SASTERA BUDAYA




















'KONSERT JELAJAH PEMACU API TOKO KILAT'

KALAU mahu berlucu/bergurau, mungkin ayat “Hehehe… sudah kenalah hujan dengan kilat.” Demikianlah yang tercetus di benak saya mengenai ‘Konsert Jelajah Pemacu Api 2019’ yang dijayakan oleh kumpulan Toko Kilat, bersama-sama Noh Salleh @ Noh Hujan pada 17 Ogos, 24 Ogos, dan 14 September nanti.
Toko Kilat yang dianggotai Edwin Raj (vokalis), Irfan Iskandar atau Cipan (dram), Mohamed Redzuan@Wan (bass), Noor Azhari@Toya (gitar), dan Syaiful Taufek@Paul (keyboard) sudah bergiat selama dua tahun. Mereka memilih untuk bekerjasama dengan pemuzik dan vokalis terkenal tanah air, Noh Salleh dari kumpulan diminati ramai, Hujan. Anggota Toko Kilat turut meminati Noh.
‘Konsert Jelajah Pemacu Api 2019’ dipersembahkan oleh DISQOVR dengan sokongan The Gasket Alley sebagai penganjur untuk membawa Toko Kilat ‘turun padang’ bersama-sama mendekati para peminat industri muzik seni tanah air.
Pada 17 Ogos, konsert tersebut akan berlangsung di Pulau Pinang. Seminggu kemudian, diadakan di Johor Bahru, dan akhir sekali di The Gasket Alley, Petaling Jaya pada 14 September.
Sidang media ‘Konsert Jelajah Pemacu Api 2019’itu telah diadakan di The Gasket Valley pada 11 Julai lalu. Kesemua anggota Toko Kilat dan Noh menghadiri sidang media itu. Menurut Edwin, selepas dua tahun muncul dengan album studio, dan melakukan persembahan mahupun gig, mereka akan tampil dengan album perdana yang memperkenalkan ‘single’ RATU MALAM, bersama-sama muzik video.
Album tersebut yang turut mengandungi lagu GEMA, PEMACU API, NAHAS, KABUR, dan SATU SUARA diadun (‘mastered’) di Abbey Road, UK, dan Sterling Sound, Amerika Syarikat.
Tambah Edwin, ‘Konsert Jelajah Pemacu Api 2019’ merupakan misi dan visi Toko Kilat untuk muncul dengan ‘album jelajah yang paling diraikan tahun ini’. Ia ditujukan kepada para peminat yang telah lama menantikan kemunculan album penuh.
Toko Kilat merupakan gabungan para pemuzik dari pelbagai kumpulan. Dedikasi setiap personaliti, jelas Edwin, membuatkan mereka muncul kembali, malah lebih bersemangat. Ini merupakan kemunculan kali kedua Toko Kilat.
Kaset pertama Toko Kilat mendapat sambutan hangat apabila habis terjual. Itu, tambah Edwin, menambahkan keyakinan kumpulannya untuk mengeluarkan lebih banyak produk fizikal, dan mengenangnya bersama-sama para peminat dalam siri jelajah ini nanti.
Menurut Irfan@Cipan, setiap persembahan akan menyajikan sistem bunyi dan pencahayaan yang spektakular untuk para peminat turut merasai pengalaman Toko Kilat menyiapkan album sulungnya.
Noh Salleh yang merendah diri menganggap dirinya hanya ‘nasi tambah’ akan tampil dalam sesi akustik yang digarap khas bagi persembahannya dalam ‘Konsert Jelajah Pemacu Api 2019’. Dia juga akan mempromosikan lagu terbaharunya, ‘Debu Bercahaya’.
Selepas sidang media tersebut, Toko Kilat turut membuat persembahan secara live’ mendendangkan lagu PEMACU API, dan RATU MALAM. Persembahan mereka dalam lagu RATU MALAM turut diiringi tiupan seksofon oleh Jefny, yang juga suami penyanyi Indonesia, Yuka Kharisma.
Untuk segala maklumat dan perkembangan terkini, para peminat boleh melayari laman sesawang (www.tokokilatband.com) atau mediasosial mereka di Instagram (@tokokilatband), atau Facebook (www.facebook.com/tokokilat/).
Lagu-lagu Toko Kilat boleh didapati di SPOTIFY, Apple Music, JOOK, KKBOX, dan Deeper.
‘KONSERT JELAJAH PEMACU API 2019’ turut ditaja oleh FRED PERRY, WARDROBE, dan  MONSTER ENERGY.       
         
MAKLUMAT ‘KONSERT JELAJAH PEMACU API 2019’

Tarikh dan lokasi                   : 17 Ogos 2019 – Loft 29 @ Georgetown, Pulau Pinang

: 24 Ogos 2019 – Sunway Iskandar @ Nusajaya, Johor    Bahru

: 14 September 2019 – The Gasket Alley @ Kuala Lumpur

Masa                                      : 6 petang-11.55 malam

Harga tiket                            

Pembeli awal @ RM30     (Tiket masuk + Rantai Kunci + Bungkusan Pelekat + Poster)
Prajualan @ RM40           (Tiket masuk + Rantai Kunci + Bungkusan Pelekat + Poster)
Semasa konsert @ RM50 (Tiket masuk)

Dapatkan tiket ‘Konsert Jelajah Pemacu Api 2019’ hanya di www.tokokilatband.com


  


No comments:

Powered by Blogger.