SASTERA BUDAYA
EMPAT DEKAD HIKAYAT MUZIK M NASIR
‘SUATU Masa’, ‘Masing-masing’, ‘Dedaun
Masa’, ‘Mustika’, ‘Yang Bertakhta Akhirnya’, ‘Apokalips’, ‘Tanya Sama Itu
Hud-hud’, ‘Mentera Semerah Padi’, ‘Bonda’, ‘Sentuhan Listrikmu’, ‘Kias Fansuri’,
‘Andalusia’, ‘Raikan Cinta’, ‘Sahabat Gua’, ‘Juita (Citra yang Terindah)’, dan
‘Sang Pencinta’ merupakan antara lagu terkenal nyanyian Datuk M Nasir secara
solo.
Lagu-lagu
popular dendangan beliau bersama-sama kumpulan Kembara pula termasuklah ‘Hati
Emas’, ‘Lagu untuk Seorang Ibu’, ‘Kepadamu Kekasih’, ‘Bas No. 13’, ‘Nusantara’,
‘Gerhana’, ‘Kiambang’, ‘Keroncong untuk Ana’, dan ‘Sesat di Kuala
Lumpur’.
Shiraz
Projects Sdn Bhd dengan bangga mempersembahkan penyanyi, penulis lagu, penerbit
album, pelakon, pengarah filem, penulis, dan pelukis terkenal Datuk M Nasir
menerusi konsert terbaharu, bersempena merayakan ulang tahun ke-40
keberadaannya dalam industri seni negara pada 23 November depan di Dewan
Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, mulai jam 8.30 malam.
Dengan
kerjaya yang merangkumi 40 tahun, M Nasir bakal muncul lebih intim dan peribadi
mendekati semua penggemar di Malaysia, dan serantaunya dalam ‘Konsert M. Nasir
Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan’. Konsert berdurasi dua jam setengah itu
tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana peminat tegarnya kerana beliau mempamerkan
‘repertoir’ daripada album pertamanya, Untuk
Pencinta Seni (1979) sehinggalah album terakhir setakat ini, Sang Pencinta (2006).
Konsert ini
bakal menyaksikan cara dan gaya Nasir meraikan sokongan besar para peminat
setianya di Malaysia, dan sekitar rantau ini. Ia akan menjadi malam untuk
diingati, di mana beliau bakal diiringi kumpulan lamanya, ‘The Gong’ yang
dibarisi 14 orang pemuzik, pimpinan Aznan Hj Alias. Khabarnya, terdapat juga
segmen kejutan yang akan ditampilkan.
Tiket dijual
dengan harga RM160 (Gangsa), RM200 (Perak), RM260 (Emas), RM360 (Platinum),
RM460 (Diamond), dan RM860 (Meet & Greet). Penjualan tiket konsert akan
bermula jam 2 petang 28 Ogos 2019 menerusi www.myticket.asia.
Barangkali kesemua
atau sebahagian lagu yang disebut tadi akan dinyanyikan oleh Nasir dalam
‘Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan’, meskipun semasa sidang
media konsert berkenaan, beliau memberitahu belum pasti
mengenai
perkara itu. Jelas seniman serba boleh itu, beliau dibantu oleh beberapa
pihak,
termasuk anak sulungnya, Ilham Nasir dalam pemilihan lagu-lagu yang
sesuai.
Katanya, semua cadangan bagus, tetapi dalam masa yang sama beliau juga
ada
kecenderungan sendiri. Untuk itu, tambah Nasir, beliau mengambil jalan tengah.
Mengenai
kelainan persembahan, Nasir menjelaskan beliau tidak mementingkan
kejutan dan
sebagainya. Apa yang penting, tegas beliau ialah mesej yang ingin
dibawa,
sampai kepada penonton.
Konsert
mengenang/meraikan 40 tahun perjalanan seni Nasir yang bakal
berlangsung
selama kira-kira dua jam setengah itu khas buat para peminat penyanyi
‘legenda
hidup’ tersebut yang merindui sebuah konsert berskala besar.
Sidang media
‘Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan’ diadakan pada
26 Ogos lalu
di sebuah hotel di ibu kota. Selain Nasir, turut hadir ialah Shirazdeen Karim
(Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd).
Shirazdeen,
dalam ucapan alu-aluannya menegaskan memang menyedihkan, dan
malang jika
legenda seperti Nasir tidak dihargai, serta dikenang. Justeru mampu, dan rasa
bertanggungjawab, beliau mengambil inisiatif menerbitkan konsert
berkenaan. Shirazdeen
turut menjelaskan semasa sidang media itu, faktor lain ialah
beliau sendiri
memang amat meminati Nasir sejak di bangku sekolah lagi.
Dalam sidang media itu juga Nasir memberitahu beliau
telah memulakan penerbitan album solo terbaharunya sejak lima tahun lalu,
tetapi belum dapat mencukupkan jumlah lagu. Walau bagaimanapun, tambah Nasir,
beliau akan cuba menampilkan sebuah lagu atau single baharu menjelang pementasan ‘Konsert M Nasir Satu Hikayat -
40 Tahun Perjalanan’.
No comments: