasil daripada sokongan dan dukungan
berterusan daripada Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang ingin
melihat DBP terus cemerlang dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, serta
gagasan beliau yang mahu melihat bahasa Melayu terus gemilang sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa pemersatu, malah gah di persada antarabangsa
sebagai salah satu bahasa utama dunia.
Mulai 2018, DBP telah giat menggerakkan program
berstatus nasional seperti Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca
Kebangsaan, yang tercetus menerusi idea, dan gagasan Dr Maszlee. Program ini
merupakan penjenamaan semula program Bulan Bahasa Kebangsaan dan Kempen Membaca
yang pernah dilaksanakan, dan merupakan antara program awal yang diperkenalkan
oleh beliau selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.
Di bawah pimpinan Maszlee, usaha untuk terus
melonjakkan kecemerlangan DBP dilaksanakan menerusi kajian semula Akta DBP yang
memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, dan pengantarabangsaan bahasa
Melayu, serta pemberian kuasa bagi penubuhan perbadanan, selaras dengan hasrat
dan aspirasi beliau.
Kajian semula Akta DBP ini diharap akan memberi dampak
positif dalam usaha DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, malah akan turut memberi dampak positif dalam usaha DBP
mengantarabangsakannya.
DBP yakin usaha murni ini pasti akan mencapai
kejayaan, terutamanya menerusi restu, dan sokongan dalam bantuk kewangan
daripada kementerian. Kemahuan/tekad politik (political will) itu amat penting bagi menjamin kejayaan, serta
keberkesanan sesuatu dasar atau program yang dilaksanakan oleh mana-mana agensi
kerajaan.
Dasar merupakan sesuatu asas, panduan, keputusan atau
aturan yang digubal oleh kerajaan bagi mencapai matlamat/objektif tertentu.
Justeru, dengan mengambil kira pengalaman serta wibawa DBP, Maszlee sekali lagi
telah memberikan tanggungjawab kepada DBP untuk mengkaji semula Dasar Buku
Negara, serta menggubal suatu dasar baharu, iaitu Dasar Sastera Kebangsaan.
Amanah tersebut dapat DBP sempurnakan dalam jangka
masa yang diberikan. Penggubalan kedua-dua dasar ini telah memberikan
pengalaman berharga kepada pihak Ketua Pengarah dan pasukan kerja DBP kerana
mereka perlu menyempurnakan tugasan berstatus nasional ini dalam jangka waktu
yang singkat dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Dalam mendepani cabaran masa hadapan, DBP perlu terus
berevolusi dan mengadaptasi dengan cepat kepada perubahan, untuk terus kekal
relevan. Melihat kepada keperluan ini, serta bagi menyahut saranan Menteri
Pendidikan Malaysia yang amat menitikberatkan tentang perkembangan dunia
digital, DBP telah menggerakkan transformasi digital yang akan menjadikan ‘DBP
Organisasi Digital’.
Usaha pendigitalan DBP ini telah dimulakan seawal
2000, khususnya dalam usaha merakyatkan penyampaian perkhidmatan. Bagi
memastikan perkhidmatan yang diberikan cepat, cekap, berkualiti, proaktif, dan
responsif, DBP telah mewujudkan rangkaian perkhidmatan seperti Sistem Bahasa
Melayu Bersepadu (SBMB), Khidmat Nasihat DBP (KNDBP), Pusat Rujukan Persuratan
Melayu (PRPM), Portal i-Pintar, Gerbang Kata, dan kedai buku maya DBPNiaga yang
berupaya memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan digital.
Mulai 2019, DBP terus meneroka dunia digital,
khususnya dalam fungsi penerbitan menerusi penerbitan majalah digital yang
dirasmikan pada 21 Jun lalu, dan penerbitan buku digital, serta interaktif.
Keupayaan DBP dalam penerbitan digital ini diharap
mampu membantu kementerian khususnya dalam merealisasikan penerbitan digital
buku teks yang akan memasuki Gelombang Ketiga Penerbitan Buku Teks Digital
(2021-2025), dan seterusnya menyokong aspirasi, serta matlamat Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dunia pendidikan pada era digital ini memerlukan
anjakan yang ketara dalam teknik dan kaedah pengajaran, dan pembelajaran. Atas
kepentingan ini serta dengan mengambil kira aspirasi Maszlee, kaedah
pembelajaran campuran (blended learning)
akan dilaksanakan oleh DBP. Menerusi kaedah ini, DBP akan membangunkan sistem
pembelajaran bahasa Melayu secara dalam talian.
Pembelajaran secara dalam talian ini akan digabungkan
dengan kaedah pembelajaran secara tradisional yang dilaksanakan oleh Akademi
DBP. Menerusi kaedah ini, DBP akan berupaya meneroka lebih ramai calon pelajar
bahasa Melayu, sama ada dalam mahupun di luar negara, serta DBP akan mampu
membentuk program-program baharu yang turut memberi manfaat kepada kumpulan
khusus seperti orang kelainan upaya (OKU).
Memang tidak dapat dinafikan peranan Sasterawan Negara
(SN) dalam membentuk peradaban, dan ketamadunan negara, dan salah satu peranan
SN ialah dalam membentuk nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Berdasarkan idea dan saranan Menteri Pendidikan
Malaysia, bagi memastikan jiwa nurani generasi muda disuntik dengan cita rasa,
dan kasih kepada kesusasteraan kebangsaan, program SN di universiti awam (UA)
dan sekolah-sekolah telah mula dipergiatkan pada 2019. Jika sebelum ini SN
hanya didekati oleh kumpulan dan kelompok tertentu sahaja, idea yang dicetuskan
oleh Maszlee ini berupaya mendekatkan remaja, belia dan pelajar sekolah dengan
SN. Usaha murni ini diharap akan terus dipergiat, dan diperluas ke institusi
pengajian tinggi swasta (IPTS).
Selain itu, usaha pembentukan peradaban dan
ketamadunan negara, khususnya dalam bidang kesusasteraan turut dipergiat
menerusi pelbagai aktiviti keilmuan dengan SN di Anjung DBP, serta menerusi
program eksplorasi, dan eksperimentasi persembahan di Stor Teater DBP.
No comments: